. Mawi tukar profesion - Emmy Shaklee - [Shaklee Independent Distributor]

Mawi tukar profesion

at Isnin, 20 Mei 2013[4:16 PTG]

MAWI dan Ekini giat mempromosikan produk kesihatan dan kecantikan mereka, UniQuein.

KEHADIRAN jejaka ini di dalam persada seni pada suatu ketika dulu telah memberi fenomena baharu dalam dunia hiburan apabila namanya yang sebelum ini tidak pernah diketahui secara tiba-tiba melonjak naik.

Semuanya bermula apabila Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani menyertai rancangan realiti televisyen Akademi Fantasia musim ketiga pada tahun 2005 dan seterusnya memenangi gelaran juara. Sejak itu Mawi mula mendapat perhatian ramai. Namun, oleh kerana dia masih mentah dalam bidang seni ketika itu, ramai yang berpendapat Mawi tidak tahu bergaul dan seperti tidak serius untuk berada dalam bidang yang penuh mencabar itu.

Berbeza kini, setelah hampir 10 tahun berada dalam dunia seni, Mawi sudah matang dalam setiap jawapan yang diberikan dan sentiasa berhati-hati ketika melemparkan tutur kata. Perubahan positif ayah kepada seorang puteri, Cahaya Malaika ini boleh dilihat apabila setiap kali diajukan soalan, Mawi akan menjawab dengan berhemah sekali. Menurut Mawi, pengalaman banyak mengajarnya untuk sentiasa belajar menjadi manusia yang lebih baik lebih-lebih lagi apabila dia kini sudah mula menjinakkan diri dalam dunia perniagaan.

“Saya akui kini saya lebih pandai menjawab soalan dan pertanyaan orang ramai kerana setelah beberapa tahun berada dalam bidang seni, banyak benda yang saya pelajari. Lebih-lebih lagi kini saya sudah berkecimpung dalam dunia perniagaan yang memerlukan saya bertemu dengan ramai rakan korporat,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk UniQuein di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Mawi, kekuatan dan perubahan positifnya itu banyak didorong oleh isterinya, Ekin yang turut sama membantu dan memberi kata-kata semangat dalam setiap apa yang dilakukannya.

“Ekin selalu berada di belakang saya dan saya bersyukur kerana memiliki isteri yang tidak pernah berputus asa dalam memberi segala pertolongan atau bantuan ketika saya senang mahupun susah,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mawi sedang aktif menjalankan perniagaan produk kesihatan dan kecantikan UniQuein bersama isteri dan adik iparnya, Aein. Katanya, pada tahun ini dia ingin memberi fokus kepada perniagaannya yang semakin berkembang positif, namun itu tidak bermakna dia melupakan bidang nyanyian yang sudah sebati dengan dirinya.

“Saya fikirkan juga tentang perkara itu (menyanyi), bukanlah kata saya nak tinggalkan terus bidang nyanyian. Cuma buat masa sekarang saya juga berjinak dengan bidang produksi, penulisan skrip dan pengarahan. Semuanya dalam proses untuk saya belajar,” ujarnya.

Sementara itu, bercakap mengenai album, Mawi masih belum mengeluarkan album baharu, tetapi terdapat beberapa single akan dikeluarkan dalam waktu terdekat ini, antaranya Termolek ciptaan M. Nasir dan lirik oleh Ad Samad.

Selepas Termolek, lagu Kau Adalah Aku ciptaan M. Nasir pula dijangka akan menyusul dan kedua-dua lagu itu dijangka diterbitkan pada tahun ini juga.

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
loading...