PDRM berhutang dengan rakyat
Masyarakat akan hilang kepercayaan terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika siasatan segera tidak dilakukan terhadap kehilangan 44 senjata api dan 29 kenderaan poli, kata Pakar Pencegahan Jenayah, Profesor Datuk Dr Abdul Halim Sidek.
“Polis mahu mendapat lebih kuasa dalam memerangi gensterisme menerusi Rang Undang-Undang Akta Pencegahan Jenayah (PCA) tetapi bagaimana orang ramai akan menaruh kepercayaan kepada PDRM jika masih dibelenggu dengan masalah ini. Laporan Ketua Audit Negara tidak harus dipandang enteng dan pendedahan itu menunjukkan kealpaan polis dalam menguruskan harta benda mereka kerana perolehan kelengkapan mereka menggunakan dana awam,” katanya kepada The Malaysian Insider.
“Bukan hanya 44 senjata api dilaporkan hilang tetapi tiada pihak yang tahu mengenai perkara itu. Masalah ini mengancam keselamatan awam. Adakah senjata itu dicuri oleh polis sendiri atau disebabkan kecuaian mereka,” katanya.
Abdul Halim yang juga pensyarah di Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara turut menggesa satu suruhanjaya siasatan khas ditubuhkan bagi menyiasat kehilangan senjata api itu dengan penyiasat dari luar dipanggil untuk membantu siasatan.
“Masyarakat mahu memberikan kuasa yang lebih kepada PDRM melalui pindaan PCA bagi memastikan keamanan rakyat tetapi polis juga perlu memastikan pasukan mereka berintegriti atau bersedia mendapat kritikan,” katanya.
Abdul Halim menolak alasan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mendakwa beliau baru menyandang jawatan itu dan kehilangan senjata api serta kenderaan polis tidak berlaku di bawah pengawasannya.
“Sebelum menjadi KPN, Khalid adalah timbalan, iaitu orang nombor dua dalam pasukan. Justeru, bagaimana beliau boleh lari dari masalah ini dan melepaskan tanggungjawab. PDRM dengan jelas tidak memandang serius kehilangan senjata api ini. Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan kelewatan dalam memaklumkan kehilangan senjata itu dan polis mengambil masa yang lama untuk menjalankan siasatan,” katanya.
Profesor P Sundramoorthy dari Universiti Sains Malaysia (USM), berkata kehilangan senjata api dan kendraan polis menunjukkan kelemahan sistem pentadbiran dan pengurusan inventori PDRM.
Ketua Audit Negara mendedahkan perkara ini dan kini polis berhutang dengan rakyat bagi memberi penjelasan. Pihak yang bertanggungjawab dalam mengurus senjata api dan kenderaan PDRM perlu disiasat seterusnya dihadapkan ke mahkamah. Ini termasuk pegawai tertinggi PDRM. Perkara ini sungguh menyedihkan apabila agensi penguatkuasaan undang-undang utama negara gagal menjaga kenderaan mereka sendiri.
Apa mesej yang hendak disampaikan kepada rakyat? "Siapa lagi yang akan mempercayai polis untuk menjaga ketenteraman awam,” katanya.
Laporan audit berkenaan berkata, berdasarkan statistik kehilangan aset yang dikeluarkan Bahagian Pengurusan Aset, Jabatan Logistik, PDRM daripada 2010 hingga 2013 mendapati aset yang paling banyak hilang ialah gari dengan sejumlah 156 unit, diikuti senjata api dan kenderaan dengan masing-masing sebanyak 44 dan 29 unit.
"Pengauditan yang dijalankan mendapati secara keseluruhannya pengurusan aset di Ibu Pejabat PDRM dan tiga IPK yang diperiksa adalah kurang memuaskan. Pengurusan aset yang tidak teratur dan bersistematik boleh menyebabkan berlakunya kehilangan aset terutama senjata api dan gari yang boleh mengancam keselamatan awam," kata laporan yang dikeluarkan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.
Antara kelemahan yang ditemui audit berkenaan adalah kehilangan aset lewat dikesan; kelewatan melaporkan kehilangan kepada Ketua Jabatan dan Polis; Ketua Jabatan lewat menyediakan Laporan Awal Kehilangan Aset; Jawatankuasa Penyiasat Kes kehilangan aset lewat ditubuhkan; Jawatankuasa Kehilangan Aset lewat menyediakan Laporan Akhir.
Kelemahan lain pasukan keselamatan berkenaan dalam soal pengurusan aset yang dikenal pasti oleh audit berkenaan termasuk; Urus Setia Kehilangan dan Hapus Kira lewat mengambil tindakan susulan; kelewatan mengambil tindakan diperingkat kontinjen setelah kelulusan hapus kira oleh Kuasa Melulus; Kelewatan mengambil tindakan surcaj; tempat penyimpanan tidak selamat; dan ruang penyimpanan aset yang sempit dan terhad.
Sehubungan itu, pihak audit mengesyorkan pasukan PDRM memastikan pemeriksaan berkala dilaksanakan mengikut ketetapan supaya dapat mengesan kes kehilangan aset berkenaan.
"Memastikan pematuhan kepada penetapan norma masa proses kerja hapus kira aset supaya punca kehilangan dapat dikenal pasti segera. Memastikan kehilangan aset yang berpunca daripada kecurian, penipuan, atau kecuaian pegawai/anggota dikenakan tindakan surcaj atau tatatertib supaya menjadi satu usaha pencegahan bagi mengawal kes kehilangan," cadang audit berkenaan.
Bukankah kerajaan Malaysia ada tatacara pengurusan aset alih dan bagaimana prosedur yang perlu dilaksanakan sekiranya berlaku kehilangan atau kerosakan dan menurut Tatacara Pengurusan Aset Alih Kerajaan,
17. PEMATUHAN
Pegawai yang gagal mematuhi peraturan di atas, boleh dikenakan tindakan termasuk surcaj di bawah Seksyen 18 (c) Akta Prosedur Kewangan 1957.
40. PROSES HAPUS KIRA
40.1 Melaporkan Kehilangan
Apabila terdapat apa-apa kehilangan aset Kerajaan, tindakan yang perlu diambil adalah seperti berikut:-
(a) Pegawai yang mengetahui kehilangan hendaklah melaporkannya kepada Ketua Jabatan dengan serta merta; dan
(b) Ketua Jabatan atau pegawai yang bertanggungjawab ke atas kehilangan atau yang menjaga aset atau yang mengetahui kehilangan berlaku, hendaklah melaporkan kepada Polis dalam tempoh dua puluh empat (24) jam dari waktu kehilangan diketahui.
Dalam kes ini, cuba fikirkan perkara 40.1 (b).
Untuk maklumat lanjut boleh layari http://www.treasury.gov.my/pdf/latihan/Tatacara_Pengurusan_Aset_Alih.pdf.