. Keadilan suami perlu berterusan - Emmy Shaklee - [Shaklee Independent Distributor]

Keadilan suami perlu berterusan

at Selasa, 31 Mac 2015[9:03 PG]

 
Johor Bahru: Lelaki yang memilih berpoligami, perlu berlaku adil kepada setiap isterinya dengan tidak mengamalkan sikap pilih kasih hingga isteri berkecil hati dan membenci madunya.
Penasihat Agama Johor Datuk Noh Gadot berkata, keadilan berterusan itu perlu bagi memastikan rumah tangga yang dibina berkekalan dan mendapat keberkatan Allah SWT.
“Antara syarat yang perlu diikuti sekiranya seseorang lelaki itu mahu beristeri dua atau lebih ialah bersikap jujur dan adil kerana kejujuran itu mendorong mereka bercakap benar dengan setiap isteri dan tidak pilih kasih.
“Mereka juga perlu mencontohi sikap Nabi seperti sidiq dan amanah agar tidak timbul prasangka tidak baik atau sengketa antara isteri pertama dengan isteri kedua,” katanya.
Noh berkata demikian mengulas laporan muka depan Metro Ahad semalam, yang memaparkan kehidupan damai dan saling memerlukan antara dua madu kepada Muhammad Azmi Kasbullah, 45, iaitu Radiah Md Amin, 41 dan Noorasyikin Ismail, 30 yang tinggal sebumbung di Serom 6, Ledang.
Mereka dikurniakan lapan anak iaitu Nurul Farha Nazira, 21, Muhammad Amirul Farhan dan Muhammad Amirul Fauzan, 19, Muhammad Amirul Faris, 16, Nurul Fatin Haziqah, 14, Muhammad Amirul Faeid, 8, Muhammad Amirul Danish, 6 dan Nursarah Dania’, 2.
Keakraban kedua-dua isteri Muhammad Azmi menjadikan mereka hidup bahagia sebagai satu keluarga, malah isterinya saling membantu antara lain dalam segala hal, termasuk menjaga seorang daripada mereka yang dalam pantang selepas bersalin.
Mengulas mengenai cara mengekalkan kerukunan dalam poligami, Noh berkata suami perlu mengajak isterinya mendekatkan diri dengan Allah SWT.
“Antara amalan mengeratkan silaturahim antara isteri ialah solat berjemaah di rumah serta membaca al-Quran selepas solat berjemaah.
“Misalnya, isteri pertama membaca surah diikuti terjemahan isteri kedua dan seterusnya. Akhir sekali, suami perlu sentiasa berdoa agar rumah tangga kekal mendapat keberkatan kerana doa adalah senjata orang beriman,” katanya.

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
loading...