Batu Karang
Pengenalan
Air kencing terbentuk di dalam buah pingggang mengalir melalui struktur
tiub yang dipanggil ureter ke pundi kencing sebelum dikeluarkan. Batu
karang atau kalkuli boleh ditemui di mana saja pada buah pinggang,
ureter atau pundi kencing. Di Malaysia batu karang biasa ditemui di
bahagian atas saluran kencing ( buah pinggang dan ureter). Kekerapan
batu karang ini adalah 10%-20% di Asia berbanding dengan 15%-18% di
negara barat.
Batu karang terbentuk apabila terdapat kepekatan yang tinggi
bahan-bahan tertentu di dalam air kencing yang menyebabkan terbentuknya
kristal. Biasanya air kencing mempunyai bahan yang dipanggil
'penghalang' yang menghalang pembentukan batu karang, tetapi ada
setengah kes ia tidak berfungsi. Kepekatan air kencing yang tinggi ini
biasa terjadi pada mereka yang sering kali kekeringan (dehydrasi) kerana
kurang pengambilan cecair. Sebahagian daripada mereka mungkin mempunyai
paras bahan ini yang lebih tinggi dari paras normal di dalam darah dan
meningkatkan jumlah bahan ini di dalam air kencing. Jangkitan salur
kencing yang berulang kali juga menggalakkan pembentukan batu karang.
Apabila terdapat halangan pada saluran air kencing seperti pembesaran
kelenjar prostat, takungan air kencing akan menyebabkan berlakunya
jangkitan dan pembentukan batu karang yang berulang-ulang. Sebahagian
pesakit mungkin dilahirkan dengan saluran air kencing yang tidak normal
yang menyebabkan halangan pada saluran air kencing.
Ada beberapa jenis batu karang, antaranya ialah kalsium oxalate, asid
urik dan cystine. Batu jenis struvite pula terdiri daripada magnesium,
ammonia dan fosfat bercampur dengan karbonat. Ini dikenali juga sebagai
batu jangkitan. Di Malaysia, batu jenis kalsium oxalate, asid uric dan
batu jangkitan biasa di temui.
Gejala dan Tanda
Batu karang di buah pinggang biasanya tidak menyebabkan kesakitan dan
mungkin ditemui secara tidak sengaja semasa pemeriksaan ultrasound atau
x-ray abdomen untuk sebab-sebab yang lain. Batu yang kecil mungkin boleh
keluar tanpa rasa sakit atau mungkin menyebabkan rasa sakit yang
teramat sangat daripada belakang hingga ke kemaluan dengan rasa mual dan
muntah yang biasanya disebut sebagai 'Renal Colic'. Ini berlaku apabila
batu itu bergerak melalui saluran ureter yang sempit yang mengecut
untuk mengeluarkannya. Setengah pesakit akan merasa sakit yang tajam
pada testikel mereka atau sepanjang zakar mereka semasa kencing. Mereka
biasanya dapat mengesan adanya darah di dalam air kencing.
Batu yang lebih besar yang tidak boleh keluar dengan sendiri mungkin
tersekat di dalam ureter dan menyebabkan halangan. Ini akan menyebabkan
sakit yang berterusan dan mungkin demam jika terdapat jangkitan kuman.
Biasanya pesakit batu karang di buah pinggang akan merasa sakit dan
sengal-sengal di belakang. Sakit ini tidak dipengaruhi oleh pergerakan
atau perubahan postur yang biasanya disebabkan oleh sakit yang berpunca
dari tulang ataupun otot.
Penyiasatan
90% batu karang boleh dikesan dengan x-ray abdomen. Ini biasanya
diikuti dengan siri x-ray yang di ambil selepas sejenis pewarna disuntik
ke dalam badan. Prosedur yang dikenali sebagai Intravenous Pyelogram
(IVP) ini digunakan untuk melihat pada paras mana batu karang tersebut
berada dan kemungkinan adanya halangan. Ujian Ultrasound pula akan
diadakan jika batu karang disyaki tetapi tidak dapat dilihat dengan
x-ray. Kaedah yang lebih tepat adalah dengan imbasan CT (CT Scan)
abdomen, tetapi ini hanya ada di hospital yang besar sahaja.
Satu siri ujian darah dijalankan untuk menilai fungsi buah pinggang,
paras asid urik dan kalsium di dalam darah. Ujian air kencing pula
dijalankan untuk melihat jika ada jangkitan kuman, keasidan atau alkali.
Dalam setengah kes, juga untuk memeriksa paras kalsium, oxalate dan
asid urik.
Komplikasi
Batu karang di buah pinggang atau ureter akan menyebabkan halangan. Ini
akan mengundang jangkitan kuman pada buah pinggang dan dalam kes yang
teruk pembentukan nanah. Jangkitan ini boleh merebak ke dalam darah dan
pesakit akan jadi sangat teruk kerana urosepsis. Ini adalah kecemasan
dan pesakit tersebut perlu rawatan dengan antibiotik dan halangan
tersebut perlu di atasi dengan memasukkan tiub ke dalam ureter untuk
melepasi ureter atau memasukkan tiub ke buah pinggang untuk mengalirkan
air kencing yang dijangkiti kuman. Halangan yang kronik akan merosakkan
buah pinggang dan jika berlaku pada kedua-dua buah pinggang pesakit
tersebut akan mengalami kegagalan buah pinggang. Jika ada batu karang,
tetapi tidak menghalang aliran air kencing juga boleh menyebabkan
jangkitan yang berulang-ulang yang di namakan Pyelonephritis.
Begitu juga dengan batu karang di pundi kencing boleh menyebabkan
jangkitan kuman. Batu ini boleh menjadi penghalang dengan tersekat pada
pangkal pundi kencing, di bahagian pundi kencing bersambung dengan
urethra iaitu saluran kencing di dalam zakar, atau di dalam urethra
sendiri. Dalam situasi ini, pesakit tersebut akan menghadapi kesukaran
membuang air kecil dan terdapat pengumpulan air kencing. Jika ia berlaku
untuk tempoh yang lama tekanan kebelakang mungkin akan memberi kesan
kepada ureter dan buah pinggang yang akan menyebabkan kegagalan buah
pinggang. Otot pada pundi kencing yang gagal mengeluarkan halangan
tersebut akan meregang dan kemudiannya menjadi kegagalan otot. Ini
adalah penting kerana pesakit mungkin tidak dapat mengeluarkan air
kencing dari pundi kencing biarpun batu tersebut telah dikeluarkan.
Dalam kes yang jarang berlaku, terdapat gangguan berterusan oleh batu
karang pada permukaan dalam pundi kencing dan akan menyebabkan kanser.
Rawatan
Kebanyakan batu karang yang kurang dari 4mm akan keluar dengan sendiri.
Tetapi pesakit akan memerlukan intervensi/rawatan jika batu itu tidak
keluar selepas tempoh pemerhatian dan berterusan menyebabkan kesakitan.
Batu tersebut mungkin akan membesar atau menyebabkan komplikasi seperti
halangan dan jangkitan. Kadangkala batu karang tersebut tidak
menyebabkan kesakitan tetapi menyebabkan fungsi buah pinggang semakin
teruk. Rawatan batu karang ini bergantung kepada lokasi, saiz dan jenis
batu karang tersebut.
Extracorporeal Shockwave Lithotripsy (ESWL)
Ini adalah prosedur yang biasa dijalankan di mana pesakit akan baring
di atas meja khas dan gelombang yang dikeluarkan oleh sejenis mesin
menembusi badan pesakit dan memecahkan batu itu kepada ketulan-ketulan
kecil. Pesakit itu akan mengeluarkan serpihan batu ini apabila kencing.
X-ray atau ultrasound digunakan untuk mengesan lokasi batu karang
tersebut. Prosedur ini sesuai untuk batu karang yang kurang dari 2 cm
dan kebanyakan batu karang di dalam ureter boleh dilihat dengan x-ray.
Ini adalah prosedur pesakit luar dan biasanya pesakit akan diberi
suntikan penahan sakit dan ubat tidur. Batu yang lebih besar memerlukan
beberapa kali siri rawatan.
Kesan lebam mungkin boleh dilihat di bahagian belakang. Lazimnya
terdapat kencing berdarah, kadangkala pendarahan ini akan menyebabkan
darah beku yang besar di sekeliling atau di dalam buah pinggang. Jika
terlalu besar, ia akan menekan buah pinggang. Jangkitan boleh berlaku
dan pesakit akan demam dan sakit belakang. Serpihan batu itu mungkin
tidak keluar kesemuanya dan akan membentuk jalur yang menghalang ureter.
Oleh kerana itu tiub akan dimasukkan untuk mengeluarkan air kencing
dari pundi kencing dan buah pinggang sebelum ESWL.
Percutaneous Nephrolithotomy
Dalam prosedur ini doktor akan melakukan hirisan kecil pada belakang
pesakit di bahagian buah pinggang untuk membentuk satu laluan bagi
memasukkan sejenis alat yang berteleskop. Batu karang dilihat dan
dipecahkan dengan sumber kuasa seperti laser, ultrasound atau angin. Di
akhir prosedur, pesakit akan ada tiub sementara untuk mengeluarkan air
kencing. Prosedur ini dijalankan dengan bius penuh, sesuai untuk batu
karang yang lebih besar dari 2 cm dan yang gagal ESWL.
Komplikasi yang biasa berlaku adalah jangkitan dan pendarahan semasa
atau selepas prosedur. Kadangkala agak mustahil untuk mengeluarkan
kesemua batu karang tersebut dan pesakit perlu menjalani prosedur kecil
melalui hirisan yang sama untuk mengeluarkan baki batu tersebut.
Ureteroscopy
Prosedur ureteroscopy melibatkan memasukkan sejenis alat melalui
urethra, pundi kencing dan ke dalam ureter. Batu karang akan dipecahkan,
dikeluarkan dan tiub sementara akan dipasang dalam ureter untuk
mengeluarkan air kencing. Prosedur ini dilakukan dengan bius penuh dan
sesuai untuk batu karang dalam ureter yang besar, tidak dapat dilihat
dengan x-ray atau gagal dipecahkan dengan ESWL. Komplikasi yang biasa
termasuk kecederaan pada ureter, jangkitan dan pendarahan.
Pembedahan Terbuka
Ini jarang dilakukan sekarang kerana kebanyakan batu boleh dikeluarkan
dengan cara yang lebih mudah. Untuk pesakit yang mempunyai batu karang
yang besar, ia masih lagi menjadi pilihan. Kadangkala apabila buah
pinggang dengan batu karang ini menjadi berparut dan tidak berfungsi
dengan baik, ia akan dikeluarkan. Masih lagi ada peranan pembedahan
terbuka untuk membuang batu karang yang besar.
Pencegahan
Apabila pesakit telah ada batu karang, dia mempunyai risiko untuk
pembentukan batu karang lagi. Pesakit dinasihatkan untuk meminum
sekuarng-kurangnya 2-3 liter air untuk memastikan diri mereka cukup air
dan mencairkan air kencing mereka. Panduan yang baik ialah apabila
kencing, warnanya jernih seperti air. Nasihat ini lebih penting kita di
iklim panas ini.
Perubahan dalam pemakanan mungkin diperlukan untuk mencegah pembentukan
batu karang. Diet yang kaya dengan protein mungkin akan meningkatkan
pengeluaran kalsium oxalate dan asid urik dalam air kencing. Pesakit
yang mempunyai batu karang jenis asid urik dinasihatkan untuk
mengurangkan makanan yang kaya dengan purine seperti daging merah,
makanan laut dan alkohol. Tidak ada halangan untuk mengambil makanan
tenusu yang kaya dengan kalsium untuk mencegah batu karang jenis
kalsium, tetapi biarlah bersederhana. Makanan seperti coklat, kopi dan
bayam kaya dengan oxalate dan patut dikurangkan pengambilannya untuk
mereka yang berulangkali membentuk batu karang jenis oxalate. Dalam
keadaan lain pesakit mungkin perlu mengambil ubat untuk mencegah
pembentukan batu karang jenis kalsium dan asid urik. Ubat allupurinol
mungkin berguna bagi yang masih mempunyai masalah batu karang jenis asid
urik biarpun dengan mengawal makanan. Ini biasanya dengan kombinasi
ubat untuk mengurangkan keasidan air kencing.
Ikuti kami melalui RSS 2.0.