. Mandi Hadas (kemusykilan anda) - Emmy Shaklee - [Shaklee Independent Distributor]

Mandi Hadas (kemusykilan anda)

at Rabu, 28 Mac 2012[9:20 PG]

Terlebih dahulu saya berikan pengenalan mandi wajid dahulu sebagai pengetahuan kita semua. Mandi wajib atau dinamakan mandi hadas disebabkan keluarnya mani, keluar darah haid, nifas dan berjunub (bersetubuh) antara suami dan isteri. Menurut pandangan As-Sayyid Sabiq dalam kitabnya Fiqh Sunnah jilid 1 mengatakan bahawa :

“Mandi adalah meratakan air ke seluruh tubuh”.

Mandi disyariatkan berdasarkan Firman Allah yang bermaksud : “…dan jika kamu Junub (berhadas besar) maka bersucilah Dengan mandi wajib…”. (Al-Maidah : 6)

Jelas di sini bahawa mandi wajib adalah menyampaikan air keseluruh anggota-anggota zahir tanpa ada halangan seperti cat, sisik ikan, minyak dan seumpamanya. Jika ada perkara yang menghalang air sampai ke seluruh anggota badan, maka tidak sah mandi tersebut dan ia perlu mengulangi mandi tersebut.
Perkara-perkara yang mewijibkan mandi

  1. Bertemu dia khitan atau bersetubuh (masuknya zakar sehingga terbenam kepalanya ke dalam faraj).
  2. Keluar mani walaupun sedikit.
  3. Mati melainkan mati syahid.
  4. Keluar haid bagi perempuan.
  5. Keluar nifas (darah yang keluar mengiringi bayi ketika perempuan bersalin).
  6. Wiladah atau melahirkan anak.

 

Fardhu mandi

Pertama :
Niat

Keluar mani atau keluar haid dan nifas

نَوَيْتُ رَفَعَ الْحَدَثِ الْاَكْبَرِ لِلهِ تَعَالَى

Maksudnya : “Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Taala”.

نَوَيْتُ الغَسْلَ عَنِ الْحَيْضِ لِلهِ تَعَالَى

Maksudnya : “Sahaja aku mandi daripada haid kerana Allah Taala”.

Mandi disebabkan bersetubuh antara suami dan isteri

نَوَيْتُ الغَسْلَ عَنِ الْجَنَابَةِ لِلهِ تَعَالَى

Maksudnya : “Sahaja aku mandi junub kerana Allah Taala”.

Mandi disebabkan keluarnya darah nifas

نَوَيْتُ الغَسْلَ عَنِ النِفَاسِ لِلهِ تَعَالَى

Maksudnya : “Sahaja aku mandi daripada nifas kerana Allah Taala”.

Kedua :
Menghilangkan najis daripada anggota badan. Iaitu sebelum memulakan mandi, perlulah terlebih dahulu membersihkan atau menghilangkan najis daripada anggota badan.

Ketiga :
Mengalirkan atau meratakan air ke seluruh anggota badan. Maksudnya ialah menyampaikan air ke seluruh bulu, rambut, seluruh anggota badan dan mengalirkan air kepada tempat-tempat yang zahir daripada khubul dan dubur.

Cara mandi

1. Sebelum memulakan mandi hadas, maka terlebih dahulu mandi biasa untuk membersihkan tubuh, menghilangkan kotoran dan perkara-perkara yang boleh menghalangkan air sampai ke anggota badan. Perlulah disabun terlebih dahulu sebagai tanda menghilangkan kotoran sebelum mandi hadas. Ingatan saya, jangan ketika mandi hadas anda sabun, kerana sabun itu bukan dari air yang mutlak dan mandi hadas anda boleh menjadi tidak sah di sebabkan sabun tersebut.

2. Setelah selesai mandi biasa, di sunatkan mengambil wuduk dahulu sehingga membasuh telinga sahaja dan tidak perlu membasuh kaki lagi. basuhan kaki akan dilakukan akhir mandi nanti. Perkara ini tidak dilakukan pun tidak mengapa kerana ia merupakan perkara sunat sahaja.

3. Duduk bertinggung bagi yang berkemampuan. Ini bertujuan untuk membuka semua anggota yang zahir dan mudah untuk mengalirkan air ke kawasan-kawasan sulit tersebut seperti qubul atau dubur. Kalau berdiri pun tidak menjadi masalah, yang paling penting ialah air dapat sampai kepada semua bahagian anggota badan.

4. Niat dahulu sebelum mandi (Lihat dalam bahagian Fardhu Mandi di atas). Bagi sesiapa yang tidak pandai dalam bahasa arab boleh dalam bahasa melayu.

5. Sunat memulakan mandian disebelah kanan dahulu dan seterusnya disebelah kiri.

6. Mulakan mandi wajib dengan mengalirkan air mutlak di salah satu anggota badan dan disertakan dengan niat mandi hadas sepertimana dinyatakan di bahagian fardhu mandi.

7. Gosot atau sapu di semua anggota badan yang zahir iaitu dirambut, kepala, telingga, hidung, mata, mulut, tengkok, ketiak, tangan, jari, kuku, badan, pusat, qubul, dubur, kaki, pelipat-pelipat kaki dan tangan, kuku kaki, jari kaki dan sebagainya. Ini bertujuan untuk menyampaikan air di seluruh anggota badan.

8. Akhir sekali basuh kaki sebagai penyudahnya, kerana semasa mengambil wuduk tadi kita tidak membasuh kaki.

Saya rasa ini sahaja untuk perbahasan bab mandi hadas bagi lelaki dan perempuan. Maaf saya menulis artikel ini dengan ringkas dan menggunakan teknik penulisan poin sahaja. Jika ada apa-apa persoalan boleh kemukakan di ruangan komen dibawah ini. Insyaallah saya akan menjawabnya jika masa mengizinkan. Anda juga boleh menyemak di kitab-kitab fiqh, bab bersuci, bahagian mandi.

http://www.ustaznoramin.com/2010/05/cara-mandi-hadas-mandi-wajib.html

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
loading...