. Mencari Kepuasan Bekerja - Emmy Shaklee - [Shaklee Independent Distributor]

Mencari Kepuasan Bekerja

at Jumaat, 3 Mei 2013[3:01 PTG]

RAMAI orang yang tidak tahu apakah yang boleh memberikannya kepuasan bekerja. Bagi yang baru mencari pekerjaan maka gaji dan upah adalah faktor yang difikirkan bakal memberikan kepuasan. Sebab itulah mereka sering bertukar pekerjaan lebih-lebih lagi apabila ditawarkan jawatan dengan gaji lebih tinggi.
Ada pula yang berfikir mencari pekerjaan sesuai dengan kelulusan akan memberikan kepuasan. Jika tidak sia-sialah belajar bertahun-tahun sewaktu di kolej atau universiti bagi memperolehi segulung ijazah.
Bagi sesetengah orang, melakukan pekerjaan yang bukan dalam bidang mereka, dianggap sebagai kerja sementara sebelum mendapat pekerjaan yang lebih sesuai. Namun bagi yang telah lama memasuki alam pekerjaan, mereka sedar bahawa gaji dan upah bukanlah segala-galanya. Justeru ada yang memilih kekal bekerja di sesebuah organisasi walaupun gajinya lebih kecil berbanding jawatan sebelumnya. Memang duit itu penting tetapi pada masa sama, banyak faktor lain lagi yang perlu difikirkan.
Berikut faktor-faktor yang sering diambil kira dalam mencari kepuasan bekerja:
Komunikasi Terbuka
Kita seronok apabila wujud komunikasi dua hala antara majikan dan pekerja kerana ia membolehkan setiap masalah diselesaikan secara langsung dan setiap idea disampaikan terus tanpa tapisan. Sebagai seorang pekerja yang melakukan kerja sama saban hari, kita lebih arif tentangnya berbanding orang lain. Amatlah mengecewakan apabila setiap pandangan dicantas dan setiap usaha ke arah penambahbaikan ditolak tanpa alasan yang munasabah.
Bidang Tugas
Setiap orang mempunyai bakat dan kecenderungan yang berbeza-beza. Majikan yang cemerlang mampu mengenal pasti bakat dan kecenderungan ini lalu disalurkan pada tugasan yang betul. Menukar bidang tugas bagi tujuan mengelak kebosanan dalam diri pekerja belum tentu dapat meningkatkan produktiviti. Lebih-lebih lagi apabila tugas itu dijalankan oleh mereka yang tidak berkebolehan atau tidak berminat dengan tugasan diberikan.
Kebebasan Menjalankan Kerja
Kita biasanya rimas apabila kerja yang dipertanggungjawabkan terlalu kerap ditanya dan dipantau seolah-olah majikan tidak yakin kepada kita. Bagi sesetengah, orang cukuplah dengan memberitahu sahaja apa yang perlu dilaksanakan dan semuanya pasti beres.
Jaminan Kerja
Ada orang kekal bekerja di sesebuah organisasi kerana dia tahu masa depannya terjamin di samping mendapat pencen. Sebab itu ramai yang berebut-rebut memohon pekerjaan sebagai penjawat awam. Namun jaminan kerja tiada sebarang makna apabila kita tidak seronok bekerja disebabkan faktor-faktor lain seperti tempat kerja yang tidak harmoni, komunikasi yang hambar serta bidang tugas yang membosankan.
Rangsangan Kerja
Kita seronok bekerja apabila sering dipuji, pengorbanan dihargai, kenaikan pangkat yang telus, idea diterima, latihan diberi, suasana tempat kerja kondusif dan sebagainya. Semua ini akan memberikan kita rangsangan bagi meningkatkan prestasi pekerjaan dan kualiti hasil.
Faedah lain dan insentif
Faedah-faedah seperti bayaran perubatan, elaun perumahan, bonus tahunan, bonus perayaan dan sebagainya antara perkara yang juga diambil kira dalam memilih kerja atau memutuskan untuk bertukar kerja.
Walaupun gaji yang diterima lebih rendah tetapi sekiranya insentif-insentif sebegini wujud maka ia sudah cukup membuatkan seseorang pekerja merasa puas kerana merasakan sumbangan mereka dihargai.
Waktu kerja yang fleksibel
Ada orang seronok bekerja di sesebuah organisasi kerana waktu kerjanya fleksibel. Mereka ini biasanya terlibat dalam bidang jualan kerana di pihak majikan yang penting bukanlah berapa jam masa mereka berada di pejabat sebaliknya berapa banyak jualan yang dibawa kepada syarikat setiap bulan.
Lagi banyak jualan lagi bagus meski pun masa mereka berada di pejabat kurang.
Peluang untuk maju
Tiada seorang pun yang suka berada pada satu takuk selama-lamanya. Semua orang mahukan kenaikan pangkat, peningkatan dalam kerjaya, peluang menyambung pelajaran, tanggungjawab yang lebih besar dan sebagainya.
Oleh itu majikan perlu fikirkan sesuatu bagi memenuhi kepuasan ini untuk menjana keseronokan bekerja.
Gaji dan upah
Ramai yang selama ini menyangkakan bahawa kepuasan bekerja letaknya pada gaji dan upah yang lumayan. Hakikat sebenar adalah sebaliknya. Tidak ada ertinya gaji yang tinggi apabila anda tidak punya masa bersama keluarga, tidak sempat bersosial, tiada masa rehat dan suasana kerja yang tegang. Gaji dan upah lumayan hanya memberikan kepuasan jangka pendek.
Saiz organisasi
Ada segelintir orang yang bekerja kerana organisasi tempatnya bekerja mempunyai bilangan pekerja yang ramai serta nama yang besar. Hakikatnya, saiz organisasi bukanlah faktor utama dalam mencari keseronokan bekerja.

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
loading...