Jimat Di Musim Perayaan
Assalammualaikum w.b.t.
Sememangya banyak perbelanjaan perlu dikeluarkan ketika persediaan musim
perayaan, namun dengan sedikit perancangan dan kawalan, perbelanjaan
juga dapat diminimumkan supaya tahun ini, kita berada dalam bajet
perbelanjaan musim perayaan.
Berikut enam(6) tip untuk berjimat ketika musim perayaan:
1. Lebih awal lebih baik
Tip pertama untuk kita bersiap sedia lebih awal. Ertinya, cara terbaik
dalam menguruskan kewangan dan perbelanjaan ketika bulan Ramadan adalah
dengan tidak hanya tertumpu pada Ramadhan dan musim perayaan untuk
membeli.
Sebaiknya, bersedia lebih awal sepanjang tahun sedikit demi sedikit
dalam persiapan musim perayaan. Dengan cara ini, sejumlah wang yang
besar tidak perlu dibelanjakan khusus untuk perayaan. Tetapi, segala
perbelanjaan beli-belah diagihkan sepanjang tahun sikit demi sedikit
sebagai persiapan musim perayaan.
2. Sediakan senarai
Senaraikan perbelanjaan yang diperlukan. Dengan merancang perbelanjaan
sebelum tiba musim membeli, ia dapat menjadikan tabiat pembelian kita
lebih terkawal. Lakukan perancangan dengan menyenaraikan perbelanjaan
mengikut kepentingan. Apa yang penting ditempatkan di bahagian atas
senarai dan apa yang kurang penting di bahagian bawah senarai itu.
Tetapkan juga perbelanjaan yang mungkin tergolong dalam kategori tidak
penting langsung. Sememangnya ada! Dan perbelanjaan sebegini yang akan
tergolong dalam pembaziran.
Dengan menyenaraikan barangan yang perlu dibeli mengikut kepentingan dan
keutamaan, ini satu perancangan kewangan asas dalam menyediakan kita
menghadapi musim membeli-belah ketika Ramadan. Elakkan daripada membeli
apa yang tidak terdapat dalam senarai kita. Latih diri untuk mengawal
perbelanjaan mengikut senarai yang sudah dibuat.
3. Gunakan Internet
Tidak seperti dulu,
kini perbandingan harga amat mudah dilakukan melalui Internet. Lakukan
penyelidikan dan perbandingan harga secara dalam talian mengenai
barangan yang perlu beli terutama sesuatu yang mahal. Cari jalan dan
cara anda dapat menjimatkan wang dalam pembelian musim perayaan dengan
penyelidikan di Internet.
Mungkin di sesetengah tempat, anda boleh dapatkan barangan yang anda inginkan pada harga yang lebih murah berbanding tempat lain. Segala pengurangan belanja adalah satu penjimatan bagi anda.
Penyelidikan juga bukan hanya fokus pada membandingkan harga, tetapi
juga daripada ulasan atau cadangan pengguna lain supaya lebih mudah anda
dapat melakukan keputusan pembelian yang tepat. Mungkin selepas membaca
cadangan pengguna lain, anda mengambil keputusan tidak membeli sesuatu
itu maka, penjimatan sudah dilakukan!
4. Ambil kesempatan jualan murah
Musim perayaan semestinya terkenal dengan jualan istimewa dan diskaun
hebat. Namun perlu berhati-hati juga dengan perniagaan yang tidak
bertanggungjawab mengiklankan tawaran yang pelbagai tetapi sebenarnya
pada harga yang lebih mahal.
Sebab ini, pentingnya penyelidikan dan persediaan awal. Adakah harga
selepas diskaun benar-benar rendah atau hanya sekadar teknik memainkan
emosi anda untuk membeli?
Ketika musim perayaan, emosi pembelian kian memuncak. Emosi ini yang
menarik pembeli untuk melakukan pembelian yang kadangkala tidak
diperlukan. Dengan merancang perbelanjaan dan mengikuti senarai
perancangan yang sudah dilakukan, emosi ketika jualan murah lebih mudah
dikawal.
5. Tunggu dulu
Ada juga pesanan daripada pembeli musim perayaan untuk tidak gelojoh
membeli ketika awal Ramadan. Sebabnya apabila di penghujung Ramadan,
harga barangan akan jatuh lebih rendah untuk menghabiskan stok. Betul
juga pesanan itu kerana barangan musim perayaan sering cuba dihabiskan
ketika Ramadan. Sekiranya boleh, ambil peluang ini. Sememangnya betul,
pilihan akan menjadi kurang di akhir Ramadan tetapi tepuk dada tanya
selera. Mungkin ini boleh menjadi strategi perbelanjaan anda tahun ini.
6. Ambil kesempatan berniaga?
Apabila menyebut mengenai tip menjimat wang, pastinya tidak lari juga
dengan isu menjana wang. Sekiranya mendapat wang tambahan, maka lebih
selesa perbelanjaan dan lebih banyak dapat disimpan.
Seperti yang dikatakan, Ramadan bulan yang dilimpahi dengan pelbagai
rezeki keberkatan. Mana tahu, inilah masanya untuk anda memulakan
perniagaan mendapat rezeki keuntungan perniagaan yang berkat? Betul tak?
Ikuti kami melalui RSS 2.0.