. Perancangan kewangan boleh atasi masalah kenaikan harga - Emmy Shaklee - [Shaklee Independent Distributor]

Perancangan kewangan boleh atasi masalah kenaikan harga

at Khamis, 26 Mac 2015[11:44 PG]

 
Ekoran daripada kenaikan harga minyak dunia yang berterusan, mahu tidak mahu, kita sebagai pengguna dan rakyat negara ini, terheret sama menerima kesannya. Tentunya golongan paling sengsara ialah yang berpendapatan rendah. Jika sebelum ini kesempitan hidup menyukarkan mereka, perkembangan terbaru ini lebih-lebih lagi.
Memang ada yang marah. Kemarahan mereka sehingga menuduh kepimpinan kerajaan hari ini lemah dan tidak prihatin.
Dalam hal ini kerajaan tidak cuba untuk berdiam diri. Masalah rakyat bermakna masalah kerajaan juga. Kerajaan yang bertanggungjawab akan memastikan rakyat dan negara bebas daripada kesengsaraan.
Justeru, beberapa langkah bagi menyeimbangkan kenaikan harga bahan mentah itu dengan kepentingan negara perlu diambil. Biarpun dalam `kesusahan', kerajaan telah mengumumkan empat langkah segera bagi mengurangkan beban rakyat.
Pengumuman yang ditafsirkan sebagai `pra-Bajet 2006' itu ialah menurunkan cukai jalan antara 25 hingga 80 peratus; tidak menaikkan harga petrol, diesel, gas memasak sehingga penghujung tahun ini; kadar tol kekal tahun ini dan tahun depan serta tambahan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada golongan tua dan daif.
Sekurang-kurangnya, usaha itu dapat melegakan sedikit keperitan yang dihadapi oleh pengguna berpendapatan rendah. Adalah benar, kerajaan wujud kerana rakyat. Rakyat yang memilih dan memberi mandat kepada kerajaan untuk mentadbir negara menjadi yang terbaik. Jika dalam kesusahan rakyat tidak sanggup untuk bersama, kerajaan tidak akan mampu melakukan yang terbaik untuk rakyat.
Bagaimanapun apakah rakyat atau pengguna mempunyai pilihan? Minyak adalah bahan asas kehidupan. Kenaikan bahan api asas ini akan menaikkan secara langsung bahan-bahan pengguna yang lain. Dengan secara langsung akan mengakibatkan kenaikan inflasi. Pelbagai cadangan telah dikemukakan untuk menangani masalah ini. Tetapi bolehkah ia dilaksanakan? Secara realitinya banyak cadangan-cadangan telah dipertengahkan, di antaranya adalah seperti:-
* Dengan menggunakan teknologi tinggi yang menjimatkan penggunaan bahan api,
* Mengawal harga barangan pengguna dengan menetapkan siling,
* Mengadakan sistem pengangkutan yang cekap,
* Menghentikan projek mega kerajaan yang tidak kritikal atau perlu dan dengan itu boleh mengalihkan dana yang dijimatkan berikutan penarikan subsidi itu untuk projek yang akan memanfaatkan negara, seperti lebih banyak perumahan kos rendah, penjagaan kesihatan ditingkatkan, sistem pengangkutan dan kemudahan sekolah yang lebih baik,
* Menyediakan insentif bagi nelayan, petani dan mereka yang terlibat dalam perniagaan pengangkutan untuk mengimbangi kenaikan kos,
* Peranan orang tengah perlu dihapuskan dan petani perlu diberikan peluang yang membolehkan mereka menjual hasil mereka terus kepada pelanggan,
* Mewujudkan dana untuk menyediakan pinjaman kepada peniaga kecil, penjaja dan perniagaan kecil, yang membolehkan mereka mengelakkan lintah darat atau ah long,
* Menggalakkan rakyat secara keseluruhan untuk menumpukan perhatian terhadap simpanan; dan berbelanja secara bijak. Budaya hutang dengan penggunaan kemudahan kredit yang meningkat tidak perlu digalakkan. Jika perlu, kerajaan perlu menasihatkan orang awam supaya memulaukan barangan dan perkhidmatan berharga tinggi tertentu.
Perkara asas yang diperbincang dan diketengahkan sepertimana yang tertulis di atas adalah bersabit dengan kewangan. Perkara pokoknya adalah kita tidak mempunyai perancangan kewangan yang khusus. Masalahnya adalah subjek ini tidak diajar di sekolah-sekolah malahan institusi-institusi kewangan yang kononnya memasarkan perancangan kewangan kepada pengguna sebenarnya hanyalah penjual produk semata-mata product pusher. Pengguna-pengguna tidak diajar malahan langsung tidak dilatih untuk mendapat pulangan yang maksimum daripada pinjaman perumahan mereka, pinjaman sewa beli, pelaburan, insurans, insentif cukai, sistem pengiraan faedah dan peninggalan harta.
Perancangan
Dengan adanya perancangan kewangan, ia boleh membantu pengguna-pengguna mengatasi atau memperoleh perkara-perkara seperti berikut:-
* Pengukuhan kewangan terhadap inflasi
* Pengurusan hutang yang membawa pulangan
* Pembiayaan selepas persaraan
* Penyediaan tabungan kecemasan
* Keperluan tuntutan semasa
* Pembiayaan pendidikan
Sebagai contohnya, jika seseorang memiliki rumah yang harus dibayar pinjaman perumahan yang tetap selama 20-30 tahun, sudah pasti ia membebankan. Bagaimanapun dengan adanya perancangan kewangan, bukan sahaja ia tidak perlu membayar pinjaman perumahan untuk suatu jangka masa atau memendekkan tempoh bayarannya malahan boleh mendapatkan pulangan hasil pelaburan nilai bersih rumah itu. Dengan lain perkataan rumah dapat, pulangan juga dapat. Ini boleh dilakukan dengan proses perancangan kewangan yang inovatif. Ia ada di pasaran tetapi tidak diendahkan oleh institusi-institusi kewangan yang mahukan keuntungan yang lebih. Dengan perlaksanaan perancangan kewangan ini, perbelanjaan dapat dikurangkan dan simpanan sebagai asas perancangan kewangan dapat dipetingkatkan.
Selain daripada itu, kita juga memerlukan wang untuk meneruskan kehidupan. Kenaikan harga barangan dan keperluan tuntutan semasa harus dipenuhi. Tidak kira sama ada hujan atau panas. Pelbagai keperluan lagi harus juga kita laksanakan. Ini adalah tanggungjawab hidup. Dengan adanya perancangan kewangan, seseorang itu sudah pasti boleh menempuhi hari-hari kemudian tidak kira panas atau ribut malahan di tengah-tengah kebanyakan orang bergelut dengan kesan negatif ekonomi, mereka yang telah merancang kewangannya akan dapat menikmati hasil yang lumayan.
Pembelajaran perancangan kewangan ini harus dikemudikan oleh pihak kerajaan yang mampu membendung kos kerana inilah pendidikan/ilmu yang terpenting yang masih belum diajar di mana-mana universiti di negara ini. Rakyat khususnya tidak lagi akan mengeluh dengan pelbagai masalah ekonomi jika diri mereka tahu dan yakin mereka telah bersedia menempuh masa depan baik masa-masa yang gembira mahupun duka.
- AZIZ IBRAHIM ialah seorang perancang kewangan bertauliah.

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
loading...