. Enggan tua sebelum usia - Emmy Shaklee - [Shaklee Independent Distributor]

Enggan tua sebelum usia

at Jumaat, 7 Jun 2013[3:33 PTG]

PERNAH suatu ketika pada hujung tahun lalu, sekeping gambar yang memaparkan pelakon muda Erin Malek memakai baju tidur telah mencetuskan kontroversi. Foto aksi berahinya itu telah dimuat naik di laman Twitternya.

Gambar yang dimuat naik dengan niat ditujukan buat para peminatnya itu dikecam dan Erin dikatakan cuba mencari publisiti murahan.

Bagaimanapun, Erin atau nama sebenarnya Nur Erina Abdul Malek, 19, tampil memberikan penjelasan. Ujarnya, gambar tersebut dirakam ketika dia sedang menunggu untuk menjalani penggambaran salah satu babak filem Lari arahan Ahmad Idham. ilem tersebut mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula semalam, 6 Jun. Justeru, pasti ramai yang menantikan kemunculan filem tersebut lantaran ia mencetuskan kontroversi lebih awal. Erin melahirkan rasa lega apabila filem itu yang selama ini dinanti-nantikan untuk tayangan umum akan menjawab segala tohmahan yang dilemparkan kepadanya tahun lalu.

"Bagi setiap perkara yang tidak disukai orang atau sekiranya Erin buat salah, tolonglah tegur dengan cara baik, bukannya komen dan mengutuk saya secara biadab. Kenapa perlu cakap saya tidak sopan dan tidak pandai menjaga tingkah laku? Lebih baik cakap perkara bagus-bagus kerana kata-kata itu satu doa. Saya masih muda dan mungkin kurang matang tapi saya akan cuba berhati-hati dalam setiap perbuatan selepas ini," ujarnya yang ditemui ketika tayangan perdana Lari di TGV Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Menerusi filem itu, Erin melakonkan watak Ina iaitu adik perempuan kepada seorang bekas tentera bernama Khaliff (lakonan Aaron Aziz). Konflik melanda apabila Erin dilarikan ke Thailand oleh satu sindiket untuk dijadikan pelacur manakala bapanya pula dibunuh.

PEMILIK seraut wajah comel ini bersifat terbuka tentang hubungan cinta yang kini dijalinkan bersama pemuda bernama Walid Wahid.

Imej negatif

Dalam pada itu, Erin turut mengulas dakwaan dia tidak menghormati tatacara berpakaian memandangkan dua orang adik-beradiknya tampil dengan tuntutan berhijab.

"Saya sudah agak, imej saya akan menjadi isu sejak awal lagi. Saya mempunyai dua orang adik yang kedua-duanya memakai tudung. Orang akan pandang saya negatif apabila saya keluar dengan mereka berdua. Tapi saya cuba sedaya upaya untuk mengenakan pakaian yang sopan apabila keluar bersama. Mereka tidak pernah mengeluh atau bising kerana imej saya. Kalau di rumah, saya akan mengikut cara mereka cuma kadangkala saya tidak faham mengapa orang tetap melihat diri saya yang negatif. Umpamanya mereka kata saya seorang gadis yang teruk sangat. Walau apapun, saya gembira dengan kehidupan saya sekarang, insya-Allah saya berharap agar saya terbuka hati untuk memakai tudung," getus Erin.

Erin juga tidak terlepas daripada isu bertindik lidah dan tatu palsu sebelum ini selain beberapa foto beraksi manja bersama teman lelakinya yang dikenali dengan panggilan Walid Wahid. Memberikan reaksi terhadap keterbukaannya dalam isu perhubungan dengan lelaki tersebut, ujar Erin, dia masih tahu menjaga batasan agama dan tatasusila masyarakat Timur.

"Kami sudah tiga tahun bersama. Saya tidak hipokrit dan ramai yang sudah tahu akan hubungan kami. Mama saya tiada masalah sejak saya menjalinkan hubungan dengan dia asalkan tidak melakukan perkara yang orang sekeliling tidak suka atau memalukan Mama. Pada mulanya, Walid tidak faham kerjaya saya sebagai seorang pelakon malah dia juga tidak tahu siapa saya ketika awal perkenalan. Tapi sekarang, dia sudah boleh menerima tugas saya sebagai anak seni," kata Erin yang turut menjayakan drama bersiri Misiku Kuza yang sedang ditayangkan di Astro Ria.

Dalam usia 19 tahun, adakalanya Erin seolah-olah berada di persimpangan - antara meniti usia dewasa dan meninggalkan zaman remaja yang dicintainya. Bagi Erin, dia berpegang pada prinsip enggan menjadi tua sebelum usia. Maka disebabkan itu juga, dia terpaksa menolak beberapa tawaran untuk melakonkan watak wanita dewasa.

FILEM Lari membuka peluang buat Erin untuk bergandingan dengan Dira (kiri) dan Aaron.

Prinsip dan watak

"Ramai yang masih keliru dengan pendirian saya, malah tidak percaya untuk menawarkan saya watak utama. Saya tidak suka dilabelkan sebagai pelakon kanak-kanak lagi. Walaupun badan saya kecil, orang sangka saya tidak boleh melakonkan watak remaja. Saya tidak kisah dilabelkan budak-budak sekolah tapi saya tidak mahukan itu saja kerana saya juga mahukan watak remaja. Tapi janganlah tawarkan saya watak tua sebelum sampai waktu yang sesuai. Nanti apabila saya sudah tua, saya perlu pegang watak yang bagaimana pula?" jelasnya.

Ditanya mengenai perancangannya dalam mengisi ilmu di dada selain bidang seni, jawab Erin, dia masih menunggu masa yang sesuai untuk menyambung pelajaran dalam bidang pengarahan filem.

"Sepatutnya saya sambung belajar tapi sekiranya mahu belajar saya perlu berhenti berlakon seketika. Pernah juga saya terfikir awal tahun ini mahu sambung belajar tapi apabila dapat tawaran berlakon, saya letak ke tepi dulu hasrat saya. Buat masa sekarang belum ada matlamat untuk sebetul-betulnya mahu belajar semula, selalunya saya suka merancang saat-saat akhir. Mama pun tak bagi saya membuat dua kerja dalam satu-satu masa," kongsi Erin.

Hakcipta terpelihara

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
loading...