Dayang Nurfaizah Tolak Jodoh Pilihan Keluarga
PENYANYI bersuara gemeresik, Dayang Nurfaizah mengakui pertama kali dilatih menjalani ibadah puasa adalah pada usia tujuh tahun.
Begitupun, dedah penyanyi berasal dari Kuching, Sarawak itu, dia yang berpuasa ketika itu tidak berjaya menahan diri lalu membuka puasa dengan secawan air sejuk. Akibatnya, Dayang atau nama sebenarnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty, dipukul oleh ibunya.
"Mak memang sangat tegas. Umur tujuh tahun lagi dia sudah suruh Dayang puasa. Tetapi belum sempat waktu berbuka Dayang tidak tahan lalu meminta nenek air untuk minum. Bila mak dapat tahu dia sangat marah dan mencubit Dayang dengan kuat," ungkapnya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama anak yatim di Hotel Prince, Kuala Lumpur.
Kesan daripada amarah dan cubitan ibunya, sejak daripada itu Dayang tidak pernah ponteng puasa kecuali jika dia datang bulan. Mengimbau kenangan berpuasa ketika kecil, ujar Dayang, dia selalu mengikut ibunya bertadarus dan solat tawarih.
"Dayang selalu ikut mak tadarus dan tawarih. Ketika tadarus, Dayang sekadar ikut dan dengar sahaja tetapi satu hari Dayang sertai sama tanpa pengetahuan mak. Dia terkejut tetapi gembira," ujarnya.
Gosok baju
Berkongsi aktiviti puasanya pada tahun ini pula, tutur Dayang, dia mendapat banyak tawaran menghadiri majlis berbuka puasa bersama anak yatim. Dalam masa yang sama, jelas Dayang, dia juga sedang mencari lagu baharu untuk dijadikan single terbaharu selepas hit dengan lagu Bisikan Rinduku.
"Lagu Bisikan Rindu itu dibuat khas untuk lagu runut bunyi drama Dahlia. Kalau boleh Dayang mahu sebuah single untuk Dayang sendiri," ungkapnya yang gembira kerana sambutan puasanya lebih teratur selepas keluarganya berpindah ke Kuala Lumpur.
Ditebak apakah makanan yang disukai semasa berbuka puasa, ulas Dayang, dia sangat merindui ikan terubuk bakar Sarawak.
Bagaimanapun, katanya, menu tersebut tidak ada di Kuala Lumpur.
Terlanjur bersembang tentang puasa, Dayang turut bercerita tentang sambutan Aidilfitrinya.
Ceritanya, setiap tahun, dia akan pastikan anak-anak buahnya memperoleh baju raya baharu. "Setiap kali nak raya, Dayang sibuk beli baju untuk anak-anak buah dan juga tempah kek lapis. Baju raya Dayang sekadar dua pasang sudah memadai," ujarnya.
DAYANG NURFAIZAH meraikan seramai 53 orang anak yatim daripada Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia dengan kerjasama Hotel Prince Kuala Lumpur, baru-baru ini.