RMK-11
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.
Alhamdulillahi Rabbil A’lamin, wa bihi Nastai’n
Selawat dan Salam kepada Rasul Junjungan, Nabi Muhammad SAW, suri tauladan sepanjang zaman.
Selawat dan Salam kepada Rasul Junjungan, Nabi Muhammad SAW, suri tauladan sepanjang zaman.
Tuan Yang Dipertua,
Saya dengan penuh ta’zim berdiri dalam Dewan yang mulia ini, untuk mengemukakan satu usul:
Bahawa Dewan ini,
menyedari akan cabaran pertumbuhan ekonomi serta pencapaian sosioekonomi semasa pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh;
merestui usaha Kerajaan untuk meneruskan Dasar Transformasi Nasional
atau DTN dalam merangka dan merencana Rancangan Malaysia ke 11
seterusnya;
meluluskan pelaksanaannya bertunjangkan falsafah Dasar Transformasi
Nasional dalam ikhtiar menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020,
menurut Kertas Perintah 23 Tahun 2015; dan
Bahawa dalam meluluskan Rancangan Malaysia Ke-11, Dewan yang mulia
ini menyeru agar semua pihak bersama-sama dan berusaha menjayakan
matlamatnya.
Tuan Yang Dipertua serta Ahli-Ahli Yang Berhormat,
1. Beberapa hari yang lalu, kita baru sahaja meninggalkan bulan
Rejab. Hari ini pula, Khamis 21 Mei, jatuhnya bersamaan 3 Syaaban 1436
Hijrah, pada salah satu bulan yang mulia, sampailah masa dan ketika yang
ditetapkan oleh Allah SWT, bahawa, sebuah lagi dokumen penting lagi
bersejarah akan dipersembahkan.
2. Sepertimana tercatat dalam kitab suci Al-Quran, Surah Ali-Imran Ayat 26 dan Ayat 54. Mafhumnya, naik turun atau jatuh bangun sesebuah kerajaan itu adalah dalam rahsia dan kekuasaan penuh Pemilik semesta raya, bukannya di tangan makhluk.
2. Sepertimana tercatat dalam kitab suci Al-Quran, Surah Ali-Imran Ayat 26 dan Ayat 54. Mafhumnya, naik turun atau jatuh bangun sesebuah kerajaan itu adalah dalam rahsia dan kekuasaan penuh Pemilik semesta raya, bukannya di tangan makhluk.
3. Begitulah juga, kemampuan manusia merancang, amat terbatas, kerana sebaik-baik Perancang adalah Tuhan seru sekalian alam.
Tuan Yang Dipertua,
Tuan Yang Dipertua,
4. Menyusur titian masa, semenjak tahun 1971 hingga 1990, kita telah
melalui Dasar Ekonomi Baru atau DEB, dipelopori oleh Allahyarham Tun
Abdul Razak, yang mengutamakan pembasmian kemiskinan dan penyusunan
semula masyarakat.
5. Di mana ketika itu, untuk mencapai sasaran sosio ekonomi yang
lebih saksama, sebagai satu cara mewujudkan keharmonian dan perpaduan
dalam negara, yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik dan agama.
6. Kemudiannya, bermula tahun 1991, sampai kepada tahun 2000,
diperkenalkan pula, oleh Tun Dr. Mahathir, Dasar Pembangunan Nasional
yang berfokuskan pembangunan seimbang dan membawa kepada lahirnya
Wawasan 2020.
7. Dalam pada itu, Dasar Wawasan Negara dilaksanakan, melewati tahun
2001 hingga 2010. Dasar ini pula, memberi penekanan kepada pembangunan
masyarakat berasaskan pengetahuan dan mewujudkan bangsa Malaysia yang
bersatu padu, progresif lagi makmur, menuju negara maju menjelang 2020.
8. Selanjutnya, dalam episod-episod bersilih ganti, diperkukuhkan
lagi dengan beberapa gagasan dan misi nasional oleh Allahyarham Tun
Hussein Onn dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Tuan Yang Dipertua,
Tuan Yang Dipertua,
9. Sebelum itu, elok saya menjelaskan kepada Ahli-Ahli Yang
Berhormat, khususnya, dan rakyat dikasihi di luar sana, tentang pelbagai
dokumen yang dibentangkan oleh pihak Kerajaan, sama ada dalam parlimen
atau, di majlis-majlis rasmi.
10. Pertamanya, saban tahun, dalam dewan yang mulia ini, Kerajaan
usulkan bajet-bajet negara, yang diselaraskan oleh Kementerian Kewangan.
11. Manakala, kira-kira 3 minggu yang lepas, di Angkasapuri, saya
telah menyampaikan Laporan Tahunan, merangkumi Program Transformasi
Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi.
12. Dokumen itu pula, diseliakan oleh pasukan PEMANDU, bersama kementerian-kementerian dan agensi yang berkaitan.
13. Rancangan Malaysia ini pula, ianya di bawah kelolaan Unit
Perancang Ekonomi atau EPU. Untuk pengetahuan ramai, semenjak Unit ini
ditubuhkan pada tahun 1961, tugas utamanya adalah untuk menyediakan
Rancangan pembangunan negara.
14. Jadinya, jika dihimbau semenjak 5 dekad lalu, melalui 10
rancangan Malaysia, Kerajaan Barisan Nasional telah menempa dan mencipta
pelbagai ceritera kejayaan yang dapat diperbanggakan.
15. Ini bermakna, Alhamdulillah, negara bertuah ini telah mencapai
kemajuan yang dikagumi, dan terus berada di jajaran yang betul serta
kukuh.
Tuan Yang Dipertua,
16. Di sinilah, satu hal yang perlu difahami baik-baik, bahawa,
kesemua dasar dan wawasan,… setiap satu rancangan,… adalah tali temali,
saling kait berkait dan lengkap melengkapi antara satu sama lain secara
konsisten sejak puluhan tahun yang lalu.
17. Ertinya,… adalah tidak benar, jika sesetengah pihak menuduh
kononnya, dasar Kerajaan hari ini terpisah daripada dasar-dasar yang
sebelumnya.
18. Dalam konteks ini, ingin saya tegaskan bahawa, segala
perancangan,… gagasan dan dasar Kerajaan Perikatan, membawa kepada
Barisan Nasional,… sejak meraih kemerdekaan,… bawah pimpinan Tunku Abdul
Rahman ketika itu,… hinggalah kini, kita terus berkesinambungan dan
beristiqamah pada landasan dan menuju matlamat yang sama.
19. Jelasnya,… bertitik tolak dari Rancangan Malaysia Pertama yang
dilaksanakan oleh pucuk pimpinan Parti Perikatan selepas Pilihanraya
Umum Malaysia yang pertama tahun 1964, sehinggalah Rancangan Malaysia
Kesepuluh, kita telah mampu memperoleh pelbagai nikmat kejayaan.
Tuan Yang Dipertua,
20. Antara 10 pencapaian dan kisah yang boleh diperbanggakan
sepanjang sepuluh Rancangan Malaysia yang lalu adalah,… Pertamanya,…
pada tahun 1970 nilai KDNK adalah 71.1 bilion ringgit, berbanding pada
tahun 2014, ia telah meningkat kepada 1.1 trilion ringgit.
21. Malaysia juga boleh berbangga, kerana telah berjaya mencatat
pertumbuhan ekonomi, antara yang tertinggi di Asia, yakni secara purata
pada kadar 6.2 peratus setahun sejak lima dekad yang lalu.
22. Kedua, dari sudut struktur ekonomi, kita telah beralih daripada
sebuah negara dominan sektor pertanian, dengan sumbangan 31.8 peratus
kepada KDNK pada tahun 1970, kepada sebuah negara berasaskan pembuatan
dan perkhidmatan, dengan sumbangan pada kadar 76.5 peratus kepada KDNK.
Walhal, sektor pertanian telah menguncup kepada paras 9.2 peratus pada
tahun lepas.
23. Ketiga, pendapatan bulanan purata isi rumah, juga meningkat lebih
20 kali ganda. Yakni, daripada 264 ringgit sebulan pada tahun 1970
kepada 6,141 ringgit sebulan pada tahun 2014. Manakala, pendapatan
penengah atau median income sebulan pada tahun 1970 daripada 166
ringgit, telah meningkat kepada 4,585 ringgit sebulan tahun lalu.
24. Keempat, setakat RMK-10, sebanyak 76.1 peratus daripada isi rumah
keseluruhan sudah memiliki kediaman. Bagi isi rumah miskin pula, 75.3
peratus telah berjaya mempunyai rumah sendiri.
25. Kelima, sehingga kini, 95.1 peratus daripada penduduk di seluruh negara, telah mendapat akses kepada bekalan air bersih, dan 97.6 peratus pula, mendapat bekalan elektrik.
25. Kelima, sehingga kini, 95.1 peratus daripada penduduk di seluruh negara, telah mendapat akses kepada bekalan air bersih, dan 97.6 peratus pula, mendapat bekalan elektrik.
26. Keenam, jika pada tahun 1970, hanya 75 peratus rakyat Malaysia
boleh membaca dan menulis. Syukurlah, hal ini, kadar literasi telah
meningkat kepada 98 peratus.
27. Ketujuh, sebanyak 27 peratus daripada tenaga buruh kini mempunyai
pendidikan tertiari, iaitu meningkat empat kali ganda berbanding 6
peratus pada tahun 1980 ketika penghujung Rancangan Malaysia Ketiga.
28. Kelapan, kadar pengangguran telah menurun daripada 7.4 peratus pada tahun 1970 kepada hanya 2.9 peratus pada 2014.
29. Kesembilan, hak milik ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat
pula, telah meningkat sebanyak 10 kali ganda, yakni, daripada 2.4
peratus pada tahun 1970, kepada 23.5 peratus pada tahun 2011.
30. Dan kesepuluhnya, kadar kemiskinan telah berkurang daripada 49.3
peratus pada tahun 1970, kepada hanya 0.6 peratus pada 2014 yang lalu.
Jadinya, bersyukur kita bahawa, kemiskinan tegar telah berjaya
dibasmikan.
Tuan Yang Dipertua,
31. Sebermulanya saya mengambil tampuk kepimpinan negara pada 3 April
2009, Kerajaan telah melakarkan Dasar Transformasi Nasional, sebagai
falsafah teras kepada pentadbiran negara dihitung dari tahun 2011
sehingga 2020.
32. Dasar Transformasi Nasional ini, dirangka sebagai satu peta
halatuju negara, dengan tujuan mentransformasi Malaysia secara tuntas
dan holistik, demi melonjakkan kita sebagai sebuah negara maju, High
Income Advanced Economy.
33. Ia berasaskan kriteria-kriteria antaranya, untuk mencapai
pertumbuhan yang bersifat inklusif, sustainable, growth with equity,
kompetitif, progresif, rakyat yang bersahsiah dan morally strong, dalam
satu kehidupan masyarakat yang saling berpadu, mengamalkan pula
kesederhanaan yakni wasatiyyah, berpaksikan kepada prinsip 1Malaysia.
34. Ringkasnya, kita mahu mencapai satu bentuk kecapan kemakmuran dan
kejayaan negara kepada seluruh rakyat, di mana tidak ada mana-mana
golongan pun yang akan berasa tercicir atau terpinggir.
Tuan Yang Dipertua,
35. Di bawah lembayung Dasar Transformasi Nasional inilah, lahirnya
setakat ini 6 program. Program Transformasi Kerajaan, Program
Transformasi Ekonomi, Program Transformasi Politik, Program Transformasi
Komuniti, Program Transformasi Sosial dan Program Transformasi Fiskal.
Hari ini, satu lagi kertas mustahak, akan saya sampaikan, yakni
Rancangan Malaysia Kesebelas.
36. Berhubung rapat dengan falsafah tunjang Dasar Transformasi Nasional yang saya takrifkan sebentar tadi pula, sebelum saya meneruskan dengan pembentangan, moleklah diberi gambaran, bagaimanakah yang dikatakan rupa wajah sebuah Malaysia yang maju itu kelak, pabila tiba penghujungnya Rancangan Malaysia Kesebelas ini.
36. Berhubung rapat dengan falsafah tunjang Dasar Transformasi Nasional yang saya takrifkan sebentar tadi pula, sebelum saya meneruskan dengan pembentangan, moleklah diberi gambaran, bagaimanakah yang dikatakan rupa wajah sebuah Malaysia yang maju itu kelak, pabila tiba penghujungnya Rancangan Malaysia Kesebelas ini.
37. Sebagaimana kita perlu faham, Rancangan Malaysia Kesebelas ini
merupakan pelonjak akhir sebelum kita memasuki gelanggang negara maju.
Pada waktu itu, kita seharusnya telah mencapai beberapa perkara seperti:
38. Pendapatan Negara Kasar per Kapita telah mencecah 15 ribu dolar
Amerika. Dari piawaian antarabangsa, nilai ini telah menepati tahap
pendapatan sebagai negara maju. Walaupun demikian, sesebuah negara maju
tidak boleh hanya didefinasikan dari sudut pendapatan per kapita.
39. Ringkasnya, pada hemah saya, kita perlu membangunkan sebuah
tamadun holistik, di mana masyarakatnya memiliki nilai-nilai tinggi,
berakhlak, mencintai pula ilmu pengetahuan, rajin membaca, menghargai
seni budaya dan warisan serta memiliki minda yang mencerminkan pula
rakyat sebuah negara maju.
Tuan Yang Dipertua,
40. Makanya, melangkah ke hadapan, buat julung kali setelah menerima
mandat daripada rakyat secara demokrasi pada pilihanraya umum ke-13 yang
lalu, dengan kehendak dan izin yang Maha Berkuasa, saya bentangkan di
sini, Rancangan Malaysia Kesebelas dengan Enam Strategi Tumpuan :
Pertama : Inklusiviti;
Kedua : Kesejahteraan Rakyat;
Ketiga : Modal Insan;
Keempat : Pertumbuhan Hijau;
Kelima : Infrastruktur; dan
Keenam : Inovasi dan Produktiviti
Kedua : Kesejahteraan Rakyat;
Ketiga : Modal Insan;
Keempat : Pertumbuhan Hijau;
Kelima : Infrastruktur; dan
Keenam : Inovasi dan Produktiviti
41. Bagi mempastikan Enam Strategi Tumpuan RMK-11 ini berjaya
mencapai matlamatnya, game changers berikut, akan dilaksanakan sebagai
pemangkin ke arah lonjakan yang signifikan bagi menjana pertumbuhan
ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat secara inklusif.
Pertama : Meningkatkan Produktiviti;
Kedua : Menjana Kekayaan Melalui Inovasi;
Ketiga : Mempertingkat peratusan masyarakat kelas menengah;
Keempat : Menteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal atau TVET;
Kelima : Melaksana Pertumbuhan Hijau; dan
Keenam : Melabur di Bandar-bandar Berdaya Saing.
Kedua : Menjana Kekayaan Melalui Inovasi;
Ketiga : Mempertingkat peratusan masyarakat kelas menengah;
Keempat : Menteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal atau TVET;
Kelima : Melaksana Pertumbuhan Hijau; dan
Keenam : Melabur di Bandar-bandar Berdaya Saing.
Tuan Yang Dipertua,
42. Merujuk strategi tumpuan inklusiviti, Kerajaan akan berikhtiar
bersungguh-sungguh agar tiada golongan rakyat yang akan tercicir
daripada menikmati manfaat kemakmuran dan pembangunan negara.
43. Adalah hakikat, di dunia ini, bagaimana maju pun sesebuah negara
itu seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jepun, there will
always be vulnerable groups, mereka yang berpendapatan rendah,…golongan
gelandangan dan yang tidak mempunyai pekerjaan.
44. Selain daripada itu, Malaysia akan terus menangani golongan isi
rumah berpendapatan 40 peratus terendah yakni Bottom 40 percent, atau
selepas ini saya akan sebut sebagai B40. Untuk makluman, menurut
perangkaan, golongan B40 ini, kini adalah sekitar 2.7 juta isi rumah.
45. Oleh yang demikian, dalam tempoh Rancangan ini, Kerajaan
mensasarkan pendapatan purata isi rumah B40 meningkat daripada lebih
kurang 2,500 ringgit sebulan pada tahun 2014 kepada lebih 5 ribu ringgit
sebulan pada tahun 2020 kelak. Ke arah ini, Kerajaan akan mengambil
usaha-usaha yang intensif antaranya merapatkan jurang pencapaian
pendidikan dan kemahiran serta meningkatkan produktiviti.
46. Bahkan, kadar pekali Gini negara dijangka semakin mengecil
daripada 0.401 pada tahun 2014, kepada 0.385 pada tahun 2020. Untuk
makluman semua, dari sudut ekonomi, lebih kecil nilai pekali Gini,
bererti kita makin berada dalam keadaan lebih baik, dengan pengagihan
pendapatan yang lebih saksama di kalangan rakyat.
47. Bagi menangani kos sara hidup isi rumah B40 ini,
inisiatif-inisiatif seperti Klinik 1Malaysia, Menu Rakyat 1Malaysia,
Kedai Rakyat 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia dan Kedai Agrobazaar Rakyat
1Malaysia akan terus dilaksanakan. Pelbagai lagi inisiatif baru akan
dibuat dan diperkenalkan sepanjang tempoh Rancangan ini.
48. Pendapatan isi rumah B40 juga dapat dipertingkatkan melalui
pendidikan dan kemahiran tinggi. Bagi yang berminat untuk berniaga pula,
program sokongan keusahawanan akan ditambah baik khususnya, perusahaan
mikro dan kecil.
49. Di samping itu, saya menyeru dan mahukan sektor swasta,
terutamanya syarikat multinasional dan syarikat besar tempatan, supaya
menyumbang kepada pembangunan golongan ini dengan cara menempatkan
premis perniagaan atau kilang-kilang mereka, di kawasan majoriti
penduduk B40.
50. Seperkara lagi, masyarakat kelas menengah seperti yang
dihasratkan oleh Kerajaan, dapat ditingkatkan saiznya daripada 40
peratus sekarang, kepada 45 peratus bila tibanya tahun 2020.
Tuan Yang Dipertua,
51. Dalam hal memperkasa komuniti untuk membina masyarakat yang
produktif dan sejahtera, tentulah tumpuan akan diberikan kepada
kanak-kanak, belia, warga emas, wanita dan kaum majoriti Bumiputera.
52. Bagi golongan wanita, peranan mereka bukan sahaja terhad kepada
pembentukan keluarga yang bahagia tetapi juga menyumbang kepada kemajuan
sosioekonomi.
53. Kadar penglibatan tenaga kerja wanita akan meningkat daripada 54 peratus pada tahun 2014, kepada 59 peratus menjelang 2020.
54. Kerajaan juga akan terus melaksanakan dasar yang menentukan
pembabitan wanita di peringkat pengurusan dan pembuat keputusan pada
kadar 30 peratus di sektor awam dan swasta.
55. Kepada golongan belia pula, yang menjadi harapan dan aset
penting negara, dengan Dasar Belia Negara yang baru, Kerajaan mahukan
potensi mereka dicapai sepenuhnya melalui pengupayaan, pendidikan dan
latihan kemahiran, keusahawanan, sukan dan kesukarelawan.
56. Ke arah ini, seperti mana dalam Bajet 2015 yang lalu, Kerajaan
telah mengumumkan cadangan pelaksanaan tiga projek perintis bagi
1Malaysia Youth City, iaitu di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dengan
peruntukan sebanyak 100 juta ringgit.
57. Di bawah RMK-11 pula, 1Malaysia Youth City akan mempunyai
ekosistem komprehensif, bagi membolehkan belia meningkatkan keupayaan
dan memajukan diri dalam pekerjaan dan keusahawanan di samping menikmati
kemudahan rekreasi, perumahan, termasuklah rumah transit.
58. Bagi golongan kanak-kanak pula, pusat penjagaan kanak-kanak
berkeperluan khas akan diperbanyak. Sementara itu, bagi yang berumur 13
hingga bawah 18 tahun, dan tinggal di institusi kebajikan akan diberi
peluang untuk mendapat pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional
atau TVET.
59. Selanjutnya, sumbangan dan khidmat bakti yang telah ditabur oleh
warga emas kepada negara ini akan senantiasa dihargai. Justeru, sebagai
masyarakat penyayang dan prihatin, fasiliti penjagaan warga emas akan
ditambah baik dan diperbanyakkan dari masa ke semasa sepanjang tempoh
Rancangan ini.
60. Seterusnya, bagi golongan orang kurang upaya, Kerajaan akan
memperkukuh kesejahteraan mereka dengan memperluaskan lagi peluang
pendidikan, latihan kemahiran dan keusahawanan kepada mereka.
61. Melalui Rancangan ini, Kerajaan dengan kerjasama sektor swasta
mensasarkan penambahan 7 lagi pusat kehidupan berdikari baharu di
seluruh negara, yang akan memberi manfaat kepada sejumlah hampir 11 ribu
OKU.
62. Kerajaan juga komited mencapai sasaran penyertaan OKU untuk
mengisi lebih 16 ribu jawatan dalam sektor awam melalui pertimbangan
khas. Kini, seramai hampir 4 ribu OKU sedang berkhidmat dalam sektor
awam.
Tuan Yang Dipertua,
Tuan Yang Dipertua,
63. Selaras dengan konsep inklusiviti, bagi mempastikan pertumbuhan
ekonomi negara dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia tanpa mengira
gender, etnik, status sosioekonomi dan kedudukan geografi, tumpuan turut
diberikan kepada semua kumpulan etnik, sub-etnik dan kumpulan minoriti
hatta rakyat Malaysia berketurunan Siam dan Portugis.
64. Antaranya, Program Skim Pinjaman Khas Kampung Baru Cina akan diteruskan dengan menumpukan kepada pinjaman mikro kredit.
65. Bagi masyarakat India pula, satu Blueprint yang menggariskan hala tuju pembangunan sosioekonomi mereka akan disediakan.
66. Untuk Orang Asli dan Bumiputera di Sabah serta Sarawak, tumpuan
akan diberikan kepada pemberian hak milik tanah adat atau NCR bagi
menggalakkan pembangunan tanah dengan teknologi moden melalui agensi
kerajaan berkaitan.
67. Kepada masyarakat Melayu di perkampungan tradisi terutama nelayan
dan petani serta isi rumah yang bekerja sendiri, akan disediakan
kemudahan-kemudahan asas yang diperlukan termasuk memodenkan
aktiviti-aktiviti bagi meningkatkan produktiviti serta pendapatan
mereka.
Tuan Yang Dipertua,
68. Bercakap tentang pembangunan bandar dan luar bandar secara saling
melengkapi, penyediaan prasarana asas luar bandar seperti jalanraya
akan diteruskan, terutamanya di Sabah dan Sarawak.
69. Kerajaan akan membina 3 ribu kilometer jalan berturap lagi di
luar bandar bagi tempoh 2016 sehingga 2020. Akses kepada bekalan air
dan elektrik di seluruh negara pula, akan dipertingkatkan kepada 99
peratus pada tahun 2020.
70. Bagi bekalan air bersih dan terawat melalui Projek Bekalan Air
Luar Bandar pula, sukacita dinyatakan, lebih 10 bilion ringgit akan
diluluskan.
71. Manakala, lebih 3 bilion ringgit lagi, turut diluluskan untuk
Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar. Ini,… akan memberi impak kepada
hampir 40 ribu rumah.
Tuan Yang Dipertua,
72. Dari aspek pembangunan ekonomi wilayah, dalam tempoh 2011
sehingga 2014, lima koridor, iaitu Iskandar Malaysia, Koridor
Pembangunan Sabah, Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Koridor Utara dan
Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak, telah berjaya menarik
pelaburan komited sebanyak 307 bilion ringgit, dengan 57 peratus atau
175 bilion ringgit pelaburan. Jumlah pelaburan ini, menjana sebanyak
lebih 427 ribu peluang pekerjaan.
73. Maka, untuk RMK-11 ini, Kerajaan mensasarkan sebanyak 236 bilion
ringgit pelaburan dan mewujudkan sebanyak 470 ribu pekerjaan lagi di
kelima-lima koridor wilayah tersebut.
Tuan Yang Dipertua,
74. Berhubung hal pembangunan ekonomi wilayah juga, sukacita saya umumkan,… Kerajaan akan mewujudkan Malaysia Vision Valley.
75. Malaysia Vision Valley ini yang terletak di bahagian barat Negeri
Sembilan, meliputi Nilai, Seremban dan Port Dickson dengan cadangan
kawasan seluas 108 ribu hektar.
76. Sebagai makluman, Malaysia Vision Valley ini merupakan satu lagi
projek pembangunan bersepadu baharu, meliputi beberapa kluster strategik
yang bertujuan untuk melengkapi pembangunan di Lembah Klang, khususnya
di Putrajaya dan Kuala Lumpur.
Tuan Yang Dipertua,
77. Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera pula, akan terus menjadi agenda
nasional. Peratus Bumiputera kepada populasi negara kini, adalah 68
peratus berbanding 62 peratus 25 tahun yang lalu.
78. Maka dengan itu, inisiatif-inisiatif bagi Bumiputera bukan
sekadar harus, tetapi wajib dilaksanakan. Kerajaan akan tetap
memperjuangkan dasar-dasar Bumiputera, tetapi mestilah berasaskan
meritokrasi sesama Bumiputera.
79. Seterusnya, ucapan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang
dilancarkan pada 2013, kita komited dan berazam sepenuhnya, untuk
mensasarkan kadar 30 peratus Pemilikan Ekuiti Bumiputera, berjaya
dicapai menjelang 2020 nanti. Insya-Allah.
80. Seterusnya lagi, untuk meningkatkan pemilikan ekuiti korporat
Bumiputera, sukacita saya ingin memaklumkan bahawa, pengeluaran wang
dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk melabur dalam Amanah
Saham Bumiputera 2 akan dilancarkan, tertakluk kepada syarat penabungan
minima.
Tuan Yang Dipertua,
81. Kesejahteraan rakyat adalah segala-galanya. Apa ertinya kemajuan tanpa sentosa dan bahagia mendatangi kehidupan.
82. Oleh itu, di bawah RMK-11 ini, tahap kesihatan rakyat dan kualiti
penjagaan kesihatan akan terus dipertingkatkan. Ke arah itu, antara
inisiatifnya, bilangan katil di kedua-dua hospital awam dan swasta akan
ditingkatkan sebanyak 25 peratus kepada 73 ribu katil pada tahun 2020.
83. Sasaran ini akan dicapai antaranya, menerusi pembinaan 6 hospital
baru di Kemaman, Bentong, Baling, Pendang, Pasir Gudang dan Maran.
Manakala, 2 buah hospital di Sabah iaitu Hospital Tawau dan Hospital
Kota Marudu serta Hospital Miri di Sarawak akan dinaiktaraf. Selain
pembinaan hospital baru, Kerajaan juga sedang giat menyiapkan hospital
di Sri Aman, Sarawak.
84. Di samping itu, bagi menambahbaik akses kepada penjagaan
kesihatan terutamanya di kawasan luar bandar, sebanyak 165 buah Klinik
1Malaysia akan dibina dengan kos sebanyak 33 juta ringgit.
85. Pada masa yang sama, lebih ramai pakar perubatan dan kakitangan
kesihatan yang berkemahiran tinggi akan disediakan. Matlamat Rancangan
ini, menjelang tahun 2020, nisbah doktor kepada penduduk dijangka
meningkat kepada seorang doktor bagi setiap 400 penduduk.
86. Dalam perkara ini, sekalipun World Health Organization atau WHO,
tidak menetapkan apa-apa nisbah khusus, namun sekadar perbandingan dan
makluman, Ahli-Ahli Yang Berhormat, nisbah doktor kepada populasi kita
kalau nak dibandingkan dengan negara Singapura 1 kepada 502, manakala di
United Kingdom adalah 1 kepada 358. Ini adalah satu hal yang sungguh
positif.
87. Bahkan, selain daripada perkhidmatan kesihatan awam kita yang
hampir percuma, yakni bayaran hanya seringgit jika kita ke Hospital
Kerajaan dan Klinik 1 Malaysia,…bagi rawatan pesakit luar.
88. Secara keseluruhannya lagi, WHO telah mengiktiraf bahawa, sistem
perkhidmatan kesihatan di negara ini adalah antara yang terbaik di
rantau Pasifik Barat.
89. Meskipun begitu, kita perakui hakikat bahawa kita masih perlu
menangani kekurangan pakar-pakar perubatan khususnya, di kawasan-kawasan
luar bandar.
Tuan Yang Dipertua,
90. Rumah tempat tinggal, dan bumbung tempat berlindung dari panas
dan hujan, adalah antara 3 keperluan asas kehidupan kepada semua.
91. Seiring ini, bagi meneruskan agenda pemilikan perumahan rakyat,
semenjak 2013, Kerajaan mensasarkan untuk membina 1 juta rumah mampu
milik untuk rakyat.
92. Jadinya, bagi merealisasikan sasaran tersebut, pembinaan perumahan mampu milik kepada rakyat dibuat melalui kerjasama antara kerajaan negeri dan sektor swasta antaranya, menerusi program PR1MA, Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia, Projek Perumahan Rakyat dan Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia.
92. Jadinya, bagi merealisasikan sasaran tersebut, pembinaan perumahan mampu milik kepada rakyat dibuat melalui kerjasama antara kerajaan negeri dan sektor swasta antaranya, menerusi program PR1MA, Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia, Projek Perumahan Rakyat dan Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia.
93. Daripada jumlah 1 juta unit rumah yang dihasratkan tersebut,
sebanyak 182 ribu unit rumah dijangka dapat disiapkan sepenuhnya pada
akhir tahun 2015. Di samping itu, kira-kira lebih 23 ribu unit telah
disediakan oleh kerajaan negeri dan FELDA.
94. Jikalau, dalam tempoh RMK-10, sekitar 74,300 unit rumah mampu
milik telah dibina oleh sektor swasta di pelbagai negeri, di bawah
RMK-11 pula, sejumlah 653 ribu unit rumah lagi akan dibina juga oleh
pelbagai pihak.
Tuan Yang Dipertua,
95. Sebagai satu program baru lagi, yang akan mengubah wajah
rumah-rumah di kampung dan luar bandar, sukacita saya mengumumkan
bahawa, satu program baik-pulih secara besar-besaran melibatkan sebanyak
400,000 rumah dalam tempoh Rancangan. Sebanyak 5,000 ringgit hingga
10,000 ringgit akan diperuntukkan kepada setiap rumah.
Tuan Yang Dipertua,
96. Sememangnya bidang sukan merupakan medium perpaduan yang sangat
diminati dan popular di kalangan rakyat. Oleh itu, Kerajaan akan
menggalakkan bidang ini demi melahirkan atlet-atlet jagoan dan bertaraf
dunia seperti Dato’ Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David, Sazali Abdul
Samad dan Pandelela Rinong.
97. Lantaran itu, bagi melahirkan lebih ramai atlet yang cemerlang,
di bawah RMK-11, Universiti Malaya dipilih untuk menumpukan
kecemerlangan dalam sukan badminton, manakala Universiti Teknologi MARA
akan menumpukan kepada kecemerlangan sukan bola sepak.
98. Di samping itu, Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari, di
Gambang Pahang, yang telah dilancarkan pada tahun 2014 akan terus
diperhebat demi mempastikan pembangunan pemain, kejurulatihan, kemudahan
dan pertandingan secara berterusan, dilaksanakan pada peringkat usia
muda.
Tuan Yang Dipertua,
99. Kemajuan juga bererti berkembangnya kesenian, kebudayaan dan
ketamadunan. Sebab itulah, RMK-11 turut mementingkan golongan karyawan
dan penggiat seni tanahair.
100. Untuk itu, aktiviti kesenian akan dipergiat dengan menaik taraf
Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan atau ASWARA, daripada tahap
akademi kepada status universiti dalam usaha menghasilkan penggiat seni
dan budayawan yang berkaliber. Sehubungan itu juga, industri kreatif
akan terus dipergalakkan.
Tuan Yang Dipertua,
101. Modal insan adalah sumber terpenting kepada pembangunan negara.
Maju atau mundurnya sesebuah negara bergantung penuh kepada kekuatan dan
kehebatan nilai, kompetensi dan kemahiran insaniah.
102. Berhubung ini, sukalah saya maklumkan, melalui RMK-11 ini sejumlah 1.5 juta peluang pekerjaan baharu, bakal diwujudkan.
103. Antara langkah yang akan diambil ialah, menambah baik
produktiviti buruh dan gaji, serta mempertingkatkan kecekapan operasi
pasaran buruh.
104. Selanjutnya, pada akhir tempoh RMK-11 kelak, Kerajaan
mensasarkan peningkatan produktiviti buruh pada kadar purata 3.7 peratus
setahun, berbanding 2.6 peratus setahun pada RMK-10.
105. Dalam Rancangan ini, Kerajaan juga mensasarkan agihan pampasan
pekerja kepada KDNK meningkat kepada 40 peratus, berbanding dengan 34
peratus pada tahun 2013. Maksudnya, jika sesebuah syarikat menjana 10
ribu ringgit, agihan yang diberikan kepada pekerja adalah secara
puratanya 4 ribu ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
106. Merujuk kepentingan dan kebajikan warga kerja, Kerajaan akan
memperkenalkan Indeks Gaji Nasional sebagai petunjuk dan penanda aras
kepada majikan dalam menetapkan gaji yang setimpal dengan produktiviti,
kemahiran, kelayakan dan kepakaran pekerja.
107. Dalam pada itu, paras Gaji Minimum akan terus dikaji secara
berkala berasaskan persetujuan tripartite, yakni pihak Kerajaan, majikan
dan kesatuan pekerja.
Tuan Yang Dipertua,
108. Realitinya lagi, dalam menuju negara maju, kita memerlukan lebih
ramai pekerja yang berkemahiran tinggi. Oleh sebab itu, Kerajaan mahu
supaya lebih ramai pelajar yang mendapat pendidikan berbentuk kemahiran
dan vokasional dilatih dan dilahirkan, yang jumlahnya kini hanya 25
peratus daripada tenaga kerja.
109. Rancangan ini bermatlamat melonjakkan jumlahnya kepada 35
peratus, supaya dapat beriring dengan graduan akademik dan profesional.
110. Sebab itulah, dalam mengatasi dan mendepani keperluan ini,
Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau TVET akan
diperkasakan.
111. Ke arah ini, sukacita saya mengumumkan antara lain, 1 bilion
ringgit akan diperuntukkan kepada Tabung Pembangunan Kemahiran,
berbanding 500 juta ringgit pada tempoh Rancangan yang lalu.
112. Melalui program ini, lepasan TVET berpeluang untuk mendapat
pekerjaan dengan kadar pendapatan nilai tambah yang tinggi dalam
sektor-sektor seperti minyak dan gas, kejuruteraan penerbangan,
perkapalan serta automotif.
113. Selain itu, Program Sistem Latihan Dual Nasional disesuaikan
daripada model latihan TVET di negara Jerman yang 70 peratus kandungan
latihan adalah berorientasikan apprenticeship. Ianya dijangka
meningkatkan jumlah pelatihnya daripada 164 ribu kepada 225 ribu pelatih
pada tahun 2020.
114. Sehubungan ini, bagi menggalakkan penglibatan sektor swasta
dalam program apprenticeship ini, Kerajaan bercadang memberi insentif
berbentuk geran dan pengecualian cukai pendapatan.
Tuan Yang Dipertua,
Tuan Yang Dipertua,
115. Laginya, dalam ikhtiar meningkatkan kualiti penyampaian
pendidikan, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 sedang
dilaksanakan dengan rapi.
116. Daya saing sesebuah negara bergantung kepada penguasaan kita
dalam pendidikan STEM atau Science, Technology, Engineering and
Mathematics. Begitu juga, pentingnya penguasaan Bahasa Inggeris yang
baik dan bahasa kebangsaan sebagai pengukuhan jati diri rakyat Malaysia.
117. Di samping itu, Kemahiran Berfikir Aras Tinggi serta pendidikan
agama dan moral adalah di antara subjek yang perlu diberi keutamaan.
Tuan Yang Dipertua,
118. Seperkara yang mustahak lagi, ingin saya nyatakan kepada Dewan
yang mulia, dalam tempoh Rancangan,… kadar penyertaan murid dari
peringkat prasekolah sehingga sekolah menengah akan disasarkan kepada
100 peratus enrolmennya menjelang 2020.
119. Untuk pendidikan rendah dan menengah juga, sejumlah
sekurang-kurangnya 80 buah sekolah baru akan dibina di seluruh negara
dalam tempoh 2 tahun pertama semasa Rancangan, meliputi antaranya 2
buah di Perlis, 2 buah di Melaka, 5 buah di Sabah dan 5 buah lagi di
Sarawak.
120. Ini tidak termasuk sebagai contoh, dua buah Maktab Rendah Sains
MARA yang akan dibina di Sik, Kedah dan Tanah Merah, Kelantan, serta
sebuah sekolah menengah yang majoritinya Orang Asli di Sungai Siput,
Perak yang sudah hampir siap binaannya.
121. Manakala, beberapa buah Sekolah Berasrama Penuh akan dibina, seperti di Keningau, Sabah dan Manjung, Perak.
122. Menyentuh pendidikan tinggi pula, Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) merupakan antara strategi utama
RMK-11.
123. Langkah ini dijangka dapat menyokong pencapaian sasaran 80
peratus graduan mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas
menamatkan pengajian.
Tuan Yang Dipertua,
Tuan Yang Dipertua,
124. Berbicara tentang pertumbuhan hijau, pada Sidang Kemuncak
Perubahan Iklim Copenhagen 2009, Malaysia telah dengan secara sukarela
mensasarkan pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca atau
Greenhouse Gas daripada KDNK, sehingga 40 peratus menjelang tahun 2020.
125. Sehingga akhir tahun 2013, Malaysia telah berjaya mengurangkan
sebanyak 33 peratus intensiti pelepasan Greenhouse Gas daripada KDNK,
hasil daripada pelaksanaan langkah mitigasi.
126. Di sudut ini juga, senario global warming yang berlaku di
seluruh dunia telah mengakibatkan pelbagai bencana alam seperti banjir,
hakisan pantai dan tanah runtuh. Ini telah menjejaskan aktiviti ekonomi
serta punca pendapatan dan keselamatan rakyat.
127. Selain itu, untuk projek Rancangan Tebatan Banjir atau RTB,
antaranya, Kerajaan akan melaksanakan RTB Sungai Kelantan secara
bersepadu melalui pembinaan empangan Nenggiri dan Lebir.
128. Projek-projek lain termasuklah RTB Sungai Kuantan, Pahang,
Sungai Moyog di Sabah, Sungai Perak dan Sungai Kemaman di Terengganu.
Tuan Yang Dipertua,
129. Pembangunan infrastruktur adalah tulang belakang dalam melonjakkan kemajuan negara serta kesejahteraan rakyat.
130. Rancangan ini menarik perhatian kepada antaranya beberapa
pembangunan infrastruktur yang akan memberi impak tertinggi dalam
mencapai status negara maju. Ini, termasuklah pembinaan lebuhraya,
kemudahan MRT dan LRT, loji janakuasa elektrik, loji rawatan air, dan
inisiatif jalur lebar berkelajuan tinggi.
131. Bagi pembangunan rangkaian jalan raya, Lebuh Raya Pan Borneo
sepanjang 2,239 kilometer yang sedang dibina, akan meningkatkan
hubung-jalin di Sabah dan Sarawak.
132. Manakala, Central Spine Road, yang menghubungkan Kuala Krai ke
Simpang Pelangai Pahang dan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai akan
menambah-baik hubung-jalin di Semenanjung Malaysia dan memangkin
pertumbuhan di wilayah pantai timur.
133. Kemudiannya lagi, Lebuh Raya Pantai Barat yang dijangka siap pada tahun 2019, akan menyediakan akses yang lebih baik kepada penduduk pantai barat di Perak dan Selangor.
133. Kemudiannya lagi, Lebuh Raya Pantai Barat yang dijangka siap pada tahun 2019, akan menyediakan akses yang lebih baik kepada penduduk pantai barat di Perak dan Selangor.
134. Juga, Projek Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru dengan jarak 197 kilometer akan dilaksanakan.
Tuan Yang Dipertua,
135. Bagi pengangkutan awam juga, suka saya kongsikan, pembinaan
Klang Valley Mass Rapid Transit Laluan Sungai Buloh ke Kajang, Laluan
Sungai Buloh – Serdang – Putrajaya dan LRT3, kesemuanya akan berlangsung
dalam RMK-11.
136. Pembinaan High Speed Rail juga untuk makluman Tuan Yang
Dipertua, yang akan menjajari Bandar Malaysia di Kuala Lumpur, hingga ke
Jurong East di Singapura, akan dilaksanakan.
137. Kemudahan ini bakal mempercepatkan perjalanan KL ke Singapura,
pada hanya 90 minit. Setelah siapnya projek ini kelak, akan meningkatkan
manfaat ekonomi antara kedua-dua buah negara yang paling pesat
membangun di rantau ini.
Tuan Yang Dipertua,
138. Berkait perkhidmatan jalur lebar pula, Kerajaan akan
meningkatkan liputannya secara menyeluruh, melalui Inisiatif Jalur Lebar
Berkelajuan Tinggi atau HSBB2, dan Inisiatif Jalur Lebar Pinggir Bandar
untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.
139. Dengan ini, sukacita dimaklumkan, menjelang 2020, semua isi
rumah di ibu negeri dan kawasan pertumbuhan berimpak tinggi, akan
mendapatkan akses perkhidmatan jalur lebar berkelajuan 100 megabit
sesaat.
140. Manakala, saudara-saudara kita di kawasan pinggir bandar dan
luar bandar pula akan dapat akses perkhidmatan jalur lebar 20 megabit
sesaat…dalam kata lain, lagi laju daripada rumah kita sekarang ini.
Tuan Yang Dipertua,
141. Seterusnya, loji-loji janakuasa elektrik baharu untuk menjana
7,626 Megawatt kuasa elektrik akan dibina. Antaranya adalah 3 buah
projek loji janakuasa elektrik arang batu di Johor, Perak dan Negeri
Sembilan serta 2 buah projek loji janakuasa elektrik gas di Pulau Pinang
dan Johor.
142. Ini semua, dengan anggaran jumlah kos pelaburan sebanyak 28
bilion ringgit dan akan mewujudkan lebih kurang 35,000 jumlah peluang
pekerjaan baharu.
Tuan Yang Dipertua,
143. Loji Rawatan Air Langat 2 pula adalah penting bagi menjamin
bekalan air yang berterusan. Margin rizab bagi Selangor dan Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur pada masa sekarang adalah lebih kurang 4
peratus.
144. Bagi mempastikan margin rizab di antara 10 hingga 15 peratus
seperti yang digariskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara,
pelaksanaan ini perlu disegerakan. Kelewatan pelaksanaan projek ini akan
menyebabkan integriti bekalan air dan kesejahteraan rakyat Selangor
serta Lembah Kelang terjejas.
Tuan Yang Dipertua,
145. Di sudut lain, perkhidmatan pembetungan bersambung pula
disasarkan meningkat daripada 63 peratus kepada 80 peratus di bandar
utama. Oleh itu, Projek Loji Rawatan Serantau dan Rangkaian Paip
Pembetungan di Kinta Barat, Papan, Perak,… akan dibina dengan anggaran
kos berjumlah 2 bilion ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
146. Berhubung sumber gas asli, medan gas yang sedia ada, khususnya
di Semenanjung Malaysia semakin matang. Dari itu, kemudahan pengimportan
gas asli perlu ditambah untuk memenuhi permintaan gas asli pada masa
hadapan.
147. Lantasnya, Terminal Regasifikasi 2 sedang dibina di Pengerang,
Johor sebagai tambahan kepada Terminal Regasifikasi 1 di Melaka, yang
mula beroperasi pada tahun 2013.
148. Selain itu, pembangunan Kompleks Bersepadu Petroleum Pengerang
akan terus dilaksanakan dengan pelaburan sebanyak 53 bilion ringgit
pada 2016.
149. Selain daripada itu, projek infra utama yang akan dilaksanakan
dalam Rancangan ini, termasuklah pembinaan lapangan terbang Mukah dan
Lawas di Sarawak, pembesaran lapangan terbang Kota Bharu dan
penambahbaikan Pelabuhan Kuantan. Terminal Padang Besar juga akan
dinaiktaraf dalam merancakkan lagi kendalian kargo dari Selatan Thailand
untuk dieksport melalui Pelabuhan Klang.
Tuan Yang Dipertua,
150. Seterusnya, kajian empirikal membuktikan bahawa wujudnya
korelasi yang kuat antara inovasi dan produktiviti. Survival dan
berjayanya sesebuah organisasi atau negara itu, sangat bergantung kepada
penekanan terhadap dua perkara ini.
151. Justeru, untuk sentiasa kekal mendepani kelok kemajuan, Malaysia
akan terus membudayakan inovasi yang membawa kepada peningkatan
produktiviti dalam semua peringkat, sama ada di peringkat nasional,
industri mahupun perusahaan.
152. Sehubungan itu, satu Blueprint Produktiviti Nasional akan
digubal bagi menggariskan hala tuju serta merangka tindakan komprehensif
lagi spesifik dalam memacu produktiviti. Bagi maksud ini, Majlis
Produktiviti Nasional akan diwujudkan.
153. Salah satu langkah untuk meningkatkan produktiviti, Pasukan
Petugas Logistik Kebangsaan akan ditubuhkan untuk menyelaras, dan
memantau pelaksanaan Pelan Induk Logistik dan Fasilitasi Perdagangan.
154. Sektor industri pengangkutan dan penyimpanan dijangka berupaya
mewujudkan sejumlah 146 ribu peluang pekerjaan baharu berkemahiran
tinggi kepada rakyat.
155. Dalam usaha meningkatkan tahap inovasi negara lagi, Kerajaan akan turut mengambil pendekatan yang pelbagai. Umpamanya, peralihan daripada pendekatan secara Government-centric kepada pendekatan keseluruhan masyarakat dan memberi peluang kepada penglibatan organisasi berasaskan komuniti.
155. Dalam usaha meningkatkan tahap inovasi negara lagi, Kerajaan akan turut mengambil pendekatan yang pelbagai. Umpamanya, peralihan daripada pendekatan secara Government-centric kepada pendekatan keseluruhan masyarakat dan memberi peluang kepada penglibatan organisasi berasaskan komuniti.
156. Selaras itu, kerjasama penyelidikan antara Kerajaan, industri
dan ahli akademik akan terus diperkemas. Salah satu contoh sedia ada
adalah, seperti Steinbeis Malaysia Foundation, SIRIM-Fraunhofer dan
Jaringan Penyelidikan Awam Swasta yang ditubuhkan bagi meningkatkan
pengkomersialan hasil penyelidikan.
157. Makanya, menjelang tahun 2020, pengkomersialan output R&D
disasar meningkat kepada 10 peratus berbanding 5 peratus pada tahun
2013.
Tuan Yang Dipertua,
158. Melalui Rancangan ini juga, sektor-sektor utama seperti
perkhidmatan, pembuatan, pertanian, perusahaan kecil dan sederhana, akan
terus dipastikan signifikasi sumbangannya kepada KDNK negara.
159. Dalam sektor perkhidmatan, antara industri yang akan digalakkan
adalah kewangan Islam, ICT, minyak dan gas, penjagaan kesihatan swasta,
pendidikan tinggi swasta, pelancongan dan industri Halal.
160. Pada tahun ini, Blueprint Sektor Perkhidmatan yang mempunyai 29
pelan tindakan, mensasarkan peningkatan produktiviti buruh dari 68,111
ringgit pada tahun 2015, kepada 83,411 ringgit menjelang tahun 2020.
Sektor ini, Insya-Allah, dijangka menyumbang sebanyak 55.3 peratus
kepada KDNK.
161. Bagi sektor pembuatan pula, akan dipacu oleh beberapa subsektor
pemangkin iaitu kimia, elektrik dan elektronik, mesin dan peralatan,
peranti perubatan serta aeroangkasa. Yang penting, sektor ini akan
membuka 2.8 juta lagi peluang pekerjaan.
162. Seterusnya, bagi merancakkan pertumbuhan eksport baru-baru ini,
Majlis Eksport Negara telah ditubuhkan. Majlis ini bertanggungjawab
bagi menggalakkan pertumbuhan eksport termasuk meningkatkan ekosistem
eksport dengan menaik taraf infrastruktur, meningkatkan aktiviti dalam
rantaian nilai, memaksimumkan peluang perdagangan terutamanya dengan
negara-negara ASEAN dalam jangkamasa pendek dan sederhana.
Tuan Yang Dipertua,
163. Jika negara perlu melakukan inovasi, bandar-bandar utama kita
juga perlu melakukan inovasinya supaya kekal relevan. Kini,
bandaraya-bandaraya besar dunia, bukan hanya berlumba-lumba mencari
pelaburan, tetapi ia menjadi persaingan bakat-bakat terbaik dunia untuk
mentransformasikan bandar-bandar ini dan seterusnya negara mereka.
164. Jika dahulu, kalau berbicara tentang negara China, hanya bandar
Beijing dan Shanghai diperkatakan. Namun kebelakangan ini, bandar-bandar
lain di negara China seperti Shenzhen atau Guangzhou, menjadi sebutan
di persada dunia.
165. Justeru, bagi meningkatkan daya saing negara, bandar-bandar
Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu telah dikenal pasti
untuk melonjak pertumbuhan ekonomi. Bandar-bandar ini akan merangka
pelan induk persaingan masing-masing supaya selaras dengan aspirasi
negara di bawah RMK-11.
Tuan Yang Dipertua,
166. Sesungguhnya, kita sentiasa menghargai jasa dan khidmat
kakitangan awam dan anggota keselamatan. Untuk itu, dalam Rancangan ini,
Kerajaan akan terus menjamin kebajikan mereka seperti pembangunan
kerjaya, skim perkhidmatan dan perumahan dari masa ke semasa.
167. Di samping itu, penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat akan
terus dimantapkan dari segi kepantasan khidmat, kecekapan dan
integriti.
Tuan Yang Dipertua,
168. Bagi keseluruhan pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesebelas ini,
Kerajaan akan menyediakan siling peruntukan perbelanjaan pembangunan
sebanyak 260 bilion ringgit sepanjang tempoh 2016 hingga 2020.
PENUTUP
Tuan Yang Dipertua,
169. Seandai dan sekira diqabul dan diperkenankan oleh Allah jua,
realitinya, dalam pada kita menongkah separuh jalan Rancangan ini,
tinggal hanya setahun dua saja lagi, era yang disebut sebagai beyond
2020.
170. Meskipun dengan segala perencanaan yang kita perbuat ini,
gambaran dan warna Malaysia pasca 2020 nanti, adalah amat penting untuk
dijiwai suasana dan keadaannya kala itu. Barulah kita dapat berfirasat
dalam meneruskan momentum pertumbuhan dan rentak perjalanan, sebuah
kelana negara ini supaya tidak tersasar.
171. Ini bermaksud, bayangan dan corak Malaysia contohnya, pada tahun
2030, antaranya, jumlah penduduk mencecah kira-kira 36 juta, kadar
urbanisasi meningkat kepada 80 peratus, KDNK sebanyak 2.6 trilion
ringgit, KDNK per kapita pula melebihi 117 ribu ringgit dan perdagangan
dunia dijangka menjangkau 44 trilion dolar Amerika.
172. Yang terlebih utama, kita mahu adalah, wujudnya National
Consensus atau Kesefahaman Nasional tentang halatuju negara pasca 2020.
173. Berbalik dan berpasak kepada pelbagai prakarsa atau inisiatif besar, selama bertahun-tahun ini, seperti bajet 2015, telah dirangka atas keseimbangan antara capital economy dan people economy.
173. Berbalik dan berpasak kepada pelbagai prakarsa atau inisiatif besar, selama bertahun-tahun ini, seperti bajet 2015, telah dirangka atas keseimbangan antara capital economy dan people economy.
174. Tatkala, berdepan dengan ketidak tentuan harga minyak dan
kemelut ekonomi global, pada awal tahun ini pula, kerajaan tanpa
berlengah telah membuat pengumuman khas, untuk mengambil langkah-langkah
proaktif mengubah polisi-polisi bagi mempastikan negara kekal berada di
trajektori dan landasan yang betul lagi tepat.
175. Ini membuktikan, Kerajaan Barisan Nasional adalah sebuah
Kerajaan yang pragmatik dan sistematik dalam menyusun dan mencartakan
apa jua kepentingan rakyat,… sekalipun dalam banyak hal, kita telah
berbuat sehabis baik begini-begini,… namun,… ditohmahnya pula oleh
orang, begitu-begitu,…..
Tuan Yang Dipertua,
176. Dalam hal lain,… apabila Kerajaan dengan ikhlasnya pulak,…
memutuskan supaya subsidi pukal diganti dengan subsidi bersasar agar
bantuan dapat diberi terus kepada golongan yang sangat memerlukan
melalui BR1M,… tiba-tiba,… dituduh dan diperkata pulak,… sekian-sekian.
Tuan Yang Dipertua,
Tuan Yang Dipertua,
177. Berkenaan GST, umum berpendapat ia adalah baik untuk negara.
Namun, setelah mendengar rungutan dan hingga berlakunya kekeliruan
kepada rakyat, kita perakui sistem ini, mengambil masa bagi proses
pelaksanaannya yang lebih efisien dan memuaskan semua pihak.
178. Sehubungan ini, saya nak nyatakan dalam Dewan Yang Mulia, rakyat
sekalian janganlah gundah dan runsing,… kerana,… pihak Kerajaan akan
memaklumkan tentang hasil kutipan GST ini, ke arah mana perbelanjaannya.
179. Kerana itu,… pagi ini,… saya bagi pihak Kerajaan yang menepati
janji, ingin menegaskan bahawa,… kita akan mempastikan hasil GST akan
diperuntukkan kembali kepada manfaat dan keperluan rakyat
keseluruhannya.
Tuan Yang Dipertua,
180. Walaupun, mutakhir ini, pelbagai dugaan dan rintangan
dihadapkan, saya dan pihak Kerajaan memilih hanya SATU jalan, iaitu
terus melangkah ke hadapan dan sekali-kali tidak akan berbalik haluan.
181. Ternyata, benarlah kata-kata para alim dan pujangga, hidup ini
sememangnya adalah sebuah perjuangan, laksana lautan yang jarang tenang.
Sekali ombak naik, sekali ombak turun. Pergantian musim hujan dan musim
panas, adakala masa susah dan adakala masa senang.
182. Justeru,… saya menyeru kepada rakan-rakan yang setia,… sekiranya
kita bersabar,… seandainya kita terus kukuhkan kepercayaan,… juga
keyakinan di dada,… bertawakal kepada yang Maha Kuasa,… kelak… akan
terbentanglah jalan keluar dan kemenangan buat kita.
183. Begitulah, kita wajib menghitung doa dan berharap bahawa
Rancangan Malaysia Kesebelas ini, akan disokong dan memanfaati semua
lapisan.
184. Tak kiralah,… Pak Tani di kebun, Pesawah di bendang, para
nelayan, golongan kolar biru dan putih, ahli-ahli korporat mahupun
cendekiawan.
185. Hatta, kepada saudara-saudari kita,… di seberang sana, saya
mengajak agar sama-sama mendokong usaha murni Kerajaan untuk menjulang
Malaysia gagah dan megah di persada antarabangsa.
Tuan Yang Dipertua,
186. Sesungguhnya, perjuangan ini adalah perjuangan yang murni, demi
bangsa Malaysia dan pertiwi. Sememangnya jua, beban dan amanah yang
sedang digalas ini, adalah berat dan memerlukan jiwa-jiwa besar serta
kekuatan dari segenap penjuru. Barulah sebuah negara bangsa yang maju
dan berjaya dapat dijelmakan.
187. Pucuk pangkalnya, janganlah dipersiakan, apa yang sudah kita
secara susah payah raih dan kecapi. Jauh sekali meruntuhkannya,
nauzubillah,… kelak menyesal tidak berguna lagi,….
188. Lantas, marilah kita merenung bait-bait lagu Kebangsaan,
“Negaraku, …. Tanah Tumpahnya Darahku,… Rakyat Hidup Bersatu dan Maju…”
Itulah tema,… itulah rahsia,… kecemerlangan kita selama ini.
189. Disimpulkan kalam,… Ya Ilahi,… Ya Robbi,… satukanlah hati-hati
kami,… berkatilah perjuangan ini,… seraya kita maktub dan keramatkan
rancangan Malaysia Kesebelas ini.
Tuan Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
190. Pastinya,…pastinya… setiap satu amal dan setiap satu usaha kita
semua,… akan dipersaksi oleh masa dan dihakimi oleh waktu.…
191. Bak kata orang dulu-dulu,… Yang benar tetap benar,…. Buktinya kelak jadi sejarah.
Tuan Yang Dipertua,
Saya mohon mencadangkan.
Ikuti kami melalui RSS 2.0.