. "Untung sabut timbul, untung batu… - Emmy Shaklee - [Shaklee Independent Distributor]

"Untung sabut timbul, untung batu…

at Selasa, 5 Februari 2013[1:45 PTG]

Bismillah. Saya membuat kesilapan. Jika dahulu, saya menjayakan kursus keusahawan, saya percaya apabila peserta mempratikkan segala ilmu yang dipelajari itu, secara logiknya mereka berjaya.
Selepas membuat pemerhatian terhadap banyak individu baru yang menceburi dunia bisnes dan membandingkan kaedah yang saya gunakan. Jauh berbeza. Kini saya sedar, apa yang membuatkan secara purata lebih mudah dan lebih cepat mencapai sasaran bisnes adalah kerana saya sudah memiliki lebih banyak ilmu bisnes, kerana secara semulajadi saya dibesarkan dalam keluarga bisnes.
Saya sebenarnya tidak tahu bahawa orang bekerja 5 hari seminggu, perlu berada di pejabat ataupun tempat bekerja dari pagi sampai ke petang, tidak boleh buat benda lain sepanjang waktu itu, saya tidak tahu bagi orang bekerja mereka hanya bertemu dengan ibu bapa mereka pada hujung minggu.
Ini kerana ayah saya dahulu, dia hubungi kakak (arwah) saya yang tinggal di Kota Bharu, supaya datang rumah untuk minum petang. Kalau tidak salah saya sekitar jam 3 petang. Kakak dan abang saya yang berniaga datang ke rumah ayah saya itu pada bila-bila masa, saya dapat rasakan sewaktu kecil itu seolah-olah 'dunia ini kami yang punya'. Alhamdulilah, semua baju sekolah kami ditempah termasuk baju raya oleh arwah ayah saya.
Setiap petang sekitar jam 4 petang, semua adik beradik saya yang belum bekerja wajib baca yasin setiap hari diruang tamu bersama arwah ayah saya. Saya dapat belajar banyak cara ayah saya bercakap dengan tetamu, sahabat bisnes beliau dan juga pekerja. Saya kagum walaupun ayah saya tiada, bekas pekerja beliau memuliakan saya apabila bertemu. Ayah saya itu mempunyai hubungan sosial kaedah bisnes yang saya suka. Arwah ayah saya ini suka menderma, lagi banyak beliau dapat duit lagi banyak orang lain yang kurang berkemampuan dibantunya.
Saya diberikan duit yang sangat sikit untuk ke sekolah, mengalahkan anak orang yang 'miskin'. Cuma untuk makanan, saya tidak pernah kenal erti makanan tiada ataupun tiada duit untuk beli makanan sepanjang saya hidup bersama ayah saya.
Lebih kurang seminggu sebelum beliau meninggal dunia, dia memanggil anak-anak beliau satu persatu bagi memberi amanah beliau yang terakhir.
Sewaktu saya dipanggil oleh ayah saya, beliau memberitahu sudah tiba masanya beliau meninggalkan saya di dunia ini, beliau berkata lebih kurang 1 - 2 minggu lagi beliau akan pergi. Pesanan beliau untuk saya
"Walau apapun yang berlaku, jangan menangis Allah ada".
Dalam tempoh 2 minggu itu beliau meninggal dunia. Itulah harta pusaka yang ayah saya tinggalkan untuk saya.
Kata-kata itu juga yang menyebabkan saya mempunyai falsafah saya iaitu
"Untung sabut timbul, untung batu, saya akan letak pelampung di bawah batu itu, walau macam manapun saya tetap timbul, hanya Allah sahaja yang boleh menenggelamkan saya"
Kepada tuan dan cik puan yang bukan berasal dari keluarga bisnes, bebanan untuk belajar urusan bisnes menjadi lebih banyak. Banyak prinsip bisnes yang kita perlu cari dan pratikkan. Semakin banyak ilmu, kemahiran dan doa yang kita amalkan, semakin mudah kita mencapai apa yang kita inginkan termasuk dalam bisnes ataupun kehidupan.
Hanya Allah yang Maha Arif Lagi Bijaksana.

ShamsuddinKadir

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
loading...