Jangan Jadi Mangsa
Satu: Wanita yang terlalu mudah mempercayai lelaki.
Dah sayang la katakan… jadi apa sahaja yang lelaki/pasangan katakan, kepercayaan adalah seratus peratus. Bukan maksud saya percaya separuh-separuh atau percaya pasangan jangan sampai 100%, tetapi maksud saya mudah percaya yang membuta-tuli dan menerima apa sahaja tanpa menggunakan akal fikiran yang waras adalah amat tidak wajar.
Contoh mudah: Pasangan anda berkerja sebagai seorang kerani dan gaji bulanannya sebanyak RM1000.00 sebulan bersih(dah ditolak KWSP dsb.). Anda pula memang tahu status kewangan dan “pattern” perbelanjaannya. Dia ada banyak tanggungjawab, bil-bil untuk dijelaskan setiap bulan dan sebagainya. Kira gajinya cukup-cukup sahaja.
Satu hari dia membelikan anda cincin emas berharga RM700.00. Anda tanya, “Mana dapat duit?”. Dia kata, lama dah simpan khas untuk “surprise”kan anda. Oklah, boleh terima.
Bila anda tengok pakaiannya pula berjenama. Dia mula “shopping sakan” dan anda pun dia belikan bermacam barangan lagi. Anda tanya lagi, “Mana dapat duit?”. Dia kata, “ada la “bisnes” dengan kawan…” Anda pun percaya terus…
Soalan di sini, dalam senario di atas, tidakkah anda rasa musykil dan bermacam soalan lagi bermain dalam kotak fikiran tentang jawapan mudah seperti itu? Atau anda tergolong dalam wanita yang terus percaya 100% tanpa banyak soal lagi?
Ingat! Lelaki yang berterus-terang dan jujur dengan pasangannya akan menyatakan, menjelaskan dengan selengkapnya tentang apa yang ditanya atau diragui oleh pasangannya. Dia tidak akan menyembunyikan apa pun kerana baginya, wanita yang disayanginya bukan sahaja tempat berkasih, malah tempat berkongsi apa sahaja. Lagi pun, nak rahsia apa, bukan dengan orang lain?
Jadi, sekiranya ada sesuatu yang anda rasa ragu-ragu, perlu ditanya kepada pasangan anda, jangan tunggu, jangan simpan. Cuma pastikan anda bertanya kepada dia pada masa dan keadaan yang sesuailah. Percaya secara total dan “semborono” boleh meletakkan anda dalam bahaya.
Contoh dalam senario di atas tadi, menjadi rakan kongsi untuk mengedar dadah adalah maksud sebenar dia berkenaan ayat, “ada la bisnes dengan kawan…”.
Kalau ini berlaku… macamana?
Dua: Wanita yang “terdesak” untuk berkahwin.
Umur yang semakin lanjut membuatkan ramai wanita yang belum berpasangan risau akan status diri. Walaupun pada zaman yang semakin canggih ini, melihat wanita yang berkerjaya lewat berkahwin adalah perkara biasa, namun majoriti wanita yang semakin meningkat umurnya risau jika masih belum mempunyai pasangan hidup.
Kerisauan terhadap faktor umur yang meningkat, tekanan ibu bapa, pandangan masyarakat, dan juga kerisauan terhadap peluang untuk mendapatkan cahaya mata yang semakin kurang jika kahwin lewat mampu menyebabkan sesetengah wanita seolah-olah “terdesak” untuk mencari pasangan hidup.
Dalam keadaan seperti ini, kadangkala mereka boleh “terlepas pandang” tentang sikap, kualiti, dan peribadi lelaki yang dipilihnya itu. Wanita yang berkahwin lewat pada zaman ini pula kebanyakannya berkerjaya secara tidak langsung membawa maksud mereka sudah mempunyai tahap kewangan yang stabil.
Ini memungkinkan mereka menjadi mangsa “buaya professional” yang sentiasa mencari peluang untuk mengambil kesempatan ke atas wanita seperti ini. Kalau anda dalam golongan wanita seperti ini, ingat… biar lambat, asal selamat!
Tiga: Wanita “sosial”.
Ini bukan sosial dari segi terlibat dengan Mercy Malaysia ke, persatuan wanita di kawasan anda ke, atau perkara yang seumpamanyalah. Sosial dalam hal ini ialah suka kepada “night life”, disko, berparti, “clubbing”, pergaulan bebas tanpa had dan hidup dengan falsafah “life is short, so have fun!”, atau “masa muda ni la nak rasa macam-macam..”. Fahamkan maksud saya?
Wanita-wanita ini (lebih ramainya gadis remaja), yang melibatkan diri dengan cara hidup bebas dan sosial seperti ini terang-terangan mendedahkan dan “mengiklankan” diri sendiri kepada “species” lelaki pemangsa wanita.
Bersosial tanpa batasan adalah di antara resepi utama yang menyebabkan ramai wanita dan gadis remaja ditipu sekaligus dirosakkan oleh lelaki yang tidak bertanggungjawab. Tepuk dada, tanya selera? Tidak.. Tanya Iman!
Empat: Wanita yang tidak pentingkan ilmu.
Wanita yang mementingkan ilmu dalam konteks percintaan, perkahwinan dan memilih pasangan hidup bukanlah bermaksud wanita yang mempunyai ijazah berjela-jela dari universiti terkenal. Bukan itu sahaja. Kalau itu yang dijadikan ukuran wanita berilmu, kenapa masih terlalu ramai wanita yang ditipu, dihina, dipermainkan, dan sebagainyalah oleh lelaki yang berbahaya?
Wanita yang berilmu dalam konteks ini ialah wanita yang mampu memandu dirinya supaya tidak “terpilih” lelaki penipu dan berbahaya. Sekiranya dia “terjebak” dengan lelaki penipu/berbahaya, dia tahu apa yang perlu dilakukan atau di mana untuk mendapatkan bantuan yang sewajarnya.
Ia juga bermaksud wanita yang mengetahui hak-haknya sebagai wanita dan sebagai seorang isteri. Wanita yang berilmu juga berani “membetulkan” keadaan dan mempertahankan haknya bila perhubungan/perkahwinannya terganggu/diganggu sama ada oleh pihak ketiga atau pasangannya sendiri.
Wanita seumpama ini mampu menjadi pasangan/isteri yang sentiasa menjadi kebanggaan pasangan/suaminya sendiri dan mempunyai segala sifat sebagai seorang yang cemerlang.
Wanita seperti ini, sentiasa cintakan ilmu. Sentiasa melengkapkan dirinya dengan ilmu selagi hayat dikandung badan.
Wanita yang mempunyai segulung ijazah atau Ph.D pun boleh ditipu dan dipermainkan lelaki “species berbahaya” ini…apatah lagi jika wanita yang hanya meletakkan 100% kebahagiaannya ke atas lelaki dan langsung tidak mahu atau mengambil mudah untuk meningkatkan ilmu dalam diri?
Lima: Wanita yang memandang “faktor fizikal”
sebagai salah satu ciri utama pada lelaki idamannya. Mudah jatuh cinta dengan lelaki handsome? Atau mungkin juga lelaki “cute”, “macho”, dan mempunyai fizikal yang begitu menggoda hati?
Ingat..semakin “handsome”, “cute”, “sexy” seseorang lelaki itu, sebenarnya semakinlah anda sebagai wanita perlu menggandakan “sistem pertahanan” diri. Kalaulah ramai wanita boleh diperdayakan oleh lelaki yang TAK “handsome” dan seumpamanya, apatah pula risiko ditipu oleh lelaki yang “handsome”?
Ingat.. “handsome”, “cute”, dan seumpamanya itu pada seseorang lelaki sepatutnya BUKAN menjadi antara ciri-ciri utama lelaki idaman wanita. Ia sepatutnya hanya menjadi ciri-ciri “bonus” lelaki idaman wanita.
Nasihat untuk wanita yang mudah “cair” dengan lelaki seperti ini, dan menjadikan lelaki seperti ini sebagai “target” utama ciri bakal pasangan hidupnya.. fikir masak-masak!
Anda mungkin sedang diperhatikan oleh “pemangsa handsome dan sexy” yang sentiasa mencari wanita untuk ditipu dan dipermainkan..
Enam: Wanita yang “sabar” tidak bertempat.
Wanita dalam golongan ini boleh kita katakan jenis yang selalu “makan hati berulam jantung”, atau mungkin juga dah sampai tahap “makan tangan berulam kaki”. Dia didera(fizikal atau perasaan), tidak dihargai, sentiasa diambil kesempatan oleh pasangan/ suaminya namun masih tetap bersama lelaki itu walaupun dia sedar dia terseksa dan tertekan.
Soalnya di sini, bila diperlakukan sebegitu, dia hanya “berharap” pasangannya akan berubah pada satu masa nanti TANPA mengambil tindakan yang sewajarnya. Tidak salah bersabar. Malah sabar adalah satu sikap yang baik, dituntut, terpuji, dan mulia. Namun demikian, sekiranya kesabaran itu akhirnya membawa mudarat terhadap diri sendiri, sesuatu perlu dilakukan.
Bersabar walau diperlakukan apa sahaja oleh lelaki/pasangan seperti ini seolah-olah memberi “lesen” kepadanya untuk terus mendera, menipu, dan menghina maruah wanita yang terlibat. Sabar, biarlah bertempat!