“Lelaki-lelaki jahat yang mengintai anak gadis kita”
Beberapa hari lepas saya didatangi seorang ibu bersama anak gadisnya yang berumur 15 tahun, anak bongsu beliau.
Daripada riak mukanya saya tahu ini bukan kes biasa-biasa tentang haid yang tidak teratur.
Namun saya sengaja bertanya, datang sebab haid tak teratur ke?
Gambar Sekadar Hiasan
Wanita itu mungkin dalam lingkungan awal 50an. Bertudung hitam labuh.
Malah anaknya juga datang dengan seragam sekolah agama dan tudung labuh
hitam.
Dia kelihatan serba salah dan tidak tahu untuk memulakan kata.
Entahlah doktor, entahlah doktor, saya tak tahu nak kata apa, katanya
berulang-ulang kali. Wajahnya seperti mahu menangis, dadanya kelihatan
sesak dan dia sangat gelisah.
Lalu saya menerjah-mengandung ke anak Puan?
Selepas itu kata-katanya keluar bagai empangan pecah-tak dapat dibendung lagi.
Bermacam-macam cerita keluar dari tingkatan satu ke tingkatan 2 dan kini di tingkatan 3.
Berbagai juga kata-kata pedih ditujukan pada anaknya yang kini menundukkan kepala saja.
Bodoh. Tak faham bahasa. Kurang IQ.
Rupa-rupanya anaknya ditangkap tidak hadir ke sekolah, tetapi telah
keluar bersama lelaki. Anaknya jua telah mengaku kepada guru bahawa
beliau telah berzina.
Namun dia percaya anaknya tidak melakukan apa-apa. Tak sampai peringkat zina.
‘Dia tak tahu doktor. Dia tak faham. Mungkin sekadar sentuh-sentuh dia fikir sudah melakukan. Dia ni bukannya pandai.
Saya rasa dia tak buat doktor. Dia tak tahu..”
Saya minta wanita itu keluar dan saya bersemuka dengan anaknya.
Ternyata anak yang ‘tidak pandai’ ini telah melakukan zina sejak di Tingkatan 1-tanpa disedari ibubapa. Dengan ramai lelaki.
Berbagai bangsa.
Berbagai umur.
Dia tidak kelihatan seperti anak nakal dan liar. Dia kelihatan baik dan ya, mungkin sedikit naif-atau bodoh seperti kata ibunya.
Namun di sinilah lelaki-lelaki jahat mula memasukkan jarumnya.
Saya tanyakan bagaimana permulaannya. Saya tanyakan apakah beliau menonton video lucah.
Lalu dia menceritakan kepada saya awal mula penglibatannya menjadi seorang ‘pelacur’.
Tinggal di kawasan Kampung Pandan yang terdiri dari majoriti Melayu,
lelaki jahat pertama yang membawanya mengenali dunia seks dalam keadaan
akal dan jiwanya belum bersedia dan belum disediakan adalah seorang
lelaki Indonesia. Bermula dengan mengajak menonton video lucah.
Pastinya didahulukan dengan kata-kata manis dan pujian. Hingga akhirnya mahu melakukannya dan sehingga merasa ketagihan.
Kemudian disambut oleh lelaki-lelaki jahat yang lain sambung menyambung sehingga yang terakhir ini.
Ada yang mengambil kesempatan merakam dirinya dan kemudian mengugut
untuk menyebarkan videonya. Sehingga anak baik yang tidak tahu apa-apa
ini terpaksa mencuri sejumlah wang ibubapanya untuk diberikan kepada
lelaki tersebut.
Lelaki terakhir ini, sebelum perbuatannya diketahui adalah seorang lelaki berumur 30 tahun yang sudahpun ada 2 isteri.
Kata anak malang ini, –walaupun saya sudah tidak suka melakukannya,
tetapi lelaki itu selalu merayunya sehingga dia merasa kasihan, lalu
menurut kemahuan lelaki tersebut—–dapat saya bayangkan bagaimana lelaki
jahat ini menggunakan kelebihan akalnya memanipulasi anak ini untuk
memuaskan nafsu binatangnya.
Setelah saya kisahkan pada ibunya, longlai tubuhnya dan tersepuk dia di
kerusi. Tidak disangkanya langsung anak bongsu manjanya telah jauh
melangkah dalam keadaan dia sentiasa dalam ‘denial’- pura-pura tidak
nampak atau tidak mahu percaya.
Pecah lagi empangan rasanya buat kali kedua. Menceritakan bagaimana
sibuknya dia dan semua terletak atas bahunya. Anak yang ramai, ada yang
punya masalah jiwa sedang dalam rawatan, anak dan menantu yang silih
berganti bersalin dan beliau yang menjaga.
Tentang malunya sedangkan dia adalah ketua wanita di dalam sebuah NGO
Islam. Suaminya pengerusi surau. Bagaimana dia merasakan tuntutan dakwah
untuk menyampaikan kepada masyarakat.
Dalam kesibukannya, dia tidak sedar anaknya sedang mengalami perubahan
hormon. Dada anaknya sudah memutik dan ada rasa yang tidak difahami
dalam dirinya. Namun, dia tidak perasan itu semua. Baginya anak
bongsunya ini masih ‘baby’.
Namun ada mata-mata liar yang perasan. Yang boleh menghidu naluri semulajadi remaja ini. Yang akalnya sudah masak dan matang.
Kita melihat anak kita sebagai baby, namun ada mata lelaki jahat yang
melihatnya seperti kucing melihat hidangan menggiurkan di depan
mata……yang melihat sampai ke dalam-dalamnya….baginya ini ada daging baru
yang enak…
Lalu lelaki jahat ini akan memulakan jarumnya. Kenal-kenal dulu. Puji-puji. Minta nombor handphone. Memasang ayat-ayat….
Dan anak yang hidup dalam keluarga besar yang sentiasa sibuk ini, serta
sudah dianggap tidak pandai ini, yang barangkali tidak pernah menerima
pujian dari kedua ibubapanya, sangat mudah termakan pujuk rayu…dan
selebihnya adalah sejarah…
Anak ini tidak jahat. Dia tidak liar. Dia lahir dari keluarga baik-baik , keluarga pendakwah.
Namun kerana adanya lelaki-lelaki jahat yang sepatutnya menjadi pelindung kepada anak ini, dia menjadi mangsa.
Beberapa ingatan yang melintas di kepala sebagai peringatan buat ibubapa.
1. bila anak meningkat remaja – perhati-perhatikan dia. Dia ada keperluan/needs. Jadilah temannya. Bersembang dengannya.
2. Jangan mengutuk anak sendiri. Berilah pujian. Terutama bapa dan
abang. Puaskan dia dengan pujian dari lelaki dari keluarganya, supaya
dia tak layu lentok dengan pujian lelaki jahat. Ingat wahai bapa, kalau
berat sangat mulut dan memuji, tangan berat sangat nak membelai, ada
orang lain yang akan mengisi kekosongan itu nanti
3. Keterlaluan dalam kesibukan – walaupun untuk tujuan dakwah. Wahai
ibu, tempatmu di rumah. Perhatikan dulu anak daramu sebelum kamu ingin
berdakwah.
4. Pendidikan – berikan sedikit pendidikan seksual bila tiba masanya.
Biarkan dia mendengar dari mulut kita bukan dari mulut gatal lelaki
jahat. Terkadang kerana ‘soleh’nya kita, nak menyebut seks pun kita tak
tersebut. Bahkan dalam program reproduksi pun ada yang tak senang bila
diajar tentang alat reproduktif kepada kanak-kanak – tak sesuai katanya.
5. Anak-anak perlu diberi pendidikan dan tanggungjawab. Jangan jadikan
dia ‘pets’. Yang kita manjakan dan belai-belai selalu tanpa kita beri
didikan. Jangan sesekali menyangka anak kita tak akan melakukannya…….ia
akan memberikan kita rasa selamat yang palsu.
6. Bila anak kita telah jadi anak dara, seolah-olah ada bauan atau
haruman yang tersebar keluar dari rumah kita – lalu menarik banyak
‘bugs’. Fahamkan dia tentang nilai dirinya. Banyak anak gadis hari ini,
termasuk anak gadis kita juga, kadang tergedik-gedik dihadapan kamera.
Fahamilah wahai ibu, wanita itu seluruhnya adalah aurat. Sangat menarik
perhatian. Sangat menggoda. Beritahulah pada anak kita. Tanamkan sifat
malu pada dirinya.
Perbetulkan pakaiannya.
Jagalah dia.
Sedikit nukilan dan ibrah untuk dikongsi bersama.
Yang ada anak lelaki tolonglah ajarkan supaya menghormati perempuan, belas dan kasih padanya dan sentiasa melindunginya.
Ya Allah lindungilah anak-anak gadis kami!
—-
Dr Ariza Mohamed
Pakar O&G Hospital Pakar Ampang Puteri
AJK Wanita Ikram WP
Ikuti kami melalui RSS 2.0.