. Pentingnya Redha Suami - Emmy Shaklee - [Shaklee Independent Distributor]

Pentingnya Redha Suami

at Rabu, 11 Disember 2013[10:18 PG]

Ingat Wahai Isteri Pentingnya Redha Suami

Wahai semua para isteri! Tahukah anda bahawa mentaati serta menjaga hati suamimu itu lebih penting dari menjaga makan dan minumnya. Disamping kaum isteri mentaati perintah Allah dan Rasulullah SAW mereka juga wajib mentaati suami masing-masing. Bacalah kisah puteri kesayangan Rasulullah SAW ini dan ambillah iktibar dan pelajaran darinya.

Salman Al Farisi r.a telah meriwayatkan pada suatu hari Fatimah r.ha dalam keadaan tergesa-gesa telah datang bertemu ayahandanya. Baginda s.a.w melihat kedua mata Fatimah r.ha berlinangan airmata dan raut wajahnya sedih. Lalu baginda bertanya: Mengapa wahai anakku?
 
Fatimah r.ha menjawab: Ya Rasulullah, semalam aku bergurau dengan Ali, tanpa aku sengaja terkeluarlah perkataan yang menyinggung perasaannya. Setelah itu, aku dapati mukanya kemerahan kerana menahan marah. Aku sungguh menyesal atas keterlanjuran kataku itu lalu segera memohon maaf kepadanya: ‘Hai kekasihku, kesayanganku, relakanlah akan kesalahanku’, seraya aku mengelilinginya dan merayunya sebanyak 72 kali sehingga dia redha dan tertawa padaku. Walaupun suamiku telah redha tetapi aku masih tetap merasa takut kepada Allah s.w.t.

Rasulullah s.a.w bersabda kepada Fatimah r.a: Wahai anakku, demi Zat yang telah mengutusku sebagai Nabi dengan agama yang haq, sesungguhnya sekiranya engkau mati sebelum Ali meredhaimu, aku tidak akan solat jenazahmu.

Dizaman moden ini ramai isteri yang berkerjaya serta tidak kurang juga surirumah yang pandai mencari wang sendiri melalui perniagaan on-line dan sebagainya. Tidak seperti zaman dahulu dimana isteri bergantung sepenuhnya kepada suami untuk mencari nafkah. Namun adakah ini boleh dijadikan alasan untuk melawan cakap suami serta menyebabkan suami terasa hati. Kadang-kadang bila suami pulang dari kerja bukan disambut dengan senyuman dan salam, tetapi dengan leteran dan membebel sahaja sehingga suami rasa rimas apabila berada didalam rumah.
Nasib baik orang lelaki ramai yang boleh bersabar dan simpan sahaja didalam hati. Ini kerana mereka mempunyai 1 nafsu dan 9 akal berbanding kaum wanita yang akal tidak sepanjang rambutnya. Mereka mudah marah dan suka melakukan tindakan melulu dan kadang-kadang nampak seperti tidak rasional. Mungkin kerana inilah kuasa talak dan cerai Allah SWT letakkan kepada kaum suami, bukannya kepada isteri.

Tidak semua isteri sedemikian, dan tidak semua suami pun yang berbuat baik kepada isteri seperti menolong kerja rumah dan mendengar masalah isteri. Ada suami yang tidak ambil peduli, komunikasi pun jarang dan hanya mementingkan diri sendiri. Kalau tiada sifat seperti Saidina Ali RA yang sentiasa bertaqwa serta berjuang kepada agama Allah siang dan malam, mana mungkin mengharapkan agar isterinya seumpama Saidatina Fatimah R.anha?
Kaum lebih kental jiwa mereka dengan ujian kesusahan dari segi fizikal dan mental. Mereka mempunyai kesabaran dan kesanggupan untuk mengandungkan anak selama lebih 9 bulan. Mereka sanggup menahan kesakitan melahirkan anak kadang-kadang seramai 10 orang. Mereka sanggup berjaga malam untuk memberi susu kepada anak mereka dan jika anak-anak sakit merekalah yang paling sedih, risau dan susah hati berbanding suami.
Namun demikian suami tetap ketua keluarga. Tanggungjawab suami adalah besar, bukan sahaja kepada keluarga tetapi kepada agama dan masyarakat. Suami bertanggungjawab untuk buat kerja agama, berdakwah, berjihad dijalan Allah dan wajib pergi solat berjemaah dimasjid. Segala keputusan suami yang harus lakukan dan isteri wajib taat selagi keputusan itu tidak melanggar syariat dan perintah Allah SWT.
Syeikh Al-Halwani berkata:-
Isteri mesti berusaha membuat suaminya redha, sesuai dengan batasan petunjuk yang mulia: “Tidak ada ketaatan terhadap makhluk dalam kederhakaan terhadap Khaliq.” Ia merupakan kaedah yang utama meliputi beberapa perkara yang penting. Di antaranya ialah:

- Jangan biarkan suami mencium bau yang busuk dari dirinya. Pastikan dia sentiasa wangi dan bersih.
- Jangan menyambut kepulangannya dengan memakai pakaian yang kotor dan comot.
- Menjaga penampilannya.
- Memperhatikan keadaan suami dan menjaga perasaannya.
- Jangan menyuruh suami melakukan pekerjaan rumah yang seharusnya dilakukan oleh isteri, dengan alasan bahawa Nabi s.a.w. memerintahkan para suami membantu isterinya menyelesaikan kerja-kerja rumah. Isteri mesti melakukannya sendiri.
- Menghadapi berbagai masalah dengan lapang dada.
- Memenuhi berbagai ruang, satu persatu.

Dari Abu Hurairah, sabda Nabi Muhammad, selawat dan salam ke atas baginda, ertinya:“Sekiranya aku boleh menyuruh seseorang sujud kepada seseorang manusia, nescaya aku akan suruh perempuan sujud kepada suaminya.” (Riwayat Imam Tirmizi, hasan sahih, Ibnu Hibban, sahih)
Sabda Rasulullah, selawat dan salam ke atas baginda, ertinya: Mahukah aku beritahu kamu isteri-isteri yang akan bersama kamu di dalam syurga? Kata shabat, bahkan beritahulah. Sabda baginda: iaitu setiap yang menyayangi suaminya, yang banyak anaknya; apabila ia marah atau diperlakukan dengan tidak baik kepadanya, atau suaminya merasa marah, ia akan berkata kepada suaminya: ini tangan aku ada pada tangan kamu, aku tidak akan tidur selagi kamu belum redha kepadaku.”(Mukjam Tabrani Saghir, hadis nombor 118. Kata Ibnu Hajar al Haitami: Sanad hadis ini sahih kecuali seorang perawi; kata al Munziri saya tidak tahu kedaannya thiqah atau tidak)
Sabda Rasulullah, selawat dan salam ke atasnya selama-lamanya, ertinya:“Tidaklah seorang isteri menyakiti suaminya di dunia ini, melainkan berkatalah isterinya dari kalangan Al-Hurul Ain (bidadari): janganlah kamu sakitinya, Allah melaknati kamu, suamimu hanyalah tetamumu, tak lama lagi ia akan meninggalkan kamu dan datang kepada kami.” (Ahmad, Tirmizi dan Ibnu Majah, Mirqat, 6/370)
Isteri dan suami saling memerlukan bagaikan dua kepak sayap seekor burung. Tanpa salah satu burung itu tidak mampu terbang. Suami menjadi pembantu agama dan isteri menjadi pembantu suami dan memberi dorongan dan sokongan. Hiduplah dengan penuh kasih-sayang dan bertolak ansur semoga Allah memandang keduanya dengan pandangan Rahmat dan menjadikan rumah kita sebagai tanda-tanda wujudnya syurga didunia ini. Wallahua’lam.

Redha Suami juga adalah kunci untuk mendapat payung emas. Jika sekarang didunia, kaum hawa sibuk mengumpulkan perhiasan daripada emas dan perak namun Allah menjanjikan Payung Emas kepada kaum hawa, dan untuk mendapatkannya redha suami adalah perlu.

Renungkan..

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
loading...