. Kot Zaman Silam - Emmy Shaklee - [Shaklee Independent Distributor]

Kot Zaman Silam

at Jumaat, 31 Mei 2013[9:29 PG]

pix_topright

Seindah rangkap pantun, begitulah indahnya sepersalinan songket lelaki sewaktu penulis melihat tempahan yang sedang disiapkan oleh dua anak muda di Toko Saudagar Tekua, di Kajang, Selangor, baru-baru ini.

Mohd Faizee Azwar Md Ariffin, 27, dan Shahrul Fadzly Mohd Zainal, 25, tidak sukar menyulam jari bersama benang dan jarum untuk menyiapkan tempahan diterima, malah semuanya pasti menarik mata yang memandang.

Dua sahabat itu meneroka seni pembuatan baju tekua sejak lima tahun lalu, selepas mendapati pakaian songket tradisional Melayu kini semakin hari semakin dilupakan, bahkan ramai di kalangan generasi baru sudah tidak mengenalinya.
Kecenderungan mereka berdua bermula sewaktu singgah di sebuah kedai jahit yang diuruskan warga Pakistan.

Melihat orang terbabit menjahit dan menghasilkan sebuah tanjak, membuatkan mereka tercabar dan berasa malu kerana pakaian tradisional Melayu itu dihasilkan oleh rakyat asing.

“Dari situ, kami mula menimba pengalaman untuk membuat tanjak serta mendalami ilmu dengan beberapa orang yang mahir dalam menghasilkan pakaian tradisional Melayu lelaki dan perempuan. Alhamdulillah, hasilnya boleh dibanggakan apabila usaha kami mendapat sokongan keluarga dan rakan, malah berjaya menarik perhatian pelancong asing sewaktu kami melakukan demonstrasi busana Melayu,” kata Mohd Faizee Azwar.

Menurutnya, pelbagai suka dan duka dilalui mereka berdua, malah ada yang melemparkan tohmahan dan menganggap mereka melakukan kerja gila. Namun katanya, melalui aktivis busana Melayu yang berjaya menarik penyertaan daripada pelbagai persatuan dan kumpulan memberikan semangat dan harapan untuk mereka memperjuangkan pakaian tradisional Melayu itu.

“Menerusi aktivis ini, kami berpeluang menyedarkan generasi muda agar berani menampilkan diri dan memperkenalkan kembali pakaian tradisional Melayu melalui pelbagai aktiviti. Kami juga memulakan revolusi memakai tradisional warisan Melayu sewaktu ke Suria KLCC dan Bukit Bintang. Bayangkan, bagaimana pandangan masyarakat sewaktu 38 aktivis ini memakai pakaian berkenaan dari Stesen KL Sentral, seterusnya Suria KLCC dan Bukit Bintang.

“Malah, kami turut ke muzium serta beberapa negeri seperti Johor, Melaka dan Kelantan. Kemuncaknya pada 2012, aktiviti ini berjaya menghimpunkan peminat pakaian tradisional daripada pelbagai generasi di Ladang Alam Warisan, Negeri Sembilan,” katanya.

Pemakaian baju tekua dianggap antara pakaian rasmi kalangan pembesar istana dan panglima Melayu. Malah, dalam Sulatus Salatin menyatakan ia dipakai 10 pembesar Melaka, antaranya Temenggong, Laksamana, Syahbandar dan Bentara.

Barangkali masih ramai tidak mengetahui baju tekua. Ia boleh diumpamakan baju kot di zaman dulu, diperbuat daripada kain songket dan dipakai bersama tengkolok, baju kutang, seluar mengan, sampin serta bengkung. Boleh juga dipakai tanpa bengkung dan sampin.

Perkataan tekua dikatakan berasal daripada kata ‘takwa’ yang terbit selepas pedagang Arab melihat masyarakat Melayu memakai pakaian labuh seperti jubah. Perkataan itu mencerminkan pemakainya berbangsa Melayu dan memenuhi tuntutan agama iaitu menutup aurat.

Sementara itu, Shahrul Fadzly berkata, pakaian tradisional lelaki ada pelbagai jenis dan namanya yang tersendiri.

“Masyarakat mungkin mengenali baju layang dan baju sikap yang digunakan sewaktu majlis perkahwinan atau majlis bersilat. Baju tekua diperbuat daripada kain songket yang direka lebih singkat dengan rupa kaki baju hanya separas atau berada atas lantai agar si pemakai tidak duduk di atas pakaian itu. Panjang lengannya pula adalah sejengkal daripada pergelangan tangan, manakala potongan di tengah baju berukuran sebesar tapak tangan si pemakai dan diikat dengan kancing di bahagian dada,” katanya.

Memakai tekua tidak lengkap tanpa seluar mengan yang direka mengikut adat dan suku sama ada Melayu, Bugis ataupun Minang. Rekaan seluar mengan pula biasanya labuh hingga sejengkal dari buku lali. Rekaannya juga unik kerana mempunyai tepak di bahagian kelangkang bagi memudahkan pergerakan aktif golongan lelaki. Tanjak pula perlu dilipat teliti sehingga lima tingkat, mencontohi lima lilitan serban dipakai oleh orang Arab.

Selepas memahami semua jenis dan keperluan, tidak hairanlah bagi Toko Saudagar Tekua menghasilkan persalinan pakaian tradisional lelaki yang lengkap dari tanjak, baju tekua, baju dalam sehinggalah seluar mengan. Meskipun satu ketika dulu ia dipakai dalam majlis rasmi, adat istiadat dan kebesaran diraja, pemakaian busana Melayu ini boleh diberi nafas baru dan disesuaikan dengan peredaran zaman.
Sehingga kini, toko berkenaan menerima sambutan menggalakkan, malah mendapat tempahan dari pelbagai pihak termasuk dari luar negara seperti Singapura, Brunei, Belanda, Jordan dan Scotland.

Harganya pula tidaklah mahal, contohnya bagi sepasang pakaian tradisional lelaki berharga RM450, manakala tanjak dari RM100 hingga RM150, bergantung kepada reka bentuk dan pilihan pengguna.

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
loading...