Adi cium, peluk Rita
BERTEMU dengan pelakon Rita Rudaini pada majlis pelancaran drama terbaharu lakonannya berjudul Sehangat Asmara di Publika Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, dia tetap kelihatan jelita biarpun usianya sudah mencecah 37 tahun.
Jadi, tidak hairanlah ada gosip nakal yang mengatakan ada seorang isteri kepada aktor terkenal cemburu dengan Rita dan tidak membenarkan pelakon wanita itu berlakon dengan suaminya.
Beralih pada pelakon bertubuh sasa Adi Putra pula, hubungannya bersama isteri, Zuhaida Yusof dikhabarkan semakin intim selepas kehadiran anak perempuan Zara Adelia, 3 bulan.
Kedua-dua figura hebat itu digandingkan dalam drama tersebut yang diadaptasi daripada sebuah novel karya Sofea Aisya yang juga penulis novel Adam & Hawa - sebelum juga turut dijadikan drama bersiri dan sudah disiarkan di TV3.
Rita profesional - Adi
Adi atau nama sebenarnya, Mohamed Hadi Putera, 32, dalam pada itu mengakui selesa dengan sikap Rita kerana aktres itu bersikap terbuka dan memberi kerjasama bagi menjayakan babak-babak romantis.
"Rita profesional, jadi tidak ada masalah apabila ada babak memerlukan saya mencium dahi dan mendukungnya. Ia memudahkan kerja saya menjayakan watak suami isteri bersamanya," akui Adi Putra mengenai gandingannya dengan Rita dalam drama bersiri Sehangat Asmara.
Ditebak soalan sama ada drama gandingannya bersama Rita itu dapat memecahkan tembok fenomena naskhah Adam & Hawa lakonan aktor terkenal Aaron Aziz dan Nadiya Nisa, ujar Adi, dia yakin dengan kejayaan Sehangat Asmara. Ini kerana novel dengan judul yang sama itu sememangnya popular dan mempunyai pengikut tersendiri.
"Saya yakin Sehangat Asmara akan menjadi fenomena kerana ia diadaptasi daripada novel terkenal," jelas Adi yang membawakan watak pelajar dan kemudiannya suami kepada Rita itu.
Mengulas mengenai peranannya sebagai pelajar bersama Rita dalam drama tersebut, ungkap Adi, ia tidak menjadi masalah buat mereka.
"Usia tidak tertakluk kepada watak yang kita bawa. Asalkan ia boleh meyakinkan penonton. Jika beri watak itu kepada orang muda, kalau dia tidak dapat warnakan watak itu pun tiada guna. Disebabkan itu Rita dipilih sebab dia berpengalaman.
"Cara dia menggalas beg dengan postur tubuh yang pandai dimainkannya sudah berjaya menampakkan keremajaan dia," ulasnya yang turut memberitahu, tidak akan mengubah bentuk tubuhnya untuk membawa watak sebagai pelajar.
ADI PUTRA dan Rita bersama pelakon cilik, Fureena Ezlyn yang turut berlakon dalam Sehangat Asmara.
Di luar lapangan seninya, Adi kini mengakui kehadiran Zara Adelia yang dipelihara kira-kira tiga bulan lalu menjadi pengikat kepada rumah tangganya yang hampir-hampir musnah pada tahun lepas.
Ditanya adakah kehadiran anak itu merapatkan semula perkahwinannya dengan Zuhaida yang dikatakan berantakan sebelum ini, ungkap Adi, dia menyerahkan soal jodoh kepada Tuhan.
"Tidak boleh kata sejauh mana (kehadiran anak) akan mengekalkan rumah tangga saya. Kami biarkan ia berjalan secara semula jadi. Apa yang penting, doa daripada kami berdua kepada Tuhan agar dipermudahkan segala urusan," tuturnya mengenai perkahwinan yang dibina sejak 14 April 2006 itu.
Gembira dengan kehadiran Zara, kongsi Adi, setiap kali keluar berlakon dia tidak sabar untuk pulang semula ke rumah malah akuinya, rutin sebagai bapa seperti membuat susu sudah dipraktikkan setiap hari walaupun Zara berjaga pada pukul 4 pagi.
"Ketika ambil dia umur empat hari, saya takut lagi mahu dukung tetapi sekarang bila umur dia sudah tiga bulan saya sudah berani dukung. Kehadiran Zara memang menggembirakan kami (Adi dan isteri). Ia adalah pengalaman baharu buat kami," jelasnya lagi.
Rita dan Lisdawati
Masih lagi tidak selesai dengan kes rumah tangganya, Rita Rudaini mengakui tertekan membaca novel Sehangat Asmara yang mengisahkan kesengsaraan seorang isteri menunggu suaminya selama sembilan tahun.
"Sebenarnya saya memang suka baca novel dan Sehangat Asmara merupakan salah satu koleksi novel yang saya ada. Cuma, saya tertekan baca novel itu kerana ceritanya sedih," ujarnya yang mengakui dengan membaca novel tersebut membantunya menjayakan drama Sehangat Asmara itu.
Tidak hanya tertekan membaca novel, Rita juga mengakui mengalami tekanan kerana menjayakan babak yang banyak menangis sehingga menyebabkan air matanya kering. Mujur, pihak produksi faham dan tidak memaksa Rita untuk menjayakan babak menangis sehingga dia memperoleh mood semula.
Ditebak soalan tidakkah tawaran berlakon dalam Sehangat Asmara itu mengguris perasaannya kerana ia kelihatan serupa dengan kehidupan sebenarnya, ungkap Rita, dia tidak berasa sedemikian.
"Saya tidak terguris. Apa yang boleh saya cakap, ia memudahkan lagi untuk saya menjiwai watak tersebut kerana pernah melaluinya," jelasnya yang membawakan watak sebagai Kamilia Najwa itu.
Mengulas mengenai gandingannya bersama Adi, tutur Rita, Sehangat Asmara bukan merupakan gandingan pertamanya bersama Adi kerana sebelum ini dia pernah berlakon dengan Adi dalam filem Balistik.
Begitupun, pelakon drama Kutub Utara Kutub Selatan itu mengakui agak sukar untuk mendekati Adi pada mulanya.
"Ini kali ketiga berlakon bersama Adi. Cuma, sebelum ini adegan bersama Adi tidak banyak tetapi dalam Sehangat Asmara kami berlakon sebagai suami isteri.
"Mula-mula susah juga nak dapatkan keserasian dengan Adi kerana saya tidak mengenalinya dengan rapat. Lainlah dengan Rosyam dan Aqasha sebab kami memang berkawan jadi untuk membina keserasian di set penggambaran adalah mudah," jelasnya.
Melihat karakter Adi yang pendiam, Rita pada mulanya gentar untuk menyapa Adi kerana takut dituduh 'gatal.'
"Mula-mula memang rasa canggung tetapi selepas seminggu penggambaran baru boleh 'masuk' dengan dia (Adi)," ujarnya mengenai gandingannya bersama Adi dalam drama yang sebahagiannya menjalani penggambaran di Sydney, Australia itu.
Usai lakonannya dalam drama Sehangat Asmara diceritakan, Rita berkongsi cerita pula mengenai hubungannya bersama aktres Lisdawati yang dikatakan sudah berdamai itu selepas hampir tujuh tahun bermusuhan.
ADILA (tiga dari kanan) bersama barisan karyawan drama bersiri, Sehangat Asmara.
Semuanya gara-gara selepas ditawarkan berlakon bersama dalam drama bersiri Kerana Sarah.
Ujarnya, dia dan Lisdawati tidak lagi bermusuh dan tiada isu yang perlu timbul antaranya dengan isteri kepada pelakon Fauzi Nawawi itu.
"Saya dan Lisdawati tidak mempunyai masalah. Saya boleh berlakon dengannya asalkan tiada Fauzi. Kami juga bertegur sapa di set penggambaran cuma dengan apa yang telah berlaku, saya mengambil pendekatan untuk lebih berhati-hati," jelasnya yang enggan berkongsi sebab-sebab mengapa dia tidak mahu berlakon dengan Fauzi Nawawi.