Kematian Ulama'
Mukaddimah
Kami
pernah mencatat nama-nama sebahagian besar para ulama yang masyhur di
dunia kembali ke rahmatullah pada tahun 2014 yang lalu yang kami namakan
buku tersebut sebagai Wada’ al-A’lam dengan maksud Selamat Tinggal
Ulama dan kami slogankan dengan hilang permata Islam yang disegani
pergimu tiada pengganti. Pada kali ini Bayan Linnas cuba mengupas isu
para ulama yang kembali ke rahmatullah dan sikap kita sebagai umat
Islam.
Kami
namakan Bayan Linnas siri ini dengan “Kematian Ulama”. Semoga dengan
kenyataan ini, kita mengasihi dan menghormati ulama disamping mendoakan
kepada mereka sama ada yang masih hidup atau yang telah menemui
Tuhan-nya.
Definisi Ulama
Sering
kali kita dengar masyarakat mengelarkan seseorang sebagai ulama atau
orang alim, kadang-kadang masyarakat sendiri keliru jika ditanya
siapakah mereka yang dianggap ulama. Justeru dalam bab ini akan
diterangkan pendapat ulama dan cerdik pandai berkenaan takrif ini.
Dinyatakan di sini dahulu pendapat Syeikh al-Habib Zein Bin Ibrahim Bin Sumait:
“Maka
ilmu adalah punca dan sumber kebahagiaan yang hakiki di dunia dan di
akhirat. Ini kerana, sebesar-besar kedudukan pada hak anak Adam adalah
kebahagiaan yang berkekalan di akhirat dan melihat wajah Allah serta
menghuni syurga-Nya. Hal ini, tidak akan sampai kecuali dengan ilmu dan
amal dan amalan tidak mungkin dapat dilaksanakan kecuali dengan segala
kaifiyatnya berdasarkan ilmu.”
Justeru dalam bab ini akan diterangkan pendapat ulama dan cerdik pandai berkenaan takrif ini.
- Ulama ialah yang mengenali syariat Allah, faqih dalam agama, beramal dengan ilmu, mengikut hidayah yang Allah kurniakan kepada mereka dengan hikmah.
- Ulama ialah golongan yang Allah jadikan sebagai tiang kepada manusia untuk bersandar dan bergantung dalam permasalahan fiqh, ilmu urusan agama dan dunia, seperti kata al-Tabari dalam Jami’ al-Bayan (3/327).
- Ulama ialah ahli fiqh Islam dan fatwa berkisar daripada pendapat mereka di kalangan manusia yang mana mereka dikhususkan untuk istinbat hukum dan begitu prihatin dalam mendhabitkan qawaid halal daripada yang haram. Lihat I’lam al-Muwaqi’in (1/7).
Ulama
ialah pemimpin agama yang telah mencapai kedudukan besar dengan sebab
mereka berijtihad, sabar dan sempurna keyakinan, seperti firman Allah
SWT:
وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا ۖ وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ
Maksudnya:
Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang
membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka
bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin
akan ayat-ayat keterangan Kami.
(Surah al-Sajdah: 24)
- Ulama ialah golongan yang masyarakat dan umat ini belajar dan bertafaqquh dalam ilmu agama yang kemudian menyampaikan dakwah serta peringatan.
- Ulama ialah petunjuk kepada manusia yang sentiasa wujud di sepanjang zaman untuk membela agamanya.
- Ulama ialah ketua Jemaah yang diperintahkan kita beriltizam dengannya dan melarang kita daripada berpisah daripadanya.
Cukuplah
mulianya para ulama berdasarkan kepada penyaksian ketauhidan bersama
dengan Allah dan para malaikat adalah para ulama. Firman Allah SWT:
شَهِدَ
اللَّـهُ أَنَّهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو
الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ ۚ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ
الْحَكِيمُ
Maksudnya:
Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan
bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia,
Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan
malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan
menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah)
melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(Surah Ali Imran: 18)
Persoalan seterusnya, bagaimana cara kita mengenali ulama? Antaranya ialah:
- Dengan ilmu mereka.
- Dengan kedalaman kaki mereka dalam bab syubhah sehingga dapat membezakan dengan jelas.
- Mereka dapat diketahui melalui jihad dan dakwah mereka serta penggunaan masa mereka pada jalan Allah.
- Mereka dikenali kerana kuat ibadat dan takutnya mereka kepada Allah.
- Mereka dikenali dengan mulianya mereka daripada dikalahkan oleh dunia.
- Ulama dikenali berdasarkan syahadah dan pengakuan guru-gurunya tentang ilmu. Dengan sebab itu, Imam Malik berkata: “Tidak sayugia seseorang merasa dirinya hebat dan berkeahlian sehingga ditanya kepada orang yang lebih alim daripadanya.”
Semoga
dengan takrifan dan definisi serta pengenalan ulama ini maka sudah pasti
masyarakat benar-benar akan mengenali dhawabit ulama sejati.
Tafsiran Hadis Ilmu Dicabut
Ismail
bin Abi Uwais telah menceritakan kepada kami, berkata Malik, telah
menceritakan kepadaku daripada Hisyam bin Urwah daripada ayahnya
daripada Abdillah bin Amru bin al-As R.Anhuma katanya: Aku mendengar
Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ
اللَّهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ
وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ
يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوْسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا
فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا
Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah SWT tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara
mengambil sekaligus daripada hamba-hamba-Nya. Tetapi Allah SWT menghapus
ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi orang
yang alim. Ketika itu orang ramai melantik ketua-ketua mereka dari
kalangan orang yang jahil dan apabila mereka ditanya mereka memberi
fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka
mereka sesat lagi menyesatkan.”
Riwayat al-Bukhari (100) dan Muslim (2673)
Maksud
mereka sesat kerana memberi fatwa kepada manusia dengan cara batil dan
tanpa ilmu serta petunjuk yang sebenar. Sedangkan mereka menyesatkan
manusia kerana mereka semua percayakan ulama tersebut. Justeru
kesemuanya binasa
Tafsiran hadis di atas, antaranya:
- Ilmu merupakan kurniaan Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Ini menunjukkan betapa kita perlu memohon daripada-Nya supaya dikurniakan ilmu.
- Cara ilmu dicabut ialah dengan kematian ulama. Justeru, hendaklah kita pelajari ilmu dari para ulama dengan cara bertalaqqi sebelum mereka meninggalkan kita. Ini kerana, ilmu tidak boleh diwarisi seperti mana harta, sebaliknya perlu dipelajari dan ditekuni dengan bersungguh-sungguh.
- Kelebihan ulama dalam memberi petunjuk keimanan kepada masyarakat supaya masyarakat menjadi celik daripada sebarang kejahilan kerana kejahilan akan membawa bala kepada mereka yang jahil tanpa pegangan agama yang kukuh.
- Seseorang itu haram mengeluarkan fatwa tanpa sebarang asas dan dalil yang kukuh jika menyalahi prinsip agama. Syarat mengeluarkan fatwa mestilah dengan berilmu, amanah, adil dan ikhlas semata-mata kerana Allah, bukan kerana yang lain daripada-Nya.
- Keperluan mempelajari adab menuntut ilmu daripada para ulama agar ia benar-benar memberi kesan daripada yang lain. Penuntut ilmu hendaklah berakhlak dengan akhlak yang mulia dan menghindarkan sifat-sifat mazmumah.
- Kematian ulama dianggap sebagai musibah yang besar kerana ulama adalah pewaris nabi dan pelita bagi umat ini. Untuk melahirkan ulama yang berwibawa dan mursyid ummah, memerlukan tempoh yang panjang dan tapisan yang tebal. Justeru, sedikit sahaja yang tergolong dalam golongan ulama rabbani yang berani menyatakan kebenaran dan berdakwah dengan penuh hikmah.
- Perlu bagi kita memuliakan ulama dan mengasihi mereka. Ini kerana jalan yang ditunjuk kepada kita adalah jalan akhirat dengan cara ibadah yang sah serta iman yang benar. Justeru, amat wajar dikasihi dan dimuliakan mereka kerana ia termasuk suruhan Nabi SAW.
- Antara tanda akhir zaman ilmu berkaitan agama dan kefahaman Islam akan berkurangan dengan kematian tokoh ulamanya, sebaliknya ilmu berkaitan teknologi dan perkembangan semasa semakin canggih dan begitu terkehadapan. Hal ini tidak pelik dengan banyak penemuan ciptaan terbaru dan terkini.
- Ulama yang menjadi pewaris nabi amat perlu diberi penghormatan dan dimuliakan kerana peranannya yang cukup istimewa di sisi Allah. Menjadi keperluan kepada kita semua untuk mengutip seberapa banyak mutiara ilmu daripada tokoh seperti itu.
Imam
al-Syafie berkata: Tuntutlah ilmu sebanyak yang mungkin kerana ia akan
menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan di akhirat, di samping
ianya menjadi amalan para Nabi, Rasul dan orang-orang soleh.
Pujangga
berkata: Ilmu pengetahuan mempunyai dua keuntungan. Pertama, kita
mengetahui masalah pokok dan kedua, kita mengetahui di mana kita dapat
menemui maklumat berkaitan hal itu.
Penulis menutup perbincangan ini dengan kenyataan daripada Sulaiman Rahimahullah yang berkata:
لَا
يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا بَقِيَ الأَوَّلُ حَتَّى يَتَعَلَّمَ
الآخِرُ، فَإِذَا هَلَكَ الأَوَّلُ قَبْلَ أَنْ يَتَعَلَّمَ الآخِرُ هَلَكَ
النَّاسُ
Maksudnya:
“Manusia sentiasa dalam kebaikan selama mana masih kekal generasi
pertama sehingga yang kemudian dapat mempelajarinya. Jika binasa
generasi yang pertama sebelum dipelajari oleh generasi seterusnya, maka
binasalah manusia.”
Ketika ditanya
kepada Sa’id Bin Jubair Rahimahullah: “Apakah alamat binasanya manusia?
Jawabnya: “Apabila para ulama mereka meninggal dunia.”
Kematian Ulama
Seperti
yang dinyatakan ulama adalah pewaris para Nabi dan menjadi pelita
kepada Ummah di mana ia menerangi dengan panduan taufiq dan hidayah
daripada Ilahi. Ilmu dan hikmah yang dimilikinya sudah pasti amat
berguna kepada Ummah agar mereka tidak terbelenggu dalam kejahilan yang
menyebabkan mereka begitu jarak daripada petunjuk Ilahi.
Selepas
hampir puluhan tahun para ulama mengutip mutiara ilmu dan kemudian
mengajarnya kepada khalayak maka sudah pasti ia bukan semata-mata bentuk
pengajaran tetapi tarbawi dan khuluqi turut disertakan sekali.
Disamping itu, qudwah dan uswah yang baik dipamerkan agar benar-benar
bersebati dalam masyarakat.
Kematian
ulama adalah musibah besar kepada Ummah, kerana kebiasaannya manusia
mampu menggantikan jawatan tetapi tidak mampu menggantikan ilmu, sikap
dan nilai yang dimiliki oleh seseorang. Bacalah sejarah kita akan dapati
ulama yang berpengaruh yang begitu terkesan pada jiwa orang kampungnya
atau negerinya sudah pasti tidak dapat dicari ganti selepas kematiannya.
Pertama: Al-Quran
Firman Allah SWT:
أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّا نَأْتِي الْأَرْضَ نَنقُصُهَا مِنْ أَطْرَافِهَا ۚ
Maksudnya:
Mengapa mereka yang kafir itu masih berdegil dan tidak mahu
memerhatikan bahawa kekuasaan kami sentiasa menakluk bumi (yang mereka
diami) dengan menjadikan dia kurang sedikit demi sedikit dari
kebaikannya dan kemuliaannya?
(Surah al-Ra’d: 41)
Atha’
dan ramai ulama menafsirkan bumi kurang sedikit demi sedikit memberi
maksud kematian para ulama dan hilangnya para fuqaha’.
Firman Allah SWT:
وَالنَّجْمِ إِذَا هَوَىٰ
Maksudnya: Demi bintang semasa ia menjunam.
(Surah al-Najm: 1)
Imam al-Nasafi berkata: “Allah bersumpah dengan orang alim apabila ia meninggal dunia.”
Kedua: Hadis
إِنَّ
اللَّهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ
وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ
يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوْسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا
فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا
Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah SWT tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara
mengambil sekaligus daripada hamba-hamba-Nya. Tetapi Allah SWT menghapus
ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi orang
yang alim. Ketika itu orang ramai melantik ketua-ketua mereka dari
kalangan orang yang jahil dan apabila mereka ditanya mereka memberi
fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka
mereka sesat lagi menyesatkan.”
Riwayat al-Bukhari (100) dan Muslim (2673)
Ketiga: Athar
Dinyataka di sini beberapa hadis dan athar berkenaan dengan kematian para ulama.
Daripada al-Hasan, mereka (‘Aisyah, Ibn Mas’ud dan lain-lain) berkata:
مَوْتُ الْعَالِمِ ثُلْمَةٌ فِي الْإِسْلَامِ لَا يَسُدُّهَا شَيْءٌ مَا اخْتَلَفَ اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ
Maksudnya:
“Matinya seorang alim adalah seperti patahnya mercu tanda Islam yang
tidak dapat ditampungnya sesuatu, walaupun bersilih ganti malam dan
siang.”
Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (1590), al-Bazzar (171), al-Darimi (333) dan al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah (1/317)
Daripada Abu Darda’ RA, berkata:
موتُ العالمِ مصيبةٌ لا تجبرُ، وثُلمةٌ لا تُسدُّ، ونَجمٌ طُمِسَ، موتُ قبيلةٍ أيسرُ من موتِ عالمٍ
Maksudnya:
“Kematian seorang alim merupakan musibah yang tidak tertanggung dan
patahnya mercu tanda Islam yang tidak dapat ditampungnya, seolah-olah
bintang yang terpadam cahayanya dan mati satu qabilah atau kaum lebih
ringan daripada mati seorang alim.”
Riwayat al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid (1/206) dan al-Albani dalam Silsilah al-Ahadis al-Dhaifah (4838)
Daripada Ali RA, berkata:
إِذَا مَاتَ العَالِمُ ثُلِّمَ فِي اَلإِسْلَامِ ثُلْمَةٌ لَا يَسُدُّهَا شَيْءٌ إِلَى يَوْمِ القِيَامَةِ
Maksudnya:
“Apabila matinya seorang alim nescaya dipatahkan mercu tanda Islam yang
tidak mungkin dapat ditampungnya oleh sesuatu hingga hari kiamat.”
Riwayat al-Syaukani dalam Fawaid Majmu’ah (287), al-‘Ajluni dalam Kasyf al-Khafa’ (1/105) dan al-Zurkani dalam Mukhtasar al-Maqasid (75)
Daripada Umar RA, katanya:
لَمَوْتُ أَلْفِ عَابِدٍ قَائِمِ اللَّيْلِ صَائِمِ النَّهَارِ، أَهْوَنُ مِنْ مَوْتِ عَاقِلٍ
Maksudnya:
“Mati seribu orang ahli ibadat yang berqiamullail dan puasa sunat di
siang hari lebih ringan daripada mati seorang yang berakal lagi alim.”
Keempat: Pendapat Ulama
Daripada Abi Ja’far rahimahullah berkata:
مَوْتُ عَالِمٍ أَحَبُّ إِلَى إِبْلِيْسَ مِنْ مَوْتِ سَبْعِيْنَ عَابِدَا
Maksudnya: “Mati seorang alim lebih disukai oleh Iblis daripada mati tujuh puluh orang ahli ibadat.”
Riwayat al-Baihaqi (4/344) dan Abu Nu’aim (3/183)
Pernah ditanya kepada Sa’id Bin Jubair: “Apakah alamat binasanya manusia?
Jawabnya: “Dengan kematian para ulama mereka.”
Daripada
nas dan kenyataan di atas, jelas menunjukkan kepada kita betapa ilmu,
hikmah dan juga para ulama mempunyai kelebihan yang tersendiri. Justeru
apabila berlaku kematian ulama, maka sebenarnya cacatlah dunia ini dan
umat manusia dengan terpadamnya pelita atau obor yang menyuluh kehidupan
mereka.
Seperkara
yang perlu diingati, kematian para ulama biasanya akan dirasai oleh
generasi dan kehilangannya begitu terasa sehingga membawa kepada sebutan
dan nostalgia yang indah tatkala wujudnya ulama tersebut di kalangan
masyarakat. Ini kerana mereka diibaratkan seperti bintang dilangit yang
mana ramai yang boleh menjadikan mereka pedoman seperti kata Abu Muslim
al-Khaulani.
Semoga
para ulama diberkati Allah dan ilmu mereka terlebih dahulu dapat diambil
dan dikutip dari mulut mereka oleh generasi selepasnya agar
kesinambungan ilmu bersilsilah.
Penutup
Sesungguhnya
para ulama telah mewaqafkan kehidupannya untuk meraih ilmu sebanyak
mungkin. Justeru tidak hairanlah mereka dikurniakan kedudukan yang cukup
istimewa di sisi Allah SWT. Allah sendiri telah membuat satu
pertanyaan:
قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ
Maksudnya:
"Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak
mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan
peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.
(Surah al-Zumar: 9)
Semoga
dengan Bayan Linnas ini kita dapat menjadikan para ulama uswah dan
qudwah (contoh) dalam beribadat kepada Allah dan juga menuntut ilmu
serta menyebarkannya. Mereka adalah guru, murabbi, mursyid dan juga
ustaziyatul ‘alam.
Pujangga
pernah berkata: “Apabila seseorang guru memiliki tiga perkara sudah
barang tentu akan sempurna nikmat kepada pelajarnya: Sabar, tawaddu’,
dan akhlak yang baik. Apabila seseorang pelajar memiliki tiga perkara
sudah barang tentu sempurna nikmat dengannya terhadap gurunya pula: Akal
yang waras, adab, dan juga baik fahaman.
Inilah yang dinukilkan daripada Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin.
Harapan
kami dengan kenyataan ini akan dapat melahirkan rasa cinta kita kepada
para ulama Rabbani yang banyak memandu dan memimpin masyarakat dengan
ilmunya yang disulami dengan taqwa dan iman yang kukuh.
Akhukum fillah,
SS. Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
13 Januari 2015 bersamaan 23 Rabiul Awal 1436
Ikuti kami melalui RSS 2.0.