SEORANG suspek (kiri) ditahan oleh anggota penguat kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dipercayai terlibat menjual PLS kepada warga Pakistan di Sabah.
Penahanan yang disifatkan terbesar di Sabah membabitkan pegawai imigresen itu dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, semua mereka ditahan di pejabat masing-masing iaitu lima di Lahad Datu manakala dua lagi di Kota Kinabalu.
Modus operandi pegawai terlibat dipercayai termasuklah menerima sijil nikah palsu daripada ‘bakal pembeli’ warga Pakistan terbabit, bagi tujuan kelulusan PLS Jangka Panjang.

Sijil nikah merupakan bukti penting dikehendaki pihak imigresen daripada pemohon PLS Jangka Panjang iaitu di bawah kategori pemohon adalah suami atau isteri kepada warganegara Malaysia, bagi membuktikan perkahwinan itu wujud.


Sumber memberitahu, SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM50,000 di rumah salah seorang daripada mereka, dua keping cek bernilai RM175,000 dan RM7,500 serta beberapa fail berkaitan di Pejabat Imigresen Lahad Datu.

“Sindiket ini dipercayai telah mengeluarkan ratusan PLS Jangka Panjang termasuk kepada warga Pakistan sejak tahun lalu dengan harga mencecah RM11,000 setiap satu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum memperoleh PLS Jangka Panjang, pemohon yang bernikah dengan warganegara Malaysia mestilah mendapatkan Pas Khas yang perlu diperbaharui setiap bulan atau PLS jangka pendek (tempoh sah tiga bulan) untuk tinggal di negara ini.

Sedangkan, tempoh sah PLS Jangka Panjang enam bulan, setahun, tiga tahun atau lima tahun itu.

Seseorang yang mempunyai PLS Jangka Panjang dan telah tinggal sekurang-kurangnya lima tahun di negara ini, boleh memohon taraf Pemastautin Tetap (PR) Malaysia.

Sumber tersebut menambah, tangkapan ini dilakukan ekoran aduan berkaitan terdapat warga Pakistan memperoleh pas tersebut dengan menggunakan sijil nikah palsu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan pe­nahanan tersebut dan memaklumkan semua suspek kini direman antara empat hingga tujuh hari sejak semalam.

“Majistret mengeluarkan perintah tahanan reman selama tujuh hari bermula semalam kepada lima pegawai yang ditahan di Pejabat Imigresen Lahad Datu manakala empat hari kepada dua lagi yang ditahan di Kota Kinabalu,” katanya di sini hari ini.

Tambah Hishamuddin, kes ter­sebut disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.