. CUEPACS minta kerajaan selaras elaun tetap perumahan kumpulan pelaksana - Emmy Shaklee - [Shaklee Independent Distributor]

CUEPACS minta kerajaan selaras elaun tetap perumahan kumpulan pelaksana

at Isnin, 1 Disember 2014[9:06 PG]


 


MELAKA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan melaksanakan penyelarasan elaun tetap perumahan kumpulan pelaksana kakitangan awam membabitkan Gred 40 dan ke bawah dalam Bajet 2015


Presidennya, Azih Muda, berkata penyelarasan elaun dari RM180 ke RM450 itu perlu dipertimbangkan dan dilaksanakan dengan segera kerana ia adalah isu tertunggak yang memberi kesan langsung kepada kira-kira 700,000 kakitangan pelaksana di negara ini.

Beliau berkata, kadar elaun itu tidak dikaji lebih 11 tahun dan sudah masanya ia dipertimbangkan dalam bajet akan datang selaras dengan taraf ekonomi yang kian meningkat.

"Kenaikan ini wajar dipertimbangkan kerana harga sewa rumah sama ada di kawasan bandar atau luar bandar tidak dapat lagi pada harga RM180. Justeru kumpulan pelaksana ini terpaksa memperuntukkan sejumlah besar gaji yang diperoleh bagi menampung sewa rumah," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-26 Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Pihak Berkuasa Tempatan di sini, hari ini.

Azih berkata, dianggarkan lebih 50 peratus daripada 1.5 juta penjawat awam di negara ini terutama kumpulan pelaksana terpaksa menyewa kerana tidak mampu membeli rumah disebabkan harga yang tinggi.

Beliau berkata, isu itu jika tidak ditangani dengan baik mampu memberi kesan buruk bukan sahaja kepada golongan penjawat awam malah kepada negara.

"Kita bimbang golongan ini tidak mampu memiliki rumah sehingga mereka bersara dan akhirnya menjadi gelandangan," katanya. 

Sementara itu, beliau berkata CUEPACS juga meminta kerajaan mengkaji semula tindakan pemotongan elaun sara hidup (COLA) penjawat awam yang tinggal di kuarters kerajaan bagi meringankan beban golongan berkenaan.

"Pemotongan ini tidak wajar kerana kuarters adalah kelebihan yang diberikan kepada kakitangan awam dan elaun COLA itu tidak seharusnya dipotong dengan pemberian kelebihan itu," katanya.

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
loading...