. ROYALTI: Rakyat sedang semak kejujuran pemimpin - Emmy Shaklee - [Shaklee Independent Distributor]

ROYALTI: Rakyat sedang semak kejujuran pemimpin

at Selasa, 14 Ogos 2012[8:46 PG]

Oleh: Noordin Zakaria
Tarikh: August 4, 2012
KETIKA artikel ini ditulis, isu royalti minyak Kelantan memasuki episod baru. Apa yang menarik ialah episod berantakan politik di antara kerajaan pusat di bawah penguasaan Umno-Barisan Nasional (BN) dan kerajaan Kelantan di bawah Pas berhubung isu royalti, semakin dramatik. Ini berikutan kenyataan terbaru Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat selepas solat Subuh pagi ini bahawa beliau baru sahaja menerima surat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai pembayaran royalti minyak kepada Kelantan.
Menurut Nik Aziz, Najib telah menghantar surat kepada beliau memintanya menghantar wakil untuk membincangkan pembayaran royalti minyak untuk Kelantan. Surat itu, menurutnya, dihantar kepada beliau semalam. Menurut laporan Sinar Harian yang memetik Harakahdaily.net semalam, Nik Aziz membayangkan apa yang menariknya ialah istilah yang digunakan dalam surat ini ialah 'bayaran tunai'. Kenyataan terbaru Nik Aziz ini dikuatkan lagi oleh kenyataan khas Najib sendiri pada hari ini.
Menurut kenyataan khas Najib, kerajaan setuju menubuhkan jawatankuasa khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Najib berkata jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan akan dianggotai pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil kerajaan Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan sultan negeri-negeri berkenaan. "Jawatankuasa khas ini akan membuat satu kajian menyeluruh dalam tempoh masa enam bulan dari tarikh penubuhannya dengan mengambil kira semua aspek tuntutan dan akan membuat syor yang sesuai kepada kerajaan persekutuan," kata Najib dalam satu kenyataan.
Ternyata episod terbaru royalti minyak Kelantan ini semakin dramatik. Malah ia seolah-olah antiklimak dan 'terbalik kot'. Ini kerana sebelum ini, pemimpin Umno-BN, terutama pemimpin dari Kelantan sendiri, dilihat amat beriya-iya menidakkan hak Kelantan untuk mendapatkan bayaran royalti terbabit. Ini digambarkan menerusi pelbagai kenyataan oleh pemimpin Umno Kelantan, termasuk Datuk Seri Mustapa Mohamad dan Datuk Dr Awang Adek Hussin sendiri.
Kerajaan Pas Kelantan menuntut Kerajaan Pusat membayar royalti minyak RM1 bilion bagi pengeluaran petroelum dan gas di perairan negeri itu antara 2004 hingga 2009. Bagaimanapun, kerajaan pusat menolak tuntutan itu. Keengganan membayar royaliti itu menyebabkan kerajaan Pas Kelantan mengheret kes itu ke mahkamah. Pada Ogos 2010, Pas Kelantan mengemukakan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Petronas berhubung royalti minyak terbabit. Sehari sebelum kenyataan terbaru Nik Aziz semalam, Mustapa juga dilaporkan berkata bahawa kerajaan pusat akan menyelesaikan isu royalti minyak Kelantan.
Memang dramatik dan antiklimak. Sudah bertahun sejak isu itu berbangkit, pemimpin Umno Kelantan dan Kerajaan Pusat berkeras enggan membayar royalti terbabit atas alasan negeri itu tidak layak dan tidak berhak menerima royalti berkenaan. Namun, tiba-tiba hari ini Nik Aziz muncul dengan kenyataan yang 'terbalik kot'. Drama politik ini menjadi semakin menarik kerana Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) kini di ambang pintu. Sudah tentu banyak pihak akan mengaitkannya dengan pilihan raya.
Mari kita selami lebih dalam drama royalti minyak yang mendebarkan ini. Sebelum ini, pemimpin Umno Kelantan acap kali mencanangkan ke seentero negara kononnya Kelantan tidak layak dan tidak berhak menerima bayaran royalti berkenaan. Dalam nada lain, ada pemimpin Umno negeri itu juga mendakwa royalti minyak Kelantan sudah dibayar, tetapi bukan dalam bentuk royalti, tetapi wang ihsan. Lihat kenyataan Dr Awang Adek pada 29 Julai lalu. Beliau menyatakan pihak berkenaan tidak perlu melakukan konvoi atau demonstrasi tuntutan royalti minyak memandangkan hak rakyat Kelantan sudah diberikan kepada rakyat Kelantan secara terus dan bukan melalui kerajaan negeri.
Dr Awang Adek yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ehsan Kelantan berkata, wang ihsan diberikan kepada mereka yang layak secara terus dan telus iaitu kaedah yang lebih baik berbanding diberikan kepada kerajaan negeri. Menurutnya, wang itu adalah milik rakyat Kelantan dan tidak perlu kerajaan negeri menimbulkan kekecohan untuk menuntut diserahkan kepada mereka. Ternyata ada yang pelik dan sedikit melucukan dalam soal ini. Jika benar wang royalti sudah dibayar dalam bentuk wang ehsan kepada rakyat Kelantan sebagaimana dinyatakan Dr Awang Adek, wang apakah pula yang mahu dibincangkan oleh Najib sebagaimana terkandung di dalam suratnya kepada Nik Aziz yang diterima semalam?
Jika apa yang dimaksudkan oleh Najib adalah wang royalti minyak, wang royalti manakah pula yang dirujuk oleh Dr Awang Adek sebelum ini? Rakyat semakin cerdik dan maklumat kian telus. Rakyat tidak suka pemimpin bercakap berbelit-belit dan tidak jujur. Mari kita lanjutkan penghayatan pada episod royalti ini. Setelah dilihat beriya-iya menghalang pembayaran royaliti minyak kepada Kelantan, kenyataan terbaru Nik Aziz semalam berhubung kesediaan Perdana Menteri untuk berbincang mengenai perkara itu sudah tentu akan dilihat sebagai satu usaha 'terbalik kot'. Ia akan dilihat banyak pihak sebagai satu usaha untuk mengambil hati pengundi Kelantan menjelang PRU13.
Jika diamati, setakat ini Najib memang sentiasa berusaha keras untuk membaiki imej Umno dan BN di mata pengundi. Beliau dilihat cuba sedaya upaya membaiki satu persatu perkara berbangkit yang dihadapi rakyat. Namun sesetengahnya sudah terlewat. Percubaan membaikinya dibuat ketika ia sudah sampai ke tahap hampir rosak teruk, sesetengahnya kronik. Royalti minyak Kelantan adalah satu daripadanya. Sebelum ini, keengganan Kerajaan Pusat dan pelbagai kenyataan pemimpin Umno Kelantan melayan tuntutan royalti minyak oleh Kelantan dilihat banyak pihak, termasuklah pengundi atas pagar yang rasional, lebih berpunca kepada keengganan Umno untuk memberi ruang dan kelebihan politik kepada Pas Kelantan. Mungkin Umno menelah bahawa royalti itu, jika diberi, akan menjadikan Pas semakin kuat dan kian disayangi rakyat negeri itu.
Justeru, banyak pihak melihat Umno lebih banyak mendera rakyat Kelantan, bukan cuba memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat negeri itu. Malah, sesetengah rakyat Kelantan melihat keengganan kerajaan pusat membayar wang royalti adalah satu perbuatan mendera rakyat negeri itu kerana memilih Pas dalam pilihan raya. Kini setelah kempen Pas Kelantan menuntut royalti minyak menerima sokongan padu majoriti rakyat Kelantan, termasuk pengundi muda, malah turut mendapat sokongan beberapa pemimpin Umno sendiri, parti tua itu ternampak seolah-olah menukar haluan lalu mudik menuruti kehendak ramai. Kandungan surat Najib kepada Nik Aziz yang diterima semalam, walaupun tidak dinyatakan isinya secara terpeinci, dilihat mencerminkan perubahan haluan secara mendadak. Ternyata pemimpin Umno Kelantan kini dilihat oleh rakyat terbanyak sebagai tidak bijak dalam menangani isu terbabit sehingga menampakkan parti itulah yang menghalang royalti, bukan disebabkan halangan perundangan sebagaimana diuar-uarkan.
Lebih-lebih lagi niat Najib seperti di dalam surat berkenaan dan kenyataan Mustapa semalam untuk menyelesaikan isu royalti minyak Kelantan, hanya datang setelah pilihan raya menjelang tiba. Jika pilihan raya masih lambat, adakah Umno-BN akan lebih bersedia untuk menyelesaikan kemelut royalti itu? Sila jawab secara jujur tanpa bias politik. Kini natijahnya Umno-BN ternampak seolah-olah makin terdesak untuk meraih simpati dan undi pengundi Kelantan sedangkan sebelum ini Pas sudah menjaja sekeliling negeri bahawa kedua-dua tokoh Umno Kelantan - Mustapa dan Dr Awang Adek - adalah dua ikon politik yang menghalang pembayaran royalti itu.
Dua tokoh Umno Kelantan ini dilabelkan sebagai 'pengkhianat' kepada rakyat negeri itu kerana mereka dikatakan menghalang pembayaran royalti. Imej sebagai pengkhianat ini dijaja oleh Pas dan rakan sekutunya di setiap pelusuk negara menerusi pelbagai program ceramah serta bahan bercetak. Sekali lagi, sama ada ini persepsi atau realiti, hakikatnya sikap, reaksi dan apa juga kenyataan yang keluar dari mulut pemimpin Umno Kelantan sendiri menyebabkan rakyat negeri itu melihat mereka sebagai 'penghalang' kepada royalti terbabit.
Bagi rakyat Kelantan yang terkenal dengan sikap 'gedebe' dalam menghukum mana-mana parti politik di negeri itu, adalah tidak wajar usaha menghalang royalti datang dari rakyat negeri berkenaan sendiri. Apabila ini berlaku, rakyat nampak Pas lebih jujur membela hak mereka berbanding Umno. Sama ada ini realiti atau sekadar persepsi, hakikatnya percaturan Umno-BN Kelantan semakin menampakkan di mata rakyat bahawa mereka tidak benar-benar jujur. Hakikat ini perlu diakui secara berani oleh pemimpin Umno dan penyokongnya.
Pemimpin jujur akan dihormati rakyat. Tidak kira Pas atau Umno, pengundi masa kini bukan pengundi yang boleh diperbodohkan dan digula-gulakan. Maklumat makin telus dan rakyat kian cerdik. Malah pengundi luar bandar yang biasanya menjadi sandaran Umno-BN, kini semakin akses kepada maklumat. Jika pengundi tua di kampung tidak mempunyai kepelbagaian maklumat selain hanya bergantung kepada televisyen, radio dan akhbar harian, anak-anaknya yang rata-rata berpendidikan, akan menyampaikan maklumat sumber alternatif, termasuk Internet, kepada orang tua mereka.
Ini bukan zaman yang pemerintah boleh menyaring dan memilih mana maklumat mahu didedahkan kepada rakyat dan mana maklumat mahu disembunyikan. Ini adalah zaman yang orang ramai ada jalan lain, malah jalan pintas, untuk akses kepada maklumat selain radio, televisyen dan akhbar yang dikuasai parti pemerintah. Apapun, pokok pangkalnya ialah keikhlasan politik. Pada zaman yang rakyat semakin cerdik dan maklumat kian telus, pemimpin politik tidak mempunyai pilihan melainkan mesti ikhlas serta jujur kepada pengundinya. Rakyat sedang menyemak keihklasan setiap pemimpin dan parti yang diwakilinya.
Di tangan pengundi kini ada senarai semak yang panjang. Dan, markah hasil semakan itu akan ditunjukkan pada PRU13!
Justeru, jika mahu mengekalkan survival politiknya, Umno mesti membuang jauh-jauh buku lama yang mengandungi teori serta strategi politik lapuk pemimpin terdahulu, sebaliknya mula mempraktikkan teori dan strategi politik dari buku 'ilmu politik baru' yang mementingkan kejujuran, ketelusan dan 'kebersihan'.

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
loading...