. Kemuliaan Waktu Jumaat Yang Tidak Mendapat Tempat - Emmy Shaklee - [Shaklee Independent Distributor]

Kemuliaan Waktu Jumaat Yang Tidak Mendapat Tempat

at Jumaat, 3 Mei 2013[10:43 PG]

BAGI negeri-negeri yang hujung minggu mereka bukan pada hari Jumaat, negeri-negeri yang terlibat termasuklah Wilayah-Wilayah Persekutuan telah memperuntukkan waktu rehat yang lebih panjang pada hari berkenaan.

Ia bagi memberi ruang dan keselesaan kepada umat Islam untuk menyahut perintah Allah SWT sebagaimana yang terkandung dalam ayat 9, Surah al-Jumu'ah yang antaranya bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (masjid), untuk mengingati Allah (solat Jumaat), dan tinggalkanlah jual beli. Demikian itu adalah lebih baik, jika kamu mengetahuinya".

Perintah Allah ini hukumnya wajib kecuali dalam keadaan yang tertentu sebagaimana mafhum Hadis yang diriwayatkan oleh an-Nasa'i. Secara dasarnya juga berjual beli selepas laungan azan yang pertama, adalah haram hukumnya. Maka, secara ringkasnya terdapat dua perkara utama dalam ayat al-Quran ini, iaitu kewajipan menunaikan solat Jumaat kepada lelaki Muslim yang telah baligh dan diharamkan bagi mereka berjual beli pada waktu solat Jumaat.

Selanjutnya, dalam Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud, Rasulullah SAW bersabda yang antara mafhumnya menyatakan bahawa, sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut dengan sengaja, maka Allah SWT akan menutup pintu hatinya daripada menerima petunjuk.

Berdasarkan kepada nas-nas yang ada ini, maka pihak pemerintah memperuntukkan undang-undang bahawa lelaki yang telah baligh dan tidak menunaikan solat Jumaat selama tiga kali berturut-turut tanpa sebarang keuzuran, adalah melakukan kesalahan. Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan, ataupun menerima kedua-dua hukuman itu. Contohnya di Seksyen 14 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 atau Akta 559.

Walau bagaimanapun, dengan ruang dan kemudahan yang telah disediakan ini, pada waktu umat Islam mengerjakan solat Jumaat, malangnya masih ramai kaum lelaki (yang kita yakin bahawa mereka ini beragama Islam), tidak bersama-sama melaksanakan solat Jumaat, malah, bebas melakukan pelbagai aktiviti.

Sehubungan dengan perkara ini juga, ramai kalangan wanita pula yang mengambil peluang pada waktu rehat yang lebih panjang ini untuk keluar membeli-belah. Dalam hal ini, mereka perlu bersikap berhati-hati untuk melakukan urusan jual beli sekalipun secara umumnya, hukum untuk bermuamalat bagi kalangan wanita dalam waktu solat Jumaat adalah harus.

Walau bagaimanapun, berjual beli dengan lelaki yang berkewajipan untuk menunaikan solat Jumaat adalah disifatkan sebagai menyokong lelaki berkenaan untuk tidak melaksanakan kewajipan yang telah pun diperintahkan Allah SWT. Maka, hukumnya adalah berdosa kerana bersubahat dengan pelanggaran kewajipan berkenaan. Sekalipun, keabsahan urusan jual beli itu tidak dipertikai.

Dalam kedudukan agama Islam bagi negara ini bukan sekadar sebagai agama rasmi semata-mata kerana ia agama negara, fenomena tidak memuliakan waktu solat Jumaat tentulah amat menyedihkan dan amat malang. Sesuatu perlu dilakukan bagi memperlihatkan bahawa Islam di Malaysia adalah agama yang benar-benar dimuliakan. Pada masa sama untuk menyedarkan orang awam bahawa kewajipan untuk melaksanakan perintah Allah SWT merupakan perkara yang amat serius.

Tidak dinafikan sukar untuk menguatkuasakan peruntukan sedia ada kerana perlanggaran undang-undang hanya berlaku apabila tidak menunaikan solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut, tetapi berdasarkan kepada konsep hisbah, ruang yang ada sebenarnya masih luas untuk memulihkan fenomena yang berlaku.

Antara konsep hisbah yang dilaksanakan pada zaman pemerintahan Khalifah Sayidina Umar al-Khattab adalah dengan melantik seorang wanita sebagai penyelia pasar bagi menjaga keamanan tempat berkenaan dan pasar dapat beroperasi dengan baik. Maka, tindakan beliau ini tentulah boleh dicontohi dengan melaksanakan rondaan oleh penguat kuasa dalam kalangan pegawai wanita di tempat-tempat awam termasuklah di premis-premis makanan atau di tempat-tempat membeli-belah.

Teguran atau mengambil kenyataan boleh dilakukan atas asas bahawa meninggalkan solat Jumaat dengan sengaja walaupun sekali adalah berdosa. Tindakan seperti ini adalah usaha untuk menerbitkan rasa malu dan bersalah kalangan lelaki telah baligh dan tidak mempunyai sebarang keuzuran kerana tidak menghormati waktu solat Jumaat.

Masih terdapat ruang bagi menambah baik peruntukan sedia ada. Melalui pendekatan siasah syar'iyyah "kesalahan tidak menghormati waktu solat Jumaat" barangkali boleh diperuntukkan sebagaimana peruntukan "kesalahan tidak menghormati bulan Ramadan". Iaitu, kesalahan yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Bagi kariah yang kecil, pemantauan terhadap ahli kariah mungkin boleh dilaksanakan berbanding di kariah yang jauh lebih besar. Cadangan untuk mewujudkan buku kehadiran di masjid-masjid di kariah yang kecil, barangkali boleh difikirkan bagi memupuk kesedaran tentang pentingnya bersolat Jumaat.

Kalangan yang tidak berkewajipan untuk melaksanakan solat Jumaat seperti kaum wanita dan mereka yang sedang bermusafir juga sebenarnya boleh melakukan peranan tertentu. Elakkan berurusan dengan peniaga-peniaga lelaki Islam dengan hanya berurusan dengan peniaga wanita, ataupun menunggu sehingga waktu yang haram itu berlalu.

Sekiranya mempunyai kekuatan untuk menegur, katakan bahawa ia adalah perbuatan yang haram. Sebilangan daripada kita mungkin selama ini tidak sedar dan sebilangan lagi barangkali tidak melihat perkara ini sebagai sesuatu yang serius. Perlu difahami bahawa mencari keredaan daripada Allah SWT adalah dengan mengelak daripada kemurkaan-Nya.

Satu riwayat menyatakan bahawa ayat 11 Surah al-Jumu'ah diturunkan pada ketika Rasulullah SAW sedang berkhutbah dan pada masa sama rombongan dagang dari Sham tiba, yang mengakibatkan para ahli jemaah keluar dari masjid kecuali beberapa orang, bagi menyambut rombongan berkenaan. Umat Islam harus menginsafi dan menghayati ayat berkenaan yang memberi maksud bahawa pahala yang dianugerahi oleh Allah itu lebih baik berbanding nilai hiburan atau dagangan.

Apabila Allah menyatakan bahawa Dia adalah sebaik-baik pemberi rezeki, antaranya ia turut memberi makna bahawa, menolak untuk bermuamalah dengan kalangan yang wajib menunaikan solat Jumaat itu adalah perkara yang amat terpuji dan meyakini bahawa kehidupan kita akan dilimpahi rahmat.

Kalangan yang sengaja tidak menghormati waktu Jumaat dan tidak melaksanakan perintah solat ini seolah-olah meletakkan diri mereka serendah hamba sahaya kerana dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dan al-Hakim Rasulullah SAW menyatakan bahawa antara golongan yang dikecualikan untuk melakukan solat Jumaat ialah hamba sahaya.

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
loading...