. Penentuan Arah Kiblat - Emmy Shaklee - [Shaklee Independent Distributor]

Penentuan Arah Kiblat

at Khamis, 18 Mei 2017[4:52 PTG]

Berijtihad arah Kiblat adalah perlu dilakukan bagi menentukan arah Kiblat masjid, surau dan tempat-tempat yang hendak didirikan solat. Mengikut keempat-empat Mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali, menghadap Kiblat menjadi syarat sah solat. Bagi Mazhab Syafie terdapat tiga kaedah berhubung dengan syarat sah menghadap Kiblat iaitu:

i. Bagi seseorang yang berada di dalam Masjidil Haram sama ada nampak Baitullah (Kaabah) atau tidak, wajib ia menghadap dan menghalakan dirinya ke Baitullah dengan penuh yakin. Kewajipan tersebut boleh dipastikan terlebih dahulu dengan melihat atau menyentuhnya bagi cacat penglihatan atau dengan cara lain yang boleh dipastikan, asalkan ada keyakinan. Menentukan Kiblat dengan cara ini dinamakan "Kiblat Yakin".

ii. Bagi seseorang yang jauh dari Baitullah (Kaabah) iaitu yang berada di luar Masjidil Haram dan di sekitar Tanah Suci Makkah hendaklah menghadap ke arah Masjidil Haram dengan tujuan ke arah Kaabah secara dzanni sahaja dan bergantung kepada ijtihadnya. Oleh yang demikian cara ini dinamakan "Kiblat Dzanni". Kaedah ini boleh diketahui melalui pertanyaan kepada mereka yang berpengetahuan seperti penduduk Makkah.

iii. Bagi seseorang yang berada di luar Masjidil Haram dan di luar tanah suci Makkah hendaklah menghadap ke arah tanah suci Makkah dengan tujuan menghadap Masjidil Haram atau Kaabah. Cara ini memadai untuk melaksanakan tuntutan syarak ketika mendirikan solat dan ibadat-ibadat lain.

Bagi tempat yang jauh seperti di Malaysia, ijtihad arah Kiblat boleh ditentukan melalui perhitungan falak atau astronomi dengan menggunakan peralatan yang bersesuaian seperti kompas, teodolit dan juga mata angin. Arah Kiblat juga boleh ditentukan berdasarkan kepada kedudukan matahari dan bintang. Kaedah-kaedah yang tersebut di atas digunapakai oleh umat Islam di seluruh dunia sehingga kini.

Namun demikian kaedah berdasarkan perhitungan falak dibantu dengan penggunaan teodolit lebih seragam. Oleh itu kaedah tersebut digunapakai secara rasmi bagi penandaan arah Kiblat di negara Malaysia.

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
loading...