Biodata Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
Nama : Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Tarikh Lahir: 1931
Tempat lahir : Kampung Pulau Melaka,Kelantan.
Pengajian :
1-Pondok Tuan Guru Hj Abbas, Besut
2-Universiti Deoband India
3-Universiti Lahore Pakistan
4-Universiti Al Azhar
5-Sarjana Muda bahasa Arab
6-Sarjana Perundangan Islam
Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan dalam sebuah keluarga
yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam di Kampung Pulau Melaka,
Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1931.
Bapanya, Haji Nik Mat bin Raja Banjar bin Raja Abdullah bin Raja Mamat
merupakan keturunan Raja Jembal. Bapanya lebih dikenali dengan panggilan
Tuan Guru Nik Mat Alim disebabkan beliau arif dalam ilmu-ilmu agama.
Beliau terkenal di Kelantan dalam mengendalikan institusi pengajian
pondok di Kampung Kedai Lalat.
Di situlah Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan awal bersama ratusan
pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Asia Tenggara. Sejak kecil
beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama yang muktabar dari
Almarhum ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya Hajah Aminah
Majid.
Sewaktu usia 9 tahun, Nik Abdul Aziz dihantar berguru dengan Tuan Guru
Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah Ittifaqiyah, Jertih, Besut,
Terengganu. Tuan Guru menuntut ilmu di situ selama setahun sehingga
peperangan Jepun berlaku dan pengajian dihentikan buat seketika.
Pada masa ini juga, Tuan Guru berulang alik ke Kampung Sirih, berguru
dengan Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru Ali Pulau Pisang dalam
mata pelajaran Nahu dan Tuan Guru Dato’ Muhamad Nur Ibrahim (bekas Mufti
Kelantan) dalam pelajaran Fekah. Setelah perang tamat Tuan Guru
menyambung kembali pelajaran secara formal di Ittifaqiyah.
Walaupun usia Tuan Guru masih muda tetapi beliau dapat menguasai kitab
Asmuni (sebuah kitab nahu yang agak tinggi) setanding dengan murid-murid
yang lebih tua.
Pada tahun 1945 beliau menyambung pelajaran di Jamek Merbawi Al-Ismaili,
Kota Bharu hingga 1952. Beliau menyambung pelajaran ke Universiti Darul
Ulum di Deoban, India, mendalami ilmu Fekah, Usul Fekah, Tafsir
al-Qur’an, Hadis dan lain-lain.
Ketika di India beliau juga telah berguru dengan Sheik al-Hadith dan
guru Tarikat yang terkemuka di India iaitu Maulana Mohamad Ahmad
Al-Madani dengan mendapat ijazah. Maulana Mohamad seorang pejuang
kemerdekaan India yang pertama dan pernah di penjara semasa penjajahan
Inggeris.
Pada 1957 beliau menyambung pelajaran ke Pakistan dalam bidang Tafsir.
Pada 1958 menyambung pelajaran di Kuliyatul Lughah di Al-Azhar, Mesir
dan memperolehi ijazah sarjana muda dalam jurusan pengajian bahasa Arab
kemudian menyambung pelajaran sehingga mendapat ijazah sarjana (M.A)
dalam jurusan kehakiman dan perundangan Islam selama 2 tahun. Kemudian
beliau mendapat diploma pendidikan di Darul Azhar dan pulang ke tanahair
Februari 1962.
Perkhidmatan :
Pada 1962 beliau membuka sekolah dengan menggunakan tanah wakaf yang
diberi oleh ibu saudara Hajah Kalthom iaitu Sekolah Menengah Ugama Darul
Ulum, Pulau Melaka di sebelah petang dan sebelah pagi beliau berkhidmat
di Sekolah Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor, Kemumin. Pada
sebelah malam beliau menjadi guru dan penyelia di sekolah dewasa selama 2
tahun.
Pada 1 Januari 1964 beliau meletakkan jawatan dan berkhidmat di Ma’had Muhammadi, Jalan Merbau, Kota Bharu.
Bidang Politik :
Beliau menjadi ahli PAS sejak 1967. Pada Julai 1967 hingga 1986 beliau
menjadi calon PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir
(sekarang Pengkalan Chepa). Pada tahun 1986 beliau berpindah untuk
bertanding di kerusi kawasan Parlimen Bachok dan Ahli Dewan Undangan
Negeri (DUN) Semut Api hingga sekarang.
Pada 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat hingga
1995. Kemudian dilantik Mursyidul Am PAS mengambil alih tempat yang
ditinggalkan oleh Tuan Haji Yusuf Rawa.
Pada 1978 Tuan Guru dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan kemudian
Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1990. Dari sinilah bermulanya satu
era kepimpinan ulama dan peranan serta tanggungjawab beliau bukan satu
tugas yang kecil.
Pada pilihan raya umum Malaysia kali ke-12, beliau bersemuka dengan
Datuk Dr Nik Mohd Zain Omar yang bertanding di atas tiket Barisan
Nasional (BN) di kawasan DUN yang sama. Secara peraturannya, Nik Aziz
sudah boleh menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon apabila
lawannya itu terlupa untuk menurunkan tandatangannya pada borang
penamaan calon. Namun beliau tidak mahu menang dengan cara begitu lalu
meminta calon BN itu menandatangani semula borang pencalonan tersebut..
Keputusan pilihan raya kali ini menyaksikan Nik Aziz menang dengan
majoriti undi yang lebih besar, iaitu 4,249.
Beliau telah menulis beberapa buah buku antaranya ‘Mengapa Saya Tidak
Masuk Kristian’ dan beberapa buah buku telah diterbitkan mengandungi
siri-siri kuliah dan ceramah.
Pendakwah :
Dengan pengalaman yang ada, beliau telah membimbing pelajar Ma’had
Muhammadi dengan menanam kesedaran dan akhirnya timbul satu ‘Halaqat
pengajian yang sekarang disebut usrah. Selepas itu wujud sebuah surau
yang masih ada di Ma’had Muhammadi Al-Banat, Jalan Merbau, Kota Bharu di
mana surau itu dijadikan tempat latihan sembahyang jemaah dan dakwah.
Seorang Petah Bercakap
Tuan Guru lebih dikenali sebagai ulama kerana petah berpidato. Beliau
telah diasuh oleh bapanya setiap hari Jumaat di masjid sejak dahulu
lagi.
Ucapan beliau terang berserta dengan perumpamaan yang jelas dan
memudahkan para pendengar memahaminya. Inilah cara beliau mendapat
tempat di hati penyokongnya. Ilmu yang disampaikan merupakan khazanah
dan kesetnya tersiar di seluruh negara hingga ke Selatan Thailand dan
mendapat sambutan dari setiap peringkat sehingga menjadi bahan rujukan
di pusat pengajian tinggi.
Keistemewaan :
Satu perkara yang luar biasa Nik Abdul Aziz, mengendalikan pondok
bergerak sejak 1962 hingga sekarang. Beliau tidak pernah berhenti keluar
rumah siang dan malam memberi kuliah dan berceramah kepada orang
kampung.
Walaupun beliau telah menjadi Menteri Besar, bidang pendidikan tidak
pernah ditinggalkan. Setiap malam Jumaat dan Khamis beliau mengajar dan
setiap pagi Jumaat mengadakan kuliah kerana bagi beliau mengajar adalah
kerja yang paling mulia sebab ia merupakan pekerjaan para Anbia’.
Penghargaan :
Beliau mendapat penghargaan:
1. Jaksa Pendamai (JP) pada 10 Julai 1968 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Yahya Putra Ibnu Almarhum Sultan Ibrahim.
2. Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
3. Dikurniakan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia
peringkat pertama (Al-Isma’illi) SJMK yang membawa gelaran Dato’ pada 30
Mac 1995.
Perkahwinan :
Pada usia 34, beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Tuan Sabariah
bin Tuan Ishak bin Raja Awang, berasal dari Kampung Kemumin, Kota Bharu
iaitu tahun 1962. Hasil perkahwinan selama 30 tahun itu dikurniakan 10
cahaya mata lima perempuan dan lima lelaki.
Mereka adalah Nik Aini, Nik Umar, Nik Adli, Nik Abdul Rahim, Nik Abduh,
Nik Adilah, Nik Muhamad Asri, Nik Amani, Nik Amalina dan Nik Asma’
Salsabila.
Kehidupan beliau sederhana tinggal di sebuah rumah kayu binaan kampung.
Ruang tamunya tidak dihiasi dengan set sebagaimana yang menjadi
kebiasaan di rumah pembesar negeri. Apa yang ada sebuah almari yang
penuh dengan kitab agama.
Beliau juga tidak membenarkan isterinya memakai sebarang perhiasan
begitu juga dengan anaknya. Ternyata apa yang ditarbiyahkan ke atas
keluarga dilakukan sendiri oleh beliau. Baju Melayu teluk belanga, kain
sarung pelikat dan serban sudah menjadi pakaian rasmi beliau.
Ahli Parlimen yang komited :
Sebelum terpilih menjadi ADUN Semut Api dalam pilihanraya umum 1986 dan
kemudiannya terpilih menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri
Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah terpilih menjadi Ahli
Parlimen PAS bagi kawasan Pengkalan Chepa selama tiga penggal
berturut-turut.
Selama menjadi Ahli Parlimen, beliau telah menyumbangkan pelbagai idea,
saranan dan kritikan melalui ucapan-ucapan yang disampaikannya di Dewan
Rakyat.
Kerajaan contoh :
Selaku Menteri Besar negeri Kelantan yang ada pada suatu masa dahulu
pernah digelar Serambi Mekah itu, sudah pastilah Tuan Guru Haji Nik
Abdul Aziz akan berusaha untuk menghidupkan semula sebutan dan fungsi
gelaran yang pernah diberikan kepada negeri Kelantan itu.
Dengan izin Tuhannya, para malaikat datang menyempurnakan tugas
mengiringi ruh Almarhum menuju penciptaNya tepat jam 9.40 malam 12hb
Februari 2015.
Ya Allah, ampunilah bagi Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, kasihanilah
dia, selamatkanlah dia, maafkanlah dia, muliakanlah kedudukannya,
perluaskanlah tempat masuk (kuburnya), sucikanlah dia dengan air, salji
dan air sejuk, bersihkanlah dia dari dosa-dosa seperti Engkau bersihkan
kain yang putih dari kekotoran, gantikanlah dia rumah yang lebih baik
dari rumahnya, ahli keluarga yang lebih baik dari ahli keluarganya dan
pasangan yang lebih baik dari pasangannya, masukkanlah dia ke syurga dan
hindarilah dia daripada azab kubur dan azab neraka. Alfatihah ...
Aminnn