Tamatnya telekomunikasi tertua di India
SELAMA lebih 160 tahun, imej penghantar telegram yang berbasikal dan mengetuk pintu-pintu rumah atau pejabat begitu sinonim kepada warga India.
Bagi rakyat biasa, telegram lazim digunakan untuk membawa perkhabaran mengenai kelahiran dan kematian. Kerajaan pula menggunakannya untuk mengiklan jawatan kosong sementara bagi pasangan kekasih pula, ia selesa digunakan untuk melahirkan isi hati mereka.
Bagaimanapun, tengah malam 15 Julai lalu, perkhidmatan itu ditamatkan secara rasmi di India.
Ia berikutan pengumuman Bharat Sanchar Nigam Limited (BSNL), pengendali sistem telekomunikasi di negara itu untuk menghentikan perkhidmatan telegraf kerana kosnya terlalu tinggi dan tidak berdaya maju.
Perkataan terakhir pada sistem telekomunikasi tertua di dunia itu ditulis oleh SK Pandit, 35, seorang kakitangan swasta yang menghantarnya di pejabat Central Telegraph Office di New Delhi.
"Ketua saya mahu menghantar telegram kepada anak perempuannya sempena ulang tahun kelahirannya sebelum operasinya tamat. Dia mahu anaknya menjadi sebahagian daripada sejarah kewujudan telegram di negara ini," katanya.
Pandit, mengakui dia agak gementar kerana tidak pernah menggunakan telegram sebelum ini. Namun, selepas bercakap dengan beberapa rakan sekerjanya melalui telefon bimbit, dia pantas mengambil borang kosong yang tersedia sebelum menulis mesej seperti dikehendaki ketuanya itu.
Merudum
Perkhidmatan telegram dilihat mampu bertahan lama di India disebabkan kadar penembusan telefon bimbit yang agak perlahan terutamanya di kawasan-kawasan pendalaman. Bagaimanapun, perkembangan rangkaian mudah alih pada hari ini menyaksikan telegram tidak lagi relevan mempunyai kelemahan dari segi kos, kelajuan dan kebolehcapaian.
PERKHIDMATAN telegram ditamatkan secara rasmi di India mulai 15 Julai lalu.
Pengurus Besar Kanan bagi perkhidmatan telegram BSNL, Shameem Akhtar berkata, penggunaan telegram semakin berkurangan dalam kalangan masyarakat. Katanya, pada tahun 2008, syarikat itu mempunyai kira-kira 22,000 pekerja, namun jumlah itu kini berkurangan kepada 980 pekerja.
Penghantaran telegram merudum kepada kira-kira 5,000 sehari, berbanding beberapa ratus ribu sekitar awal 1960-an dahulu selepas kehadiran mesin faks dan internet. Daripada jumlah itu, kira-kira 65 peratus telegram digunakan untuk urusan rasmi kerajaan.
"Setiap tahun syarikat menanggung kerugian kira-kira AS$23 juta (RM70 juta) akibat persaingan dengan telefon bimbit dan internet. Pemberhentian operasi telegram dilihat tepat pada masanya," katanya.
Sistem rangkaian telegraf diperkenalkan oleh Syarikat Hindia Timur British pada tahun 1851 di Kolkata, merangkumi pemasangan kabel sepanjang 40 kilometer (km) dari Sungai Hoogly sehingga Pelabuhan Diamond.
Empat tahun kemudian, kabel sepanjang 6,400km telah dipasang beberapa lokasi sebelum sistem itu mula dilancarkan secara rasmi kepada orang ramai. Selepas seabad, jumlah kabel yang dipasang meningkat kepada kira-kira 202,000km merangkumi kawasan-kawasan pedalaman sekali gus menjadikannya alat telekomunikasi utama penduduk ketika itu.
KENANGAN. Seorang wanita Surjeet Kaur menunjukkan telegram ucapan hari lahir yang dihantar oleh suaminya pada tahun 1955.
Seorang ahli sosiologi, Abhilasha Kumari memberitahu, telegram memainkan peranan penting di tempat kelahirannya di Sitamau di tengah India.
"Ia merupakan satu-satunya sumber untuk mendapat berita dengan pantas. Melaluinya kami berpeluang mengetahui apa yang berlaku di sekeliling di samping berhubung dengan ahli keluarga atau kenalan yang menetap jauh di pedalaman," jelasnya.
Kumari berkata, dia masih mampu mengingati bagaimana dia sekeluarga berasa sedih apabila dimaklumkan mengenai kematian sepupunya akibat kemalangan melalui telegram.
"Telegram itu dihantar sendiri oleh ketua penghantar telegram di kampung saya. Saya masih mampu mengingati bagaimana dia mengetuk pintu rumah kami sebelum dimaklumkan mengenai kejadian itu," katanya.
Telekomunikasi baharu
Sementara itu, seorang pesara operator telegraf di New Delhi, RK. Rai berbangga kerana menjadi sebahagian tenaga penting perkhidmatan telegram pada zaman kegemilangannya satu ketika dahulu.
SETIAP transaksi telegram disimpan dan direkodkan bagi tujuan keselamatan.
"Mesin telegraf tidak henti-henti berbunyi, hampir setiap minit. Pejabat kami tidak ubah seperti sebuah kilang," imbaunya.
Tambah Rai, bekerja dalam bidang itu memberi kebebasan kepada mereka mengakses pelbagai maklumat mengenai pelanggan.
"Melalui telegram yang diterima, kami mengetahui serba sedikit mengenai kehidupan dan latar belakang mereka. Perkataan privasi tidak wujud kerana kami terlebih dahulu mengetahui mengenainya," ujarnya lagi.
Rai bersara pada 2006, namun dia kerap melawat tempat kerjanya, Central Telegraph Office yang merupakan sebuah bangunan peninggalan era kolonial di tengah-tengah New Delhi.
Secara purata, pejabat itu menghantar kurang daripada 10 telegram sehari, walaupun sejak kebelakangan ini ia mula dibanjiri orang ramai yang mahu menghantar telegram sebagai kenang-kenangan sebelum perkhidmatan itu ditamatkan di India pada bulan ini.
Ketika ini, terdapat 75 pejabat telegraf yang masih beroperasi di seluruh India dengan jumlah pekerja kurang daripada 1,000 orang. Difahamkan kesemua mereka yang terlibat diserap ke dalam beberapa jabatan dalam kementerian komunikasi negara itu. Pada hari ini, Rai seperti juga jutaan generasi muda di negara itu, mengakui selesa menggunakan telefon bimbit untuk berhubung atau menghantar pesanan.
"Teknologi yang semakin pantas berkembang mengagumkan saya. Komunikasi ibarat satu permainan menguji kepantasan, siapa yang lebih pantas, ia akan memenanginya," katanya.