. Kehebatan perkhidmatan bidan di Sweden - Emmy Shaklee - [Shaklee Independent Distributor]

Kehebatan perkhidmatan bidan di Sweden

at Isnin, 21 Oktober 2013[11:32 PG]

LAAFTMAN memeriksa kandungan Singelman di klinik Mama Mia, Sweden.

HANYA sekali menjalani ultrabunyi dalam tempoh sembilan bulan dan tidak perlu berjumpa doktor. Itulah gambaran penjagaan ibu-ibu mengandung di Sweden.

Walaupun tidak melakukan prosedur seperti negara-negara Barat lain, gaya penjagaan ibu mengandung di negara itu terbukti membawa kebaikan.

Organisasi Selamatkan Kanak-Kanak menyatakan, Sweden merupakan negara kedua terbaik di dunia untuk bakal ibu selepas Finland.

Menurut Laporan Kesihatan Perinatal Eropah 2010, negara tersebut mencatat kadar kematian terendah selepas Iceland iaitu sebanyak 1.5 kematian daripada 1,000 kelahiran manakala jumlah ibu yang meninggal semasa melahirkan anak ialah 3.1 daripada 100,000 kelahiran.

Di Sweden, bidan-bidan diberi kepercayaan untuk menjaga kesihatan ibu mengandung dan janinnya.

Ia merupakan satu-satunya rawatan yang boleh didapati oleh kaum wanita dan diberikan secara percuma kepada pesakit bawah faedah kesihatan negeri.

"Seorang doktor boleh dipanggil jika bidan mendapati ada sesuatu yang tidak kena kepada ibu yang mengandung," kata seorang bidan di pusat bandar Stockholm, Sofie Laaftman.

Bagi mereka yang biasa dengan rawatan perubatan intensif semasa mengandung, cara masyarakat Sweden mungkin dilihat sebagai rawatan asas sahaja.

Antara rawatan tersebut ialah ujian darah dan air kencing untuk mengesan kekurangan vitamin atau anomali, pemeriksaan tekanan darah ibu dan denyutan jantung janin serta nasihat pemakanan.

Bayi pramatang

Ibu yang mengandung normal tanpa sebarang komplikasi akan menjalani rawatan ultrabunyi sekali sahaja dalam tempoh sembilan bulan.

"Kehamilan adalah keadaan yang biasa dan ia tidak sakit," kata seorang Profesor Penjagaan Kesihatan dan Sains di Universiti Gothenburg, Marie Berg.

Laaftman turut menyokong kenyataan Berg dengan memberitahu kebanyakan wanita ber usia bawah 40 tahun tidak memerlukan rawatan rapi kerana tubuh badan mereka masih sihat dan mampu melahirkan anak. Ia adalah proses semula jadi bagi seorang ibu.

Kajian saintifik Kerjasama Cochrane membuat kesimpulan bahawa kebanyakan wanita yang tidak mempunyai komplikasi kehamilan mendapat banyak kelebihan jika menggunakan khidmat seorang bidan berbanding doktor.

KELAHIRAN bayi juga turut disambut oleh bidan dan doktor cuma akan dipanggil jika berlaku komplikasi. - Gambar hiasan

Penulis kajian itu menyatakan, penjagaan seorang bidan mampu mengurangkan jumlah kelahiran bayi pramatang. Di Sweden, hanya lima peratus kelahiran bayi lahir pramatang.

Segelintir ibu mengandung di negara itu yang kurang berinteraksi bersama bidan atau doktor akan mengalami kesukaran semasa melahirkan bayi mereka.

Seorang ibu mengandung, Christina Singelman, 31, berkongsi pengalaman kandungan pertamanya apabila dia dibelenggu rasa sunyi kerana kurang bertemu dengan doktor.

Singelman berkata, dalam tempoh kandungannya berusia 10 minggu, dia hanya mendapatkan satu rawatan di klinik bagi rawatan ultrabunyi.

Bagi Adina Trunk, 33, dia telah berjumpa dengan dua bidan berbeza untuk kedua-dua kandungannya kerana menghadapi masalah yang sama.

"Bidan-bidan ini sangat berwibawa, tetapi kaedah itu sendiri telah meletakkan mereka dalam kedudukan yang pasif atau kurang bercakap.

"Para ibu mengandung terpaksa mengambil inisiatif untuk bertanya soalan atau berkemungkinan berjumpa dengan pakar lain," katanya.

Kelahiran bayi

Di samping itu, kelahiran bayi juga turut disambut oleh bidan. Doktor akan terlibat sama jika berlakunya komplikasi semasa kelahiran bayi tersebut atau jika ibu mengandung meminta suntikan epidura.

Bidan di Sweden telah diberi kepercayaan penjagaan ibu mengandung sejak abad ke-18 lagi.

Peningkatan profesion perubatan moden pada hari ini turut memberi kesan kepada bidan-bidan apabila mereka terpaksa menyerahkan separuh daripada tanggungjawab kepada doktor.

Namun, bidan di Sweden tetap berterima kasih kepada sokongan yang telah diberikan oleh doktor sekali gus mewujudkan kesatuan yang kukuh.

Sistem itu juga tidak pernah dipersoalkan ekoran rekod prestasi yang kukuh.

Jumlah kelahiran bayi secara pembedahan juga rendah di Sweden dengan kira-kira 17 peratus pada 2011 dan hanya 10 peratus wanita melakukan episiotomi.

Episiotomi adalah pengguntingan kulit dan otot antara faraj dan dubur untuk melebarkan ruang bagi bayi keluar. - AFP

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
loading...