Mursyidul Am PAS diminta ber’undur’ - Wan Ji Wan Hussin
KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat diminta supaya berundur dan tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang sebaliknya menumpukan perhatian kepada siri ceramah dan kempen untuk pembangkang.
Blogger pro pembangkang, Wan Ji Wan Hussin berkata, jawatan itu sebenarnya sudah boleh diserah kepada orang lain sekali gus tidak membebankan dirinya dengan tugas sebagai Menteri Besar Kelantan.
“Tuan Guru (Nik Abdul Aziz) turun jelajah seluruh Malaysia, tidak perlu bertanding pilihan raya, tidak perlu jadi Menteri Besar lagi, tugas itu boleh diserah kepada ramai lagi ulama muda lain, tumpu sahaja kepada beri ceramah.
“Buat macam Anwar dahulu masa zaman (Tun) Abdullah Badawi, beliau tidak dapat bertanding pilihan raya jadi dapat jelajah kempen seluruh negara, sampai orang menyebut itulah kesilapan besar Abdullah kerana ‘membebaskan’ Anwar sehingga beliau boleh berceramah seluruh negeri dan pembangkang dapat menang banyak kerusi,” kata pemilik blog G-82.blogspot.com itu.
Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab di program Bual Bicara Bersama Bloggers dan Facebookers di Kompleks Islam Lundang di sini.
Wan Ji sebelum ini pernah menimbulkan kontroversi apabila menyifatkan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din sebagai ulama kepala lutut kerana tidak sependapat dalam isu kalimah Allah serta sering menggunakan bahasa kasar dalam tulisannya untuk mengkritik pemimpin Pas terutama kumpulan pro-perpaduan.
Pemimpin pembangkang yang berinteraksi dengan hadirin pada majlis itu adalah Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail manakala Nik Abdul Aziz yang sepatutnya menjadi salah seorang ahli panel tidak hadir.
Pelbagai isu telah dibangkitkan blogger seperti kegagalan pembangkang untuk merealisasikan janji dalam manifesto pilihan raya umum lalu contohnya kemudahan Wi-Fi di negeri yang ditawan pembangkang; kelemahan kerajaan negeri Kelantan dalam pengurusan kebersihan dan ‘pengkhianatan’ calon PKR kepada undi pengundi apabila berpaling tadah melompat ke parti lain.
Saifuddin ketika menjawab persoalan mengenai ‘pengkhianatan’ calon PKR mengakui, integriti PKR tercalar teruk apabila ramai wakil rakyat yang bertanding atas tiketnya semasa PRU-12 akhirnya membawa masalah kepada pembangkang.
Perjuangan seorang tidak akan berakhir sehinggalah menutup mata. Rasulullah saw begitu; tetap memperjuangkan dan menyebarkan Islam sehinggalah Baginda wafat.