. BR1M dilanjut - Emmy Shaklee - [Shaklee Independent Distributor]

BR1M dilanjut

at Isnin, 19 Mac 2012[9:31 PG]

IPOH: Tempoh mengemukakan rayuan permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang sepatutnya tamat Khamis lalu, dilanjutkan sehingga satu tarikh yang belum ditentukan bagi memberi peluang kepada mereka yang layak mendapatkan bantuan RM500 bagi setiap isu rumah itu membuat permohonan.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata walaupun demikian, mereka dinasihatkan segera mengemukakan rayuan bagi mempercepatkan proses kelulusan. “Kita tidak tetapkan tarikh sampai bila, tetapi kita mengharapkan sehingga akhir Mac ini majoritinya sudah membuat rayuan. Ini disebabkan pada April ini, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) agensi yang dipertanggungjawabkan permohonan BR1M akan terbabit dalam proses kutipan hasil cukai.
“Agensi itu sudah diberi mandat lebih luas untuk menambah hasil kutipan cukai, jadi mereka (pemohon BR1M) tidak sepatutnya berlengah untuk mengisi borang rayuan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pecah tanah tapak Perpustakaan Desa Pekan Chemor, dekat sini, semalam.
Beliau berkata, keputusan itu selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini kerana kerajaan mahu memastikan setiap rakyat yang layak, menerima bantuan itu. Pertengahan bulan lalu, Najib mengumumkan kerajaan bersedia melanjutkan tempoh rayuan permohonan BR1M selepas 15 Mac bagi memastikan rakyat dengan pendapatan isu rumah kurang RM3,000 sebulan menikmati faedah daripada program berkenaan.
Ahmad Husni yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, agensi berkaitan juga menumpukan kepada senarai penerima program eKasih dan senarai individu yang direkodkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), termasuk di kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak bagi mengelak bantuan bertindih.
“Jumlah keseluruhan pemohon BR1M yang tersenarai dalam eKasih dan JKM berjumlah 750,000. Jadi, kita sedang membuat pemeriksaan bagi memastikan mereka yang sudah menerima bantuan dikeluarkan daripada senarai pemohon menunggu,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan peruntukan RM1.92 bilion untuk program BR1M sehingga 1 Mac lalu, yang memberi manfaat kepada 3.8 juta atau 59 peratus daripada jumlah keseluruhan isi rumah. Sehingga tarikh berkenaan, 4.78 juta permohonan diterima dan 3.74 juta atau hampir 80 peratus permohonan berjaya, manakala 972,000 atau 20 peratus lagi gagal.
Antara alasan bagi yang tidak berjaya adalah permohonan bertindih, maklumat pemohon serta pasangan dan tanggungan tidak lengkap, pendapatan isi rumah melebihi RM3,000 dan pemohon atau pasangan termasuk dalam kategori pembayar cukai pendapatan. Bagaimanapun, daripada lebih 200,000 rayuan diterima setakat ini, hampir 92 peratus diluluskan kerana pemohon mengemukakan maklumat lengkap

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
loading...