. Cantik secara fitrah - Emmy Shaklee - [Shaklee Independent Distributor]

Cantik secara fitrah

at Selasa, 5 Mac 2013[10:05 PG]

APAKAH erti kecantikan pada tafsiran anda? Mungkin pada sepasang mata hening yang selalu menjeling tajam atau yang kadang kala malu-malu memberikan kerlingan manja, menjadi defi nisi cantik?
Atau boleh jadi pada bibir yang tidak jemu-jemu menyerlahkan senyuman manis, atau sekali-sekala memberikan kucupan mesra di dahi umi, ayah, suami dan pipi mungil anak-anak? Mungkinkah kerana suara gemersik dan hilai tawa mempersona atau tubuh badan yang mengiurkan menjadi perspektif cantik kepada anda?
Sejuta perkataan belum cukup untuk menceritakan kecantikan perempuan. Jangankan sejuta malah berjuta-juta kali ganda perkataan pun masih belum cukup untuk mendefi nisikan tentang keindahan perempuan. Kitalah perempuan itu. Panjatkan kesyukuran kehadrat TUHAN kerana menjadikan kita perempuan dan memberikan keindahan-keindahan itu.
Namun, betapa pun dijaga, dipelihara, dibelai dan ditatap di hadapan cermin saban waktu, tiba masanya segalanya akan pergi jua. Wajah akan suram, mata akan kelam. Kedutan-kedutan akan tetap terserlah meskipun kita berusaha me-nyembunyikannya. Satu sahaja yang tidak akan dimamah usia, sifat keperempuanan yang dipupuk melalui iman dan ibadah yang berterusan yakni istiqamah.
Walaupun usia seorang wanita itu meningkat dari tahun ke tahun, tahukah bahawa kita masih kelihatan cantik dengan kedutan-kedutan yang terpalit di wajah. Kedutan-kedutan itu sebenarnya melambangkan kekuatan dan gambaran betapa kita benar-benar berjuang meneruskan kehidupan. Garis-garis halus di pinggir bibir itu menggambarkan betapa kita tidak pernah lelah untuk tersenyum meskipun badai melanda di sepanjang kehidupan.
Uban yang memutih itu pula sebenarnya sangat cantik parasnya berbanding diwarnakan. Tidak perlulah menutupinya dengan warna yang tidak asli, kerana bukankah putih itu melambangkan kesucian? Anggap sahaja sebelum ini, hitam itu melambangkan dosa yang pernah dilakukan dan semakin memutihnya rambut bererti kita sedang dalam proses membersihkan diri.
Jika ada yang melihat rambut kita memutih dan lantas mengusik, katakan sahaja kita di dalam proses ‘pemutihan’ daripada dosa. Kita sentiasa cantik dan tetap istimewa di setiap detik kehidupan. Hargai kecantikan dengan kesyukuran. Tidak kiralah sama ada sudah berumur 15, 25, 35, 50 atau 70 tahun, kecantikan tidak akan hilang selagi mengenali erti syukur yang ALLAH S.W.T harapkan.



Jika selama ini kita berasa tidak cantik, bagaimanakah cara untuk mengubah diri menjadi lebih cantik? Senang sahaja tetapi harus sabar dan istiqamah melaksanakannya. Caranya begini:
- Jadikanlah ‘Ghadhdul Bashar’ (menundukkan pandangan) sebagai ‘hiasan mata’, nescaya akan semakin bening dan jernihlah penglihatan. Wajah yang sentiasa tunduk mampu menjaga pandangan boleh menumpulkan hati dan ingatan. Sepasang mata yang digunakan untuk pandangan luhur akan jatuh terbenam ke dalam hati lalu menerbitkan mata hati yang bersih lagi menyucikan.
- Oleskan ‘lipstik kejujuran’ pada bibir, nescaya ia akan semakin manis. Ucaplah kata-kata manis dan sopan agar telinga yang mendengar berasa selesa dan nyaman serta dapat mententeramkan hati gundah gulana.
- Gunakanlah ‘pemerah pipi’ dengan kosmetik sifat malu yang datangnya dari ‘salon’ iman. Malu adalah perlu dalam kehidupan seorang wanita. Ia perlu ditonjolkan pada tempat, masa dan situasi yang sesuai. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Mas’ud r.a iaitu:
“Rasa malu terhadap ALLAH itu ialah supaya kamu memelihara kepala dan apa yang diingat oleh kepala itu, memelihara perut dan apa yang dikandung oleh perut itu, juga supaya kamu selalu ingat kepada kematian dan berbagai bencana seperti hancur luluhnya segala anggota badan. Barang siapa yang menginginkan selamat di alam akhirat, hendaknya ia meninggalkan perhiasan atau kemewahan duniawi. Orang yang melakukan semua itu, maka ia telah mempunyai rasa malu terhadap ALLAH dengan sebenar-benar malu.” - Riwayat oleh Ahmad dan Tirmidzi. Dipetik dari buku Untaian Mutiara Hadits-hadits Rasulullah s.a.w. Ditulis oleh Dr. Ahmad Umar Hasyim, m/s 52
- Pakailah ‘sabun istighfar’ yang menghilangkan semua dosa dan kesalahan yang dilakukan. Istighfar yang ikhlas mampu menjaga hati dan diri daripada mengulangi dosa yang sama. Ia juga dapat mengharumkan setiap langkah yang dilakukan tidak kira di pelosok mana kita menjejakkan kakiselagi bersandarkan ALLAH semata-mata Rawatlah rambut dengan ‘selendang islami’ yang akan menghilangkan ‘kelemumur’ pandangan lelaki. Hijab yang menutupi rambut membuatkan kita dihormati oleh lelaki yang gemar mengganggu wanita. Ini disarankan juga di dalam al-Quran yakni:
Hendaknya mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan jangan kamu mendedahkan aurat dan perhiasan kamu kecuali apa yang terzahir. - An-Nur: 31
Maka, perintah ALLAH untuk menutup aurat jika direnung dengan ketulusan hati, sebenarnya untuk me- lindungi daripada ancaman bahaya, juga sebagai tanda ALLAH mengasihi kita supaya tidak diapa-apakan oleh mereka yang berniat serong. Tidaklah terlalu sukar untuk menyempurnakan cara berpakaian kerana kita sendiri tidaklah dilahirkan dengan sifat yang sempurna. Tetapi kita mampu mengubah untuk berpakaian dengan cara yang lebih sempurna. Betulkan?
- Hiasilah kedua tangan dengan ‘gelang tawaduk’ dan jari-jemari dengan cincin ukhuwah. Gunakanlah juga tangan kita itu dengan 100 kebaikan seperti berdoa, menolong orang atau memberi sedekah. Berikut adalah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang mampu menggembirakan setiap hati. Semoga kita akan bertambah yakin dengan kecantikan yang dimiliki.
Daripada Abu Dzar, dia berkata, “Pada suatu malam saya keluar, tiba-tiba saya melihat Rasulullah s.a.w berjalan sendirian, tidak ada seorang pun yang menyertainya. Saya mengira bahawasanya baginda memang tidak senang jikalau ada orang lain yang menyertainya.” Dia meneruskan, “Saya berjalan di bawah naungan rembulan. Rasulullah s.a.w kemudian menoleh dan melihat saya, lalu bertanya, “Siapa ini?” Saya menjawab, “Abu Dzar, semoga ALLAH S.W.T menjadikan saya sebagai tebusan anda.”
Baginda s.a.w bersabda, “Hai Abu Dzar, ke marilah.” Abu Dzar berkata, “Saya lalu berjalan menyertainya sesaat lamanya.” Beliau kemudian berkata, “Sesungguhnya orang yang banyak hartanya itu nanti akan menjadi orang yang paling sedikit pada hari kiamat, kecuali orang yang dikurniai ALLAH S.W.T kebaikan (maksudnya harta) lalu suka meniupkan yakni menafkahkan hartanya itu sebagai sedekah kepada orang yang menghajatkan di sebelah kanannya, di sebelah kirinya, di sebelah mukanya serta di sebelah belakangnya, juga berbuat kebaikan dengan rezekinya itu.” Abu Dzar berkata, “Saya meneruskan perjalanan bersama baginda sesaat lagi.” Rasulullah s.a.w bersabda, “Duduklah disini.” Baginda menyuruh saya duduk di suatu tanah yang cukup luas dan di sekitarnya itu ada beberapa batu berwarna hitam.
Baginda sekali lagi bersabda, “Duduklah di sini sehingga saya kembali kepada anda nanti.”Rasulullah s.a.w berangkat pergi di celah-celah batu- batuan sehingga saya tidak dapat melihatnya. Lama juga Rasulullah s.a.w meninggalkan saya. Kemudian sesungguhnya saya mendengarnya sedang mendatangi saya dengan mengatakan, “Meskipun dia mencuri dan meskipun dia berzina.” Abu Dzar melanjutkan ceritanya, “Setelah baginda datang, saya sudah tidak bersabar lagi, lalu saya bertanya, “Wahai Nabi ALLAH, semoga ALLAH menjadikan saya sebagai tebusan anda, siapakah yang berbicara di dekat batu-batuan tadi?”
Tiba-tiba ada suara yang mengatakan (dan ini adalah suara Malaikat Jibril a.s memberitahu kepada Nabi Muhammad s.a.w), “Berikanlah berita gembira kepada umat tuan, barang siapa yang meninggal dunia, dia tidak mempersekutukan ALLAH S.W.T dengan sesuatu, maka dia pasti dapat masuk syurga.” Saya pun berkata, “Wahai Jibril, sekalipun ia mencuri dan meskipun ia berzina?” Jawabnya, “Ya, sekalipun ia mencuri dan sekalipun ia berzina. “Masih sekali lagi bertanya, “Sekalipun ia mencuri dan sekalipun ia berzina?” Dia (malaikat) menjawab, “Ya benar, bahkanmeskipun dia minum minuman keras yakni khamar.” - Riwayat daripada Imam Muslim. Dipetik dari buku Untaian Mutiara Hadits Rasulullah s.a.w, Ms477
- Bedaklah wajah dengan wuduk bagi menaikkan seri muka. Mohonlah kepada ALLAH S.W.T agar diberi nur pada wajah tatkala menjadikan wuduk sebagai bedak asas.
Daripada Abu Hurairah r.h. dia berkata, aku men- dengar Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya umatku dipanggil pada hari kiamat dalam keadaan bersinar muka, tangan dan kakinya kesan daripada wuduk.”
Hadis ini menjelaskan fadilat atau kelebihan kepada umat Muhammad s.a.w iaitu mereka akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan keadaan bersinar muka, tangan dan kakinya kesan daripada berwuduk. Sesungguhnya ALLAH S.W.T jadikan alamat yang akan menyebabkan Rasulullah s.a.w. mengenali umatnya di akhirat nanti.
Insya-ALLAH, kita akan cukup cantik di mata penduduk langit dan sebahagian yang lain mampu menilai kecantikan dengan menggunakan mata hati. Ingatlah bahawa tidak ada kecantikan bagi seorang wanita, tiada pula keindahan, harga diri dan kedudukan kecuali dihiasi dengan iman kepada ALLAH S.W.T. Apabila tertegaknya di atas jalan ini, maka kitalah wanita yang mendapat petunjuk, diterima amalnya dan menjadi wanita pilihan di sisi Rabb-NYA.
Namun, jika dilepaskan jalan kebenaran tersebut, menafi dan mengingkari tuntutan agama, maka kitalah cermin kepada wanita yang murahan dan jahil dalam mengenal maksud sebenar kecantikan. Pada saat itulah sinar kecantikan seorang wanita mula menghilang, walau berkalung bintang, meskipun bermahkota bintang dan matahari terbit di ufuk timur, akan tenggelam jua kecantikan yang dimiliki.
Wahai wanita muslimah yang jujur, wahai wanita mukminah yang selalu ingin kembali kepada ALLAH... ambillah nasihat ini juga sebagai makanan kecantikan tambahan. Semoga diri yang cantik akan bertambah cantik hingga memiliki kecantikan kekal abadi:
· Jadikan diri seperti sepohon kurma. Iaitu apabila dilempar dengan batu ia menjatuhkan buahnya. Tetap hijau pada musim panas mahupun dingin dan memberi manfaat kepada sekalian manusia.
· Basahkan bibir dengan ucapan zikir, bentuklah pandangan sebagai satu pengajaran dan berdiam diri adalah untuk berfi kir pada sesuatu yang baik sahaja.Berdiam diri bukan bermaksud sombong atau meninggi diri tetapi kerana melatih lidah daripada mengeluarkan kata-kata yang mengguris hati pendengar lantas men- cipta dosa yang tidak disedari.
· Ketika berdiam diri, saat itulah kita mendapat ke- tenangan dan kedamaian. Tercurah segala pujian yang baik-baik dari hati yang ikhlas. Juga ALLAH S.W.T akan menjauhkan kita daripada kesempitan, bayangan ketakutan dan gumpalan kekeruhan.
· Tidurlah berbantalkan curahan doa, lalu bangunlah untuk meraih pujian yang ditujukan kepada kita. Saat itulah kita mula menyedari bahawa kebahagiaan bukan terdapat pada harta, kad kredit, kereta, rumah mahupun kepada kasihnya seorang manusia, namun kepada ketaatan terhadap Zat Yang Maha Terpuji. Kedamaian hidup bukan pada hiasan keduniaan, bukan pula mengabdi kepada hamba, tetapi kepada kepatuhan terhadap Zat Yang Maha Mulia.
· Jadilah seorang wanita yang bermaruah dan punya kedudukan tinggi di sisi TUHANnya. Nama nya sentiasa disebut-sebut dalam kalangan para malaikat dan berjaya memperoleh cinta yang teragung, iaitu cinta Ya Rabb lantas jadilah wanita paling bahagia di dunia.
Kepada mereka yang tidak pernah yakin dengan kecantikan yang dimiliki,renungkanlah kisah ini. Semoga keyakinan menjadi milik kita semula. Seorang wanita tua Cina mempunyai dua bekas pasu air yang digantung di setiap penjuru galah yang dibawanya. Salah satu pasu tersebut telah retak sedikit sementara pasu yang satu lagi masih elok dan dapat mengisi air dengan penuh. Pada akhir perjalanan jauh dari sungai ke rumahnya, pasu yang retak tersebut hanya dapat sampai dengan separuh penuh air sahaja.
Keadaan ini berlaku setiap hari selama dua tahun. Maka, wanita tua itu hanya dapat membawa satu setengah pasu air sahaja. Semestinya pasu yang sempurna tersebut sangat berbangga dengan pencapaiannya. Sebaliknya, pasu yang retak itu sangat malu dengan ketidaksempurnaannya dan berasa sedih kerana hanya mampu membawa separuh sahaja air daripada sepatutnya. Setelah dua tahun berlalu dengan kepahitan dan kegagalan, pasu retak itu berbual dengan wanita tua itu di tepi sungai.
“Aku sangat berasa malu dengan diriku, kerana diriku yang retak ini menyebabkan air tertumpah di sepanjang perjalanan ke rumahmu.”
Wanita tua itu tersenyum dan berkata, “Sedarkah kamu akan bunga di batas laluan kamu tetapi tidak di batas laluan yang lagi satu? Kerana menyedari kekuranganmu, aku telah menyemai benih-benih bunga di batasan itu. Setiap hari apabila kita pulang dari sungai, tanpa disedari kamu telah menyiram benih-benih itu. Selama dua tahun aku berpeluang mencantas bunga-bunga yang cantik ini untuk menghiasi mejaku. Sekiranya kamu tidak menjadi dirimu sendiri, mungkin tiada keindahan sebegini di rumah ini.”
Yakinlah... setiap daripada kita mempunyai kekurangan. Ketahuilah bahawa kekurangan yang dirasakan itu adakalanya merupakan kekuatan buat mereka yang melihat melalui mata hati. Semoga mereka yang merasakan kekurangan atau keretakan terus hidup dan menghidu haruman kebahagiaan di sisa kehidupan yang tinggal..

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
loading...