. Rumah kemas pejabat selesa - Emmy Shaklee - [Shaklee Independent Distributor]

Rumah kemas pejabat selesa

at Jumaat, 10 Mei 2013[9:07 PG]

HASIL kerja Zaifinidza yang mendapat liputan daripada akhbar dan majalah menghiasi dinding ruang kerja.

AKSESORI mewah dalam kuantiti besar bukan taruhan untuk menampakkan rumah menarik, malah kadangkala merimaskan mata memandang.

Bagi pemilik rumah jenis superlink di The Oasis, Cheras Utama, Zaifinidza Zainal Abidin, rumah dengan nuansa kemas, ringkas dan tersusun lebih mendamaikan berbanding ruang yang sarat dengan perhiasan.

Wanita yang lebih mesra dipanggil Zaifie itu sangat menggemari warna putih atau rona alam yang baginya mendamaikan. Dia yang meninggalkan kerjaya sebagai pereka grafik berikutan minat yang mendalam dalam bidang andaman dan gubahan pengantin sangat ternyata bijak memilih warna.

Kediamannya tetap kelihatan menarik walaupun hanya menggunakan warna putih, hitam dan merah untuk memenuhi ruang tamu yang merangkumi warna dinding serta perabot.

GABUNGAN sofa dan dinding berwarna putih menjadi lebih berseri dengan hamparan permaidani merah.

"Saya memerlukan ketenangan di rumah kerana selain menjadi tempat berteduh untuk kami sekeluarga, rumah ini juga merupakan pejabat Zaifie Zainal Creation Kuala Lumpur," jelas Zaifie yang merupakan seorang perancang perkahwinan.

Zon hijau

Sebaik melangkah masuk ke dalam rumah bersaiz 152.76 meter persegi itu, penulis bagai disambut kedamaian. Manakan tidak, sebaik melangkah ke ruang tamu, mata pasti tidak terlepas daripada melihat dua balang besar atas meja kaca yang dijadikan akuarium.

Tidak jauh dari meja kaca itu, sofa putih yang senada dengan warna dinding memberikan kesan ruang lebih luas pada pandangan mata. Permaidani merah yang dibentang menaikkan seri ruang tamu yang dipenuhi dengan warna putih.

Zon hijau penyejuk mata pula terletak antara ruang tamu dan ruang menonton televisyen yang membangkitkan suasana segar serta menyejukkan mata memandang. Ruang itu dihiasi tumbuhan hijau yang menjadikan rumah berkenaan untuk kelihatan mesra alam.

ZAIFINIDZA menggemari warna putih kerana baginya ia cukup mendamaikan.

Penulis sebenarnya berasa tertipu dengan pokok buluh plastik yang terdapat di taman mini berkenaan yang kelihatan seperti tumbuhan hidup dari sudut ruang tamu. Zaifie menjelaskan bahawa dia sengaja meletakkan pokok plastik kerana kesibukannya bekerja membataskan masanya untuk menjaga pokok hiasan hidup.

Rumah tiga tingkat itu bijak diatur oleh Zaifie dengan membahagikan kepada bahagian-bahagian tertentu untuk melancarkan urusan hariannya yang bekerja di rumah. Sebagai contoh, walaupun ruang tamu, dapur dan ruang makan serta ruang menonton televisyen terletak pada aras yang sama, ruang tersebut tidak nampak padat kerana pemilik kediaman itu bijak memilih perabot yang bersesuaian dengan keluasan rumah tiga tingkat tersebut.

Saat menaiki tangga ke tingkat atas mahligai Zaifie, mata penulis tertancap pada bahagian dinding rumah yang dilekatkan dengan bingkai gambar keluarga yang berwarna hitam putih.

Ruang

Elemen hitam putih di satu dua tempat turut berjaya membangkitkan nostalgia dan suasana yang klasik.

RUANG menonton televisyen nampak sedikit santai tanpa perabot bersaiz besar.

Jelas Zaifie, dia mengambil masa hampir setahun untuk menghasilkan susunan bingkai gambar yang kemas tersusun di dinding rumahnya itu. Tingkat atas rumah berharga hampir RM500,000 itu menempatkan tiga bilik termasuk sebuah bilik utama serta dua bilik bersaiz sederhana.

Ketika menuruni tangga ke ruang pejabatnya, mata tetamu pasti meleret melihat hasil kerja Zaifie yang dibingkaikan di dinding.

"Tingkat bawah rumah ini mempunyai dua bilik yang dijadikan ruang pejabat dan butik pengantin. Secara keseluruhannya, bahagian bawah rumah bertindak sebagai pejabat rasmi saya," jelas ibu kepada dua anak itu.

Zaifie lebih selesa bekerja di rumah kerana kerjayanya sebagai perunding perkahwinan memerlukan perbincangan dengan pelanggan tanpa mengira waktu.

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
loading...