Taasub laman sosial
Berdasarkan Wikipedia, media sosial adalah sejenis media yang digunakan terus secara talian dengan membolehkan pengguna dengan mudah untuk menyertai, berkongsi dan mencipta isi meliputi blog, rangkaian sosial, wiki, forum dan dunia virtual. Bentuk media sosial ini paling umum digunakan.
Virus alaf baru
Jika dulu trend berpakaian ala hippies ataupun pemuzik rock menular hebat dalam kalangan remaja tetapi kini fenomena itu jauh berbeza. Seiring peredaran zaman, gelombang ataupun ‘trend’ turut berubah. Kepesatan teknologi menjadikan generasi muda kini taasub terhadap laman sosial yang dilihat seperti virus baru hingga memberi kesan negatif terhadap masyarakat.
Remaja era baru terlalu fanatik dengan pelbagai gajet canggih yang boleh mengakses Internet seperti telefon pintar atau komputer riba membolehkan mereka melayari pelbagai jenis laman sosial tanpa had waktu. Ketagih melayari Internet terutama laman sosial secara tak langsung menjadikan seseorang itu lalai.
Mengapa ia diibaratkan seperti virus? Bayangkan anda melepak bersama empat orang rakan, dua daripadanya sibuk ‘membelek’ telefon bimbit, perbualan menjadi bosan dan akhirnya keempat-empat rakan turut diam ‘mentelaah’ telefon sendiri. Hal ini secara tidak langsung mematikan perkembangan interaksi sosial sesama manusia.
Kenapa ketagih?
Ditanya kenapa mudah untuk terjerumus sebagai pengguna laman sosial tegar, beberapa kelompok daripada golongan ini berpendapat, selain mudah, murah dan rangkaian jaringan banyak pengguna sekali gus memperoleh kenalan baru, mereka juga dapat membentuk satu kumpulan sosial dalam jumlah besar sebagai komuniti komputer. Ketagih laman web seperti ketagihan dadah yang sukar untuk diubati kerana ia satu cara membantu bersosial.
Menurut Pakar Perunding Psikiatri Universiti Malaya, Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari, laman sosial sebenarnya adalah tempat strategik bagi penggunanya meluahkan perasaan sama ada positif atau sebaliknya seperti kegembiraan, marah, kecewa, dendam dan sebagainya. Justeru faktor ini menyokong alasan penyakit ketagih laman sosial.
Sebagai contoh, menariknya Twitter kerana setiap orang boleh berkongsi apa juga yang dilakukan seharian dengan berjuta rakan Twitter lain. Remaja gemar mengemas kini maklumat, tak kiralah apa yang dilakukan mahupun lokasi di tuju, jelas Twitter tempat sesuai bagi mereka. Manakala Facebook pula dikatakan dapat menemukan kembali individu yang terpisah lama seperti kawan sekolah dan sanak-Saudara.
Statistik
Sikap tidak menggunakan teknologi dianggap terlalu sukar untuk dielakkan bagi sesetengah pihak sama seperti berhenti merokok apatah lagi bagi mereka yang memiliki akaun laman sosial. Bagi laman sosial Facebook, statistik diperoleh daripada Internet World Statistic 2011 menunjukkan Malaysia di tangga ketiga dengan 31.2 peratus dan seramai 8,163,300 orang daripada populasi rakyat negara ini berdaftar sebagai ahlinya. Manakala satu kaji selidik oleh firma penyelidikan global TNS pada November 2011 menyatakan, penduduk Malaysia adalah paling sosial di Internet dengan purata 233 rakan dalam rangkaian mereka berbanding 68 di China dan hanya 29 di Jepun. Ini membuktikan Malaysia antara negara yang didiami pengguna laman sosial tegar di seluruh dunia.
Menurut sumber, penduduk Malaysia kini seramai 28 juta orang dengan ketumpatan telefon pintar sebanyak 27 peratus. Tempoh waktu dihabiskan pengguna Malaysia melayari laman sosial adalah 20 jam seminggu iaitu 33 peratus daripada jumlah masa keseluruhan. Cukup kritikal!
Anti-laman sosial = kolot
Zaman sekarang, individu yang tidak mengikuti perkembangan semasa dianggap ketinggalan dan membosankan. Istilah hidup tidak lengkap tanpa Internet khususnya memilik laman sosial sendiri seperti perkara wajib bagi setiap individu. Jadi, tidak hairanlah ramai dalam kalangan baik yang bergelar pelajar, pekerja serta suri rumah pasti mengakui ‘melekat’ di komputer melayari laman web saban hari. Lebih parah lagi apabila obsesi laman web itu dipadankan dengan ketagihan bermain permainan komputer.
Kesan negatif
Kira-kira 60,000 pelajar berusia antara 12 hingga 18 tahun di negara ini dikesan menghabiskan sekurang-kurangnya empat jam sehari melayari Internet terutama laman sosial Facebook. Disebabkan itu, ketagihan melayari laman web itu semakin serius sehingga ada segelintir sanggup bertindak ganas sekiranya dihalang menggunakan kemudahan Internet.
Kajian daripada penyelidik Cybersecurity Malaysia menjelaskan kegilaan pengguna Internet, terutamanya golongan remaja terhadap aplikasi rangkaian sosial menjadi sesuatu fenomena membimbangkan. Misalnya, seorang gadis berusia 17 tahun di Romania yang galak menggunakan aplikasi rangkaian sosial Twitter terbunuh akibat kejutan elektrik ekoran menggunakan komputer riba ketika berendam di bilik mandi.
Selain itu, golongan tegar ini dikatakan mudah menghidapi penyakit seperti pening, masalah penglihatan dan sakit perut berikutan tindakan mereka mengurangkan masa tidur dan rehat yang mencukupi. Meskipun beribu impak lain yang disenaraikan, apa yang ketara adalah komunikasi dalam kalangan masyarakat semakin pudar kerana taksub dengan teknologi setiap masa. Jadi, hormatilah sesama kita dan anda mampu mengubahnya!
Ikuti kami melalui RSS 2.0.