. Doa Pindah Rumah - Emmy Shaklee - [Shaklee Independent Distributor]

Doa Pindah Rumah

at Isnin, 26 Ogos 2013[10:06 PG]

rumah baru

Mungkin ada di antara kita terlepas pandang untuk berdoa setelah memiliki atau berpindah ke rumah baru. Lebih-lebih lagi buat pasangan pengantin baru yang baru membeli atau menyewa dan berhasrat mendiami rumah tersebut. Kalau ada yang sudah melakukannya, Alhamdulillah. Syukur!

Jadi pada entri kali ini admin ingin berkongsi sedikit info berkisar doa dan amalan-amalan mengikut cara Islam yang boleh kita lakukan apabila berpindah ke rumah baru agar diri dan keluarga kita terhindar dari gangguan-gangguan makhluk halus. Antara doa dan amalan-amalannya adalah seperti berikut :

1 – Solat Berjemaah & Melaungkan Azan

Sebaik-baiknya selepas kita menduduki rumah baru dianjurkan kita melakukan solat secara berjemaah dikalangan ahli keluarga. Sewaktu kali pertama masuk ke rumah baru, laungkan azan terlebih dahulu sebelum ingin menunaikan solat fardhu. Amalan ini juga boleh dilakukan untuk bangunan yang telah lama ditinggalkan dan yang tidak dihuni oleh sesiapa. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW pernah memberitahu bahawa sekiranya sesebuah bangunan (rumah/premis) itu terlalu lama dikosongkan (tanpa penghuni) ianya akan dimasuki sejenis makhluk (jin yang dikenali sebagai A/-’Ammar) yang suka tinggal di rumah yang tidak berpenghuni.

2 – Membaca surah Al-Baqarah

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasululllah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu jadikan rumahmu seperti kubur (hanya untuk tidur), sesungguhnya rumah yang dibacakan Surah al-Baqarah tidak akan dimasuki syaitan”. – Hadis Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Muslim dan Nasai)

3 – Perbanyakkan Amalan Solat Sunat dan Membaca Al-Quran

Dalam sebuah hadis yang lain pula, Rasulullah SAW juga menggalakkan agar kita memperbanyakkan amalan solat sunat dan membaca Al-Quran di dalam rumah atau bangunan yang baru diduduki. Baginda bersabda yang bermaksud : “Sinarilah rumahmu dengan memperbanyakkan solat dan membaca al-Quran. “Hadis Riwayat Baihaqi)

4 – Baca Zikir al-Mathurat kubra setiap pagi (lepas subuh) dan petang (selepas asar atau lepas maghrib)

Amalan ini bukan untuk menduduki rumah sahaja tetapi amalan harian yang sunat ini dituntut untuk dibaca setiap hari pagi dan petang. InsyaAllah jin kafir dan syaitan akan menjadi lemah untuk menggoda dan mengganggu pengamalnya yang sentiasa membaca zikir al-Mathurat.

5 – Pagar Rumah Secara Islam

Perbuatan memagar rumah dengan menanam atau menggantung sesuatu di penjuru atau sudut-sudut tertentu di rumah atau bangunan yang diduduki dengan kepercayaan bahawa benda tersebut akan menjaga dan memelihara keselamatan penghuninya adalah perbuatan yang bertentangan di sisi agama Islam. Walaubagaimanapun, ada cara yang dibolehkan dan digalakkan mengikut ajaran Islam.

  • Baca surah Yassin sekali dan sediakan air satu bekas kemudian ‘memagar rumah’ dengan merenjis air bacaan Yassin di sekeliling rumah. Amalan ini adalah amalan masyarakat Islam bagi menghalang penghuni dari diganggu jin. Setiap ayat al-Quran yang dibacakan ke atas air akan ada gelombang yang baik dan laju dan amat dibenci oleh makhluk-makhluk ghaib seperti jin dan syaitan.

“… Surah Yassin adalah qalbul Quran (jantung atau hati al-Quran), tidaklah seseorang yang membacanya kerana mengharap keredhaan Allah dan negeri akhirat (syurga), melainkan akan diampunkan dosanya. Dengan itu, bacakanlah ia kepada orang-orang yang akan mati di antara kamu.” – Hadis Riwayat Ahmad dan an-Nasaa’i. Dinilai lemah oleh ad-Daruquthni, al-Haitsami, al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth).

Sabda Rasulullah SAW, “Sesiapa membaca satu huruf daripada Kitabullah (al-Quran), maka baginya satu pahala kebaikan dan satu pahala kebaikan akan dilipat gandakan menjadi 10 kali, aku tidak mengatakan Alif Laam Miim itu satu huruf, akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf.” – Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi

  • Surah Yassin adalah salah satu daripada surah-surah dalam al-Quran.

Ambil air kemudian baca surah Al-Fatihah sekali, ayat Kursi sekali, Surah 3 Kul (Al-Ikhlas, Al-Falaq dan Al-Nas) sekali. Kemudian tiup ke dalam air tersebut perlahan-lahan sehingga habis nafas. Setelah itu, jirus dan renjiskan air tersebut ke setiap penjuru rumah dimulai dengan penjuru yang terletak di sebelah kanan dan penjuru seterusnya, mengikut arah berlawanan jarum jam. Wallahualam.

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
loading...