Ketahui Apakah Data Yang Diakses Oleh Aplikasi Android Pada Telefon Pintar Anda
Setiap aplikasi yang terpasang pada telefon anda, biasanya akan
mengakses beberapa tetapan lain atau data pada telefon pintar dalam
menawarkan beberapa perkara – seperti akses ke internet untuk memaparkan
kemaskini pada aplikasi Facebook, akses kepada kamera untuk merakamkan
gambar pada aplikasi Instagram – dan pelbagai penggunaan dan akses yang
lain.
Google sendiri sering memaparkan akses yang diminta oleh sesuatu
aplikasi ketika anda ingin memasangnya melalui Google Play Store –
tetapi daripada pengamatan kami, sejumlah besar pengguna tidak mengambil
peduli mengenainya.
Ketika anda memilih untuk memasang aplikasi – sama ada melalui web
Play Store ataupun pada aplikasi di Android anda, ia akan memaparkan
sebuah pop-up dengan sejumlah akses yang diperlukan untuk aplikasi
tersebut berfungsi.
Mungkin untuk aplikasi popular, ia sering dipantau oleh komuniti dan
pelbagai maklumbalas dikongsikan melalui laman sosial mahupun ruangan
komen. Namun, dengan jutaan aplikasi yang terdapat di PlayStore, ada
baiknya anda juga turut melakukan semakan untuk sesuatu aplikasi
berkenaan.
Sebagai contoh, kadang-kala anda mungkin akan dapat melihat aplikasi
berbentuk permainan yang meminta akses ke buku alamat, dan beberapa
aplikasi yang meminta akses untuk pelbagai perkara yang tidak diperlukan
untuk ia berfungsi.
Kadang-kala masalah ini timbul kerana masalah kod ketika
pengaturcaraan – dan anda boleh mengambil tidak untuk memasangnya, dan
menghantar emel kepada pembangun bagi memberitahu mengenai masalah
tersebut.
Pada masa yang sama, anda juga turut boleh melakukan semakan berkala
kepada aplikasi yang sedia terpasang pada peranti mudah-alih anda. Salah
satu aplikasi yang membantu dalam perkara ini adalah aplikasi Permission Friendly Apps.
Menggunakan aplikasi berkenaan, anda akan dipaparkan dengan akses
yang dipohon oleh sesuatu aplikasi yang terdapat pada peranti mudah-alih
anda. Anda kemudiannya boleh memilih untuk membuang aplikasi berkenaan,
ataupun kekal menggunakannya.
Ikuti kami melalui RSS 2.0.