. Mata titik Fokus - Emmy Shaklee - [Shaklee Independent Distributor]

Mata titik Fokus

at Khamis, 20 Jun 2013[4:06 PTG]

“Kulit Melayu mahu digelapkan lagi? Sudah cukup gelap, jadi kenapa perlu solekan perang?” Bertalu-talu soalan dihamburkan kala cuba mendapatkan model untuk sesi solekan MAC bagi himpunan musim panas tahun ini.

Benar, majoriti wanita Malaysia sukar mengaplikasikan warnanya yang disifatkan terlalu eksotik dan gelap kerana ramai terarah kepada solekan lembut.

Namun, koleksi Temperature Rising yang dipersembahkan MAC kali ini nyata menyerlahkan definisi berbeza dalam solekan perang’ atau keemasan.

Menurut Jurusolek Acara Khas MAC Cosmetics Malaysia, Shahrum Mohd Nor, riasan keemasan ini sebenarnya mampu menyerlahkan sisi feminin seseorang wanita andai bijak memilih dan mengadun warna yang hampir dengan ton kulit.

Foto

WAJAH model yang kusam sebelum disolek.

“Koleksi Temperature Rising ini cuba menzahirkan solekan segar dengan olesan bersinar yang sentiasa dikaitkan dengan seri wajah. Kala menggunakan warna keemasan, solekan sederhana dan tidak terlalu tebal amat digalakkan berikutan faktor cuaca panas kerana ia mengakibatkan solekan ‘cair’ lalu terpaksa dioles semula,” katanya.

Biarpun solekan keemasan tertumpu pada pipi untuk kesan wajah sihat, Shahrum menegaskan zon mata perlu dititikberatkan kerana ia turut membantu mengimbangi keseluruhan solekan.

“Mata menjadi titik fokus apabila mahukan wajah dirias cantik. Sama ada riasan tebal dengan pembayang mata atau sekadar melorek nipis menggunakan pensel, solekan mata mampu serlahkan wajah berdimensi lalu menjadikannya lebih seimbang. Tapi apabila mata disolek dengan pilihan warna berat, elakkan penggunaan gincu atau warna bibir yang terang. Sebaiknya pilih rona semula jadi atau pastel seperti merah jambu lembut,” ujarnya.

Foto

Koleksi Temperature Rising menawarkan riasan mata sederhana dan smoky, bergantung kepada personaliti atau pilihan masing-masing. Palet empat warna Bare My Soul menonjolkan kesan keemasan hangat daripada rona hijau tentera, perang gelap dan gangsa manakala palet Temperature Rising menampilkan kemasan dingin dengan kompilasi warna ungu gelap, pic pastel dan kelabu.

Tambah Shahrum, penggunaan bedak asas yang berasaskan air serta tidak berminyak amat penting kerana ia membantu memastikan solekan tahan sepanjang hari. Tidak ketinggalan MAC menambah losen Strobe dalam bentuk cecair dalam koleksi ini. Losen ini asasnya membantu meningkatkan seri pada wajah, sekali gus mengurangkan kesan cela.

Khusus untuk musim panas, Strobe hadir dengan pigmen kemilau menarik yang boleh disapu sedikit pada panel atas seperti dahi dan batang hidung, selain tepi rahang untuk hasil wajah sihat semula jadi.

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
loading...