. Nasi Dagang - Emmy Shaklee - [Shaklee Independent Distributor]

Nasi Dagang

at Isnin, 27 Oktober 2014[1:52 PTG]

Nasi dagang ialah hidangan popular bagi negeri Kelantan dan Terengganu. Terdapat beberapa variasi yang berbeza untuk hidangan nasi dagang di setiap daerah. Ada yang menggunakan beras siam yang lembut dan ada yang menggunakan beras biasa yang dicampur dengan sedikit beras pulut.

Begitu juga dengan lauk gulai ikan tongkol untuk nasi dagang. Ada yang berkuah merah, ada yang kuahnya berwarna kuning atau dipanggil gulai kunyit lengkuas. Selain ikan tongkol, telur atau udang juga sedap dijadikan lauk nasi dagang selain ayam atau daging. Begitu juga dengan pelengkap hidangan nasi dagang, ada acar dan sambal kelapa.

Bagi orang-orang yang tinggal di negeri Terengganu, mereka lebih suka menyediakan acar seperti acar timun, acar nenas dll, manakala bagi orang-orang negeri Kelantan, mereka lebih suka menyediakan sambal kelapa untuk hidangan nasi dagang mereka. Walaubagaimanapun, hidangan ini tetap enak dan digemari ramai orang.. Bagi saya, kedua-duanya boleh digandingkan untuk hidangan nasi dagang yang istimewa.

Di Kelantan, ada beras khas untuk menyediakan nasi dagang. Beras ini berwarna kemerah-merahan dipanggil beras lembut atau beras nasi dagang. Harganya juga agak mahal berbanding beras-beras lain. Bagi orang-orang Terengganu pula, mereka lebih suka menggunakan beras siam yang dicampur sedikit beras pulut.

Untuk hidangan nasi dagang ini, banyak kelapa digunakan. Bermula dengan penyediaan nasi, lauk hingga sambalnya. Semuanya menggunakan santan dan juga kelapa parut. Walaubagaimanapun, untuk mengurangkan kolestrol dalam masakan, kurangkan penggunaan santan, sebaiknya tambahkan susu cair ke dalam masakan. Terpulanglah kepada citarasa masing-masing. Tepuk dada, tanya selera.

Berikut ialah resipi Nasi Dagang yang simple yang selalu saya sediakan untuk keluarga saya.

Bahan-bahan untuk nasi.
3 cawan beras siam
1 cawan beras pulut
1 cawan air panas mendidih (gunakan air yang dididihkan untuk mengukus beras
1 cawan pati santan + 1 sudu kecil garam atau secukup rasa -didihkan tapi jangan sampai pecah minyak

bahan-bahan untuk dimayang halus
10 biji bawang merah
2 inci halia
1 sudu besar halba

Cara Menyediakannya
kedua-dua beras dicuci bersih dan direndam berasingan sekurang-kurangnya 2 jam. Kemudian toskan beras dan campur kedua-duanya hingga rata. Kukus selama 30 - 45 minit atau sehingga beras tiga suku masak. Boleh dikenalpasti sekiranya periuk kukus mengeluarkan wap.

Keluarkan dari periuk kukus dan terus tuang ke dalam besen yang agak besar. Terus curahkan satu cawan air panas mendidih dan terus kacau rata-rata hingga beras kembang. Proses ini hendaklah dilakukan ketika masih panas. Masukkan kembali ke dalam periuk kukus dan timbuskan sekali bahan-bahan yang dimayang halus tadi juga halba. Kukus sekali lagi hingga betul-betul masak. Ketika masih panas, tuangkan kembali ke dalam besen tadi dan curahkan santan yang telah dididihkan. Kacau rata-rata hingga keluar minyak. Bolehlah dihidangkan bersama-sama gulai ikan tongkol, telur rebus, acar dan sambal kelapa.

Nota : cara yang lebih cepat menyediakan nasi dagang ialah dengan cara menanak nasi tersebut di dalam rice cooker iaitu campurkan beras, santan secukupnya dan sedikit garam. Bila hampir kering taburkan bahan-bahan yang dimayang halus dan hingga masak seperti biasa. Selepas itu baru dikacau-kacau dengan sudip kayu untuk menggebukan nasi.




AYAM/DAGING GULAI KUNYIT LENGKUAS

Bahan-bahan untuk memasak gulai ayam kunyit lengkuas adalah sama dengan gulai ikan tongkol. Cuma gantikan rempah kari ikan dengan kari daging. Boleh juga ditambah ketumbar jintan yang telah disangai dan ditumbuk halus ke dalam bahan-bahan gulai. Gaulkan bahan-bahan kisar dengan ayam, tambahkan garam dan asam keping sesedap rasa. Jerang di atas api sederhana hingga agak kering, baru ditambahkan santan secukupnya dan masak lagi ayam empuk dan kuahnya hingga pekat. Boleh ditambah cili padi atau lada hidup diakhir masakan. Akhir sekali, tumiskan sedikit kulit kayu manis, buah pelaga, bunga lawang dan bawang merah, bawang putih dan halia hingga kekuningan dan wangi. Masukkan ke dalam gulai yang masih mendidih dan tutup periuk serta padamkan api. Selepas 5 minit, baru dibuka tutup periuk dan dikacau rata. Sedia untuk dihidangkan.

Selamat Mencuba..

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
loading...