. 16,534 pengundi jadi penentu - Emmy Shaklee - [Shaklee Independent Distributor]

16,534 pengundi jadi penentu

at Rabu, 24 Julai 2013[10:23 PG]

Jertih: Hari ini, 16,534 pengundi berdaftar diharap menuju ke pusat pengundian sekitar Kuala Besut untuk memilih wakil rakyat baru menerusi proses Pilihan Raya Kecil (PRK) berikutan kematian penyandangnya, Dr A Rahman Mokhtar, 26 Jun lalu.

Hari ini juga, mereka menjadi penentu sama ada kerusi itu akan terus disandang Barisan Nasional (BN) melalui calonnya, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, seorang jurutera atau calon PAS, Endot @ Azlan Yusof, 48, seorang ahli perniagaan.

Tengku Zaihan diperkenalkan sebagai calon BN pada pelancaran jentera BN dengan slogan ‘Kuala Besut Bertambah Biru’ oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, 9 Julai lalu di Dataran Kuala Besut, manakala Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang mengumumkan calon partinya di Kampung Nail.

Kempen Ramadan

Calon BN yang juga bekas jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan mengundi di Sekolah Kebangsaan Kuala Besut 2, manakala Azlan pula di Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu.

Pertembungan calon BN dan PAS itu sekali lagi mengulangi sejarah 1979 apabila PRK terpaksa diadakan pada Ramadan berikutan kematian penyandang, Allahyarham Zakaria Muda daripada BN pada 26 Jun 1979, iaitu tarikh sama Dr A Rahman meninggal dunia iaitu 26 Jun lalu.

Tempoh berkempen selama 12 hari yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada bulan puasa kali ini turut mengubah strategi dan senario kempen PRK Kuala Besut yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Ketika ditemui, Tengku Zaihan berkata, sepanjang 12 hari itu, masa dan jadual kempennya memang cukup padat, namun tidak menghalangnya berjumpa dengan pengundi di Kuala Besut.

Bantu kempen

“Saya bersyukur kerana sebelum ini dengan tugas sebagai jurutera di lapangan, perkara seperti ini satu kebiasaan kepada saya dan syukur saya mendapat kerjasama sepenuhnya daripada jentera parti,” katanya yang lebih dikenali melalui slogan ‘Abe Ku, Ore Mudo Mudoh Baso Sene Kiro’.

Selain Muhyiddin yang turun membantu, kempen BN juga mendapat sokongan kuat Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Timbalan Pengarah BN bagi PRK itu. Kempen turut bertumpu di bazar Ramadan selain ceramah berskala kecil di markas parti.

Dalam pada itu, Azlan yang lebih mesra dengan panggilan ‘Che Long’ disekat daripada memberi sebarang kenyataan secara spontan kepada media selepas tersiar kenyataan kontroversinya di laman YouTube yang antara lain dikatakan seolah-olah beliau lebih berminat untuk berniaga.

Pada PRU-13, 5 Mei lalu, Dr Rahman menang dengan majoriti 2,434 mengalahkan calon PAS, Napisah Ismail. Lapan pusat mengundi akan dibuka hari ini membabitkan 35 saluran mengundi yang akan bermula jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali pusat mengundi di Pulau Perhentian yang akan ditutup 3 petang.

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
loading...