. 10 IPO tunggu pelaksanaan - Emmy Shaklee - [Shaklee Independent Distributor]

10 IPO tunggu pelaksanaan

at Jumaat, 19 Julai 2013[8:37 PG]

10 IPO tunggu pelaksanaan Tajuddin Atan, Ketua Eksekutif Bursa Malaysia

Bursa Malaysia catat prestasi kewangan separuh tahun terbaik sejak 2007

BURSA Malaysia menerima 10 permohonan untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) dalam tempoh separuh kedua tahun ini, selain tiga IPO yang telah dilancarkan pada bulan ini.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Tajuddin Atan, berkata minat terhadap kegiatan mengumpul dana di pasaran tempatan kekal tinggi dan arah aliran itu dijangkakan berterusan sehingga ke hujung tahun.

Prestasi mantap mencerminkan keyakinan tinggi pelabur global dan tempatan terhadap asas kukuh ekonomi negara. Bursa Malaysia belum pernah melihat momentum seperti itu dalam tempoh enam tahun” Tajuddin Atan, Ketua Eksekutif Bursa Malaysia

"Terdapat 10 IPO dalam perancangan, tujuh daripadanya sudah diluluskan. Perkembangan ini akan memastikan kami ada kegiatan mencukupi hingga ke akhir tahun ini. Saya kira (sentimen pelabur) masih positif," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas taklimat media mengumumkan keputusan kewangan separuh tahun Bursa Malaysia di Kuala Lumpur, semalam. Pengendali bursa tempatan itu memperoleh tujuh penyenaraian baru dalam separuh pertama lalu, dengan dana yang dikumpul daripada IPO berkenaan dan pasaran sekunder berjumlah RM10.43 bilion.

Tajuddin juga berkata, pengaliran masuk bersih dana asing dalam enam bulan pertama tahun ini meningkat 141 kepada RM14.5 bilion daripada RM6 bilion dalam tempoh sama tahun lalu. Penyertaan pelabur asing dalam dagangan hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI Futures (FKLI) bertambah 47 peratus daripada 42 peratus pada 2007, manakala dalam dagangan hadapan minyak sawit mentah (FCPO) pula meningkat 39 peratus daripada 18 peratus.

Halaju dagangan bagi enam bulan pertama 2013 adalah tiga peratus lebih tinggi pada 33 peratus, katanya.

Tajuddin berkata, nilai purata dagangan harian bagi pasaran sekuriti meningkat 19 peratus kepada RM2.06 bilion, manakala purata urus niaga harian kontrak pasaran derivatif bertambah 21 peratus kepada 43,358 kontrak.

"Banyak minat ditunjukkan, bukan saja daripada pelabur domestik tetapi juga pelabur asing dalam kedua-dua ekuiti, derivatif dan yang berlandaskan Syariah," katanya.

Sementara itu, prestasi kukuh urus niaga dalam pasaran sekuriti, derivatif serta produk berlandaskan Syariah berkenaan menyaksikan Bursa Malaysia mencatat prestasi separuh tahun dan suku kewangan terbaiknya sejak 2007.

Ia mencatat keuntungan bersih terkumpul RM93.024 juta dalam tempoh enam bulan berakhir 30 Jun lalu, iaitu peningkatan 19 peratus berbanding RM78.346 juta yang diraihnya dalam tempoh sama tahun lalu.

Pendapatannya dalam tempoh berkenaan meningkat 12 peratus kepada RM240.787 juta daripada RM215.241 juta.

Tajuddin berkata, urus niaga ketiga-tiga pasaran sekuriti, derivatif dan produk Syariah mencatat pertumbuhan kukuh dua angka didorong peningkatan pembabitan pelabur asing serta runcit.

“Prestasi mantap itu mencerminkan keyakinan tinggi pelabur global dan tempatan terhadap asas kukuh ekonomi negara. Bursa Malaysia belum pernah melihat momentum seperti itu dalam tempoh enam tahun,” katanya.

Tajuddin berkata, pendapatan operasi bursa itu dalam tempoh dikaji meningkat 13 peratus kepada RM223.9 juta disumbangkan terutama oleh peningkatan pendapatan dagangan sekuriti dalam persekitaran pasaran lebih baik pasca Pilihanraya Umum ke-13 pada Mei lalu.

Beliau berkata, perbelanjaan operasi kekal stabil pada RM108.0 juta dalam tempoh separuh pertama itu berbanding RM103.9 juta tempoh sama tahun sebelumnya, terutama disebabkan semakan dan penyelarasan gaji pekerja.

Bursa Malaysia mengumumkan dividen awal 16 sen dan dividen khas sebanyak 20 sen.

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
loading...