Herba naikkan aroma masakan
Herba dan rempah yang biasa digunakan di dapur sememangnya mempunyai banyak khasiat. Kunyit, halia, bawang putih, jintan putih, lada hitam dan kulit kayu manis antara bahan yang tinggi khasiatnya.
Selain menaikkan aroma dan menambah rasa dalam masakan, ia juga mengandungi antioksida yang baik untuk kesihatan.
Menurut tukang masak selebriti terkenal, Chef Zamzani Abdul Wahab atau lebih dikenali sebagai Chef Zam, bahan antioksida dalam sesetengah herba dan rempah boleh membantu melambatkan proses penuaan.
“Ramai yang tidak sedar khasiatnya walaupun selalu menggunakannya dalam masakan. Jika diteliti, beberapa bahan dalam masakan seperti kunyit, halia dan bawang putih sebenarnya mengandungi bahan antioksida. Ia baik untuk membantu mengurangkan risiko mendapat sakit jantung, barah, kencing manis dan penyakit kronik lain. Justeru, saya banyak menggunakan herba dan rempah ratus dalam masakan supaya lebih sihat dan enak,” katanya.
Jumlah antioksida pada kunyit sama dengan strawberi, raspberi dan ceri. Jintan putih pula mengandungi bahan organik cuminaldehyde untuk membantu mengaktifkan kelenjar air liur bagi melancarkan proses penghadaman.
Antara hidangan yang disediakannya menggunakan bahan rempah dan herba yang mengandungi antioksida tinggi adalah kerutuk ayam, nasi beriani dan kambing tandoori. Sesuai dinikmati menjelang Ramadan dan Syawal ini, hidangan kerutuk ayam tampak berlainan sedikit daripada biasa berbanding sajian rendang ketika menyambut bulan mulia itu.
Kerutuk ayam adalah hidangan pantai timur. Ia diadun menggunakan bahan herba dan rempah McCormick seperti jintan putih, serbuk ketumbar, kayu manis, halia, serbuk lada dan bawang putih.
“Caranya sama seperti membuat rendang. Bezanya, ia lebih mudah disediakan kerana menggunakan bahan sedia ada, namun memberikan rasa lebih enak. Tidak perlu bersusah payah mengupas bawah putih serta halia kerana ia lebih mudah dengan penggunaan serbuk rempah dan herba bagi mempercepatkan aktiviti memasak,” katanya.
Selain ayam kerutuk, Chef Zam turut menunjukkan cara mudah membuat nasi beriani kerana ramai yang menganggap ia sukar disediakan. Untuk resipi nasi beriani, dia menggunakan susu cair bagi memberikan kilatan dan rasa manis pada nasi. Bagi menambah warna pada nasi beriani, gunakan safron atau kunyit yang dimasukkan apabila nasi sudah kering.
Apapun, jangan mengacau nasi yang kering bagi mengelakkan teksturnya hancur.
“Tambah menarik apabila nasi beriani ditambah dengan kambing tandoori yang menjadikan rasanya lebih enak. Mudah saja membuat daging atau ayam tandoori. Ia hanya perlu diperap selama dua jam sebelum dimasak dengan bahan seperti jus lemon, garam, jintan putih, serbuk ketumbar, lada dan kunyit. Kemudian, tambah yogurt dan biarkan diperap bagi membangkitkan rasa masam pada daging tandoori. Daging tandoori yang siap dimasak perlu dimasukkan ke dalam nasi beriani yang sudah kering,” katanya.
Untuk memasak semua bahan di atas, rempah atau herba jenis serbuk perlu dibancuh dengan sedikit minyak supaya ia tidak lembap dan cepat garing ketika menumis. Sementara itu, terdapat 11 rempah dan herba yang dihasilkan McCormick seperti kunyit, halia, rosemary, kulit kayu manis, jintan putih, bawang putih, lada hitam, serbuk cili dan oregano.
Ikuti kami melalui RSS 2.0.